Rabu, 11 September 2019 | 11:02am

Kerjasama semua pihak elak SPR 'kepenatan'

Umur 18 tahun boleh mengundi

SEBAIK Dewan Rakyat meluluskan usul menurunkan had umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun dan daftar secara automatik pada 16 Julai lalu, kemudian diikuti kelulusan oleh Dewan Negara pada 25 Julai, bermakna lembaran baharu bakal disaksikan dalam perjalanan proses pilihan raya negara.

Sama ada ia boleh disaksikan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) atau tidak, bergantung kepada banyak faktor dan keadaan. Pindaan itu akan menyaksikan peningkatan jumlah pengundi kepada 22.7 juta menjelang 2023, naik lebih 50 peratus berbanding 14.9 juta direkodkan menerusi daftar pemilih PRU-14.

Dengan pertambahan pengundi baharu, pastinya pelbagai isu bakal melingkari dan perlu diberi perhatian Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), bagi memastikan perjalanan pilihan raya akan datang berlangsung penuh cermat dan bersih.

Dalam mendepani situasi ini, SPR memerlukan persediaan cukup rapi. Bukan hanya aspek pindaan peraturan pilihan raya sedia ada, namun lebih mencabar memberi kefahaman kepada pengundi berkaitan hak mereka untuk turun mengundi dan mengemas kini rekod tempat bermastautin.

Seperti disentuh Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun, biarpun kelulusan untuk pindaan Perlembagaan Persekutuan sudah diperoleh, namun undi 18 masih tidak boleh dilaksana.

Katanya, ketika ini SPR sedang meneliti isu berkaitan pelaksanaan penuh undi 18 termasuk yang utama, menyediakan satu garis masa dan kajian kos yang lengkap mengenai tempoh sebenar pelaksanaannya.

Antara diberi penumpuan menaik taraf sistem teknologi maklumat SPR; keperluan data jabatan dan agensi termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Penjara serta Kementerian Kesihatan.

Aspek lain turut diambil kira, pindaan kepada Perlembagaan Negeri ataupun undang-undang tubuh Kerajaan Negeri terutama untuk membolehkan warganegara berusia 18 tahun menjadi calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN).

SPR juga seperti dikatakan Azhar, perlu meneliti beberapa aspek teknikal seperti kos sebenar pilihan raya akan datang, kemudahan pilihan raya untuk menjamin keselesaan pengundi, tenaga kerja SPR dan petugas pilihan raya, pusat mengundi baharu serta penetapan lokaliti pengundi baharu.

Berdasarkan situasi ini, belum dapat dipastikan sama ada pelaksanaan undi 18 boleh dilaksana pada PRU ke-15 atau tidak. Semuanya bergantung kepada dua aspek, iaitu keupayaan SPR serta kemampuan kerajaan yang akan menyediakan peruntukan perbelanjaan pilihan raya, yang dijangka naik mendadak.

Dalam memastikan kelancaran, persiapan ke arah undi 18 memerlukan komitmen semua pihak terutama parti politik termasuk pembangkang.

Benar kata Pengerusi SPR, bahawa satu kempen secara besar-besaran perlu dilaksana bagi memberi kesedaran dan kefahaman kepada warganegara yang layak untuk didaftarkan secara automatik, mengenai pentingnya mengemaskini alamat terkini di JPN sebelum inisiatif itu dikuatkuasakan.

“Sesi libat urus akan diadakan dari semasa ke semasa dengan semua pihak berkepentingan, termasuk parti politik dari blok kerajaan dan pembangkang,” katanya.

Justeru, semua pihak terutama parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu mengubah stigma daripada mengkritik SPR seperti sebelum ini, kepada membantu agensi itu dalam menyelesaikan banyak perkara yang mungkin terjadi ketika musim pilihan raya.

Ini termasuk kekeliruan lokaliti tempat mengundi yang bakal dihadapi pengundi, disebabkan rekod daftar pemilih dibuat secara automatik. Selain itu, berkaitan integriti senarai daftar pemilih. Dalam PRU lalu, daftar pemilih antara banyak diperdebat termasuk dikaitkan dengan kewujudan pengundi hantu.

Dakwaan ini tidak mustahil akan terus berulang, apatah lagi dengan pertambahan mendadak bilangan pengundi disebabkan pendaftaran automatik. Dalam mendepani banyak lagi isu yang dijangka memenatkan SPR, sudah pasti memerlukan kesedaran banyak pihak mengenai tugas sukar yang sememangnya akan ditanggung agensi itu ketika ini.

Di pihak kerajaan, perlu terus mendidik rakyat supaya bertanggungjawab dan peka terhadap rekod daftar pemilih mereka, selain melaksana lebih banyak kempen kesedaran kepada orang muda terutama yang baru mencecah usia 18 tahun untuk memahami peranan mereka turun mengundi dalam pilihan raya.

Parti pembangkang mesti mengubah cara dan sikap mereka, dengan mengutamakan penyelesaian masalah dan secara berterusan memberi idea penambahbaikan serta membantu SPR, dalam memastikan proses pilihan raya berlangsung tanpa sebarang kecelaruan dan huru-hara.

Bagi rakyat, mereka perlu menyedari undi 18 bukan proses mudah untuk dilaksana. Ia memerlukan persiapan rapi, bukan hanya berkait soal peruntukan perbelanjaan, namun kesiapsiagaan SPR dalam mengurus perjalanan pilihan raya.

Pengundi perlu sentiasa mengemas kini rekod daftar pemilih masing-masing, supaya tidak timbul masalah terutama menjelang hari pengundian.

Penulis adalah wartawan Meja Am BH

115 dibaca
Berita Harian X