Selasa, 13 Ogos 2019 | 11:01am
ISU perobohan binaan replika berbentuk rehal yang menjadi mercu tanda Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menjadi ‘mangsa’ perdebatan hangat dalam kalangan warga netizen. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Pencerahan awal elak tafsiran negatif netizen

MUTAKHIR ini seakan menjadi kebiasaan apabila ada sahaja isu yang timbul, pasti akan cuba dirangkumkan dalam konteks sentimen perkauman atau konflik agama.

Kenapa boleh sampai jadi begitu? Seolah-olah kotak pemikiran masyarakat kita hari ini semakin ‘sempit’ apabila masing-masing cenderung melihat segala-galanya dalam kerangka perselisihan kaum dan agama, walaupun hakikat sebenar jauh lebih mudah untuk difahami.

Tidakkah kita semua sedar sikap sebegini sangat berisiko menggugat keharmonian yang sekian lama disemai dan dipupuk di negara kita?

Banyak sudah kejadian lalu menjadi bukti. Terbaru isu perobohan binaan replika berbentuk rehal yang menjadi mercu tanda Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang turut menjadi ‘mangsa’ perdebatan hangat dalam kalangan warga netizen.

Ramai ‘melompat’ apabila tindakan meroboh replika itu dikaitkan segelintir pihak kononnya sebagai usaha untuk memperlekeh Islam. Lebih teruk istilah Islamofobia turut kedengaran.

Bukan isu perobohan binaan rehal itu yang ingin dikupas penulis kerana ia sudah dijelaskan DBP.

Tindakan itu diambil atas faktor keselamatan selepas mendapati struktur itu sudah tidak kukuh lagi disebabkan hakisan dan karat yang teruk, sekali gus dibimbangi mengancam keselamatan kakitangan DBP, pengunjung dan orang awam.

Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran, menjelaskan perobohan akan tetap dilaksanakan untuk mengelak bencana lebih serius.

Ternyata kenyataan susulan DBP itu melegakan banyak pihak. Ia sedikit sebanyak meredakan isu yang menjadi ‘perang’ di media sosial kerana rasionalnya keselamatan adalah perkara utama yang perlu dipertimbangkan tanpa kompromi.

Namun, bagi penulis lebih wajar jika DBP dapat memberikan maklumat atau memperjelaskan secara terperinci mengenai tindakan berkenaan sedari awal, sebelum ia menjadi bahan untuk disensasikan di media sosial.

Jelas sekali dalam apa keadaan sekalipun bukan sahaja DBP, malah semua pihak perlu lebih peka terhadap apa juga isu yang cenderung disalah erti terutama membabitkan perkara sensitif. Lantas, ia wajar mendapat penjelasan yang terang.

Dalam dunia tanpa sempadan yang serba mencabar hari ini, wajar untuk semua pihak lebih berhati-hati dengan tidak membuka ruang kepada pihak tertentu menggunakan sesuatu isu untuk membangkitkan sensitiviti yang boleh menggugat perpaduan.

Sebagai negara berbilang kaum, agama dan budaya, wajar untuk kita memelihara dan saling menghormati antara satu sama lain.

Penyebaran fitnah dari hujung jari melalui berita yang tidak jelas dan tidak sahih dalam media sosial sudah menjadi mainan dunia hari ini.

Mungkin isu rehal DBP ini boleh dijadikan pengajaran kepada semua pihak supaya lebih berhati-hati termasuk tidak menjadikannya bahan untuk disensasikan.

Untuk semua termasuk penulis sendiri, iktibar yang boleh dipelajari adalah jangan dengan mudah berkongsi atau menyebarkan sesuatu berita yang tular tanpa kesahihan atau tidak jelas kerana ia hanya akan memburukkan keadaan.

Jadi ambillah langkah positif untuk ubah sikap kita agar menjadi warga media sosial yang lebih berilmu dan bertanggungjawab.

Lebih penting jangan mudah terburu-buru menilai isu dari sudut negatif semata-mata, kerana tidak semua yang berlaku di sekeliling berkait rapat dengan konteks perkauman dan konflik agama.

Ingatlah kalau negatif yang kita pilih, maka negatiflah juga yang akan kita nampak. Begitu jugalah sebaliknya.

Penulis adalah wartawan Meja Agama dan Sastera Berita Harian.

174 dibaca
Berita Harian X