Sabtu, 10 Ogos 2019 | 11:01am
GAMBAR fail, jemaah haji dari seluruh dunia kini berada di Arafah untuk melaksanakan rukun haji kedua iaitu wukuf di Arafah yang bermula dari gelincir matahari pada 9 Zulhijjah iaitu apabila masuk waktu Zohor hingga seketika sebelum terbit fajar 10 Zulhijjah. - Foto BERNAMA

Renungan Arafah

Hari ini, 9 Zulhijjah, adalah Hari Arafah. Pada hari ini lebih dua juta umat Islam dari seluruh pelusuk dunia berwukuf di dataran dan lereng Gunung Arafah.

Wukuf di Arafah adalah kemuncak haji. Tiada haji tanpa wukuf di Arafah. 1,441 tahun yang lalu, di lembah Uranah, Rasulullah SAW memberikan pidato Hari Arafah, pidato teragung dalam sejarah kemanusiaan dan akan terus bergema hingga ke akhir zaman.

“Wahai manusia, bulan apakah sekarang ini?” Rasulullah bertanya kepada ribuan manusia yang menyertai baginda menunaikan fardu Haji.

“Bulan suci”, bergema jawapan mereka. “Sesungguhnya darah dan harta kamu adalah suci sebagaimana sucinya bulan ini. Tanah apakah ini?”, baginda bertanya lagi.

“Tanah suci ya Rasulullah,” jawab jemaah itu lagi. “Sesungguhnya Allah telah menyucikan darah dan harta kamu sebagaimana sucinya tanah ini.

”Hari ini kita tahu betapa pentingnya pidato tersebut, lebih penting dari pidato Periklis menghormati tentera Athen yang terkorban dalam perang melawan Sparta, lebih bernilai dari pidato Abraham Lincoln di Gettysburg kepada yang gugur dalam perang saudara Amerika.”

Lebih seribu tahun setelah Rasulullah SAW menyampaikan pidato Arafah barulah filasuf John Locke menulis “An Essay Concerning the True Original, Extent and End of Civil Government,” yang meletakkan perlindungan nyawa dan harta benda sebagai asas keteraturan pemerintahan moden.

Pemikiran Locke adalah asas kepada gerakan kebebasan dan hak asasi manusia dari pemerintahan kuku besi.

Umat Islam di seluruh dunia perlu mendakap kembali gagasan dan petunjuk yang terkandung di dalam Pidato Arafah sebagai panduan untuk membangun keteraturan sosial dan dalam mengemudi negara.

Nyawa dan hak milik rakyat tergugat bahkan terkorban dan hancur akibat perang dan kehancuran sistem pemerintahan.

Lebih 37 juta manusia menjadi pelarian atau “internally-displaced persons” akibat dari perang saudara, keruntuhan undang-undang dan peraturan serta pelbagai kezaliman dan penindasan yang mengancam nyawa dan harta benda.

Kita bersyukur kerana kestabilan politik yang mantap di Malaysia telah menjamin wujudnya undang-undang dan peraturan yang melindungi nyawa serta hak milik rakyat.

Setahun yang lalu, rakyat Malaysia telah bangkit melakukan perubahan politik dan peralihan kuasa dalam Kerajaan secara aman dan teratur.

Hakikat ini sekali gus telah menyangkal pandangan bahawa rakyat Malaysia mempunyai kematangan demokrasi yang rendah.

Hikmah kolektif rakyat Malaysia menjadikan peralihan kuasa di Malaysia berbeza sama sekali dengan peralihan kuasa yang berlaku di negara-negara lain yang sarat dengan kegoncangan dan kekacauan.

Perubahan yang berlaku menuntut kita untuk merealisasikan tuntutan rakyat untuk mengembalikan Malaysia ke landasan yang sebenar.

Ikhtiar reformasi institusi dan ekonomi sedang giat dilaksanakan untuk membina semula keyakinan para pelabur asing untuk melabuh di Malaysia sekali gus menjana pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Justeru kestabilan yang wujud perlu dipertahankan dan perpaduan rakyat perlu terus digembleng agar rakyat dapat menikmati kesejahteraan dan kemakmuran melalui penjanaan dasar dan kebijakan yang utuh termasuk wawasan Kemakmuran Bersama yang bakal mengembalikan Malaysia sebagai Harimau Asia.

Usaha menggarap kesatuan dan persaudaraan rakyat ini mengingatkan saya kepada perjuangan Malcolm X (Haji Abdul Malik Al-Shabaz) seorang pejuang Afro-Amerika yang memulakan perjuangan dengan kebencian terhadap bangsa kulit putih.

Lebih 60 tahun yang lalui, Malcolm X begitu terkesan melihat kesatuan dan persaudaraan umat manusia tanpa mengira warna kulit di Arafah.

Lantas beliau mengutus surat ke Amerika menyatakan pengalaman beliau menunaikan ibadah haji.

"Di sini terdapat puluhan ribu manusia menunaikan haji. Mereka datang dari seluruh pelusuk dunia. Kulit mereka dari semua warna, dari yang bermata biru dan berambut perang kepada orang Afrika yang berkulit hitam.

“Tetapi mereka semuanya melakukan ibadat yang sama, menzahirkan semangat perpaduan dan persaudaraan di mana pengalaman saya di Amerika menyebabkan saya berpendirian tidak boleh berlaku antara manusia kulit putih dan bukan kulit putih.

“Belum pernah saya melihat persaudaraan yang jujur dan sebenar yang diamalkan bersama oleh manusia dari semua warna.”

Inilah semangat yang perlu kita ambil sempena Eidul Adha ini. Pidato perpisahan Rasulullah di Arafah perlu menjadi landasan untuk membangun demokrasi Malaysia yang berteraskan perpaduan dan persaudaraan rakyat.

Saya sedar bahawa dalam sebuah negara demokrasi, pastinya wujud perbezaan politik. Namun, saya optimis bahawa sejauh mana pun kesenjangan dan jurang perbezaan tersebut, ada titik persamaan yang boleh menyatukan seluruh kepimpinan dan rakyat Malaysia.

Dalam hal ini, saya yakin kepentingan rakyat adalah keutamaan yang tiada tolok bandingnya.

Sempena Hari Arafah ini, saya berdoa semoga seluruh umat Islam khususnya rakyat Malaysia yang sedang mengerjakan ibadah haji agar dipermudahkan segala urusan mereka, diterima amal ibadah mereka dan dikurniakan oleh Allah SWT dengan haji yang mabrur.

Saya juga berdoa semoga seluruh kepimpinan dan rakyat Malaysia menterjemahkan lambang kesatuan ummah di Arafah dengan menguruskan perbezaan dan fahaman politik sekali gus menjana landskap politik baru negara di atas satu keyakinan, satu matlamat dan satu tujuan yakni kepentingan rakyat dan negara.

Penulis adalah Menteri Hal Ehwal Ekonomi

1634 dibaca
Berita Harian X