Jumaat, 9 Ogos 2019 | 11:01am
DATUK Seri Mohd Redzuan Mohd Yusof.

Laluan sukar kembalikan kementerian untuk usahawan

“TUN Dr Mahathir Mohamad berkali-kali pesan dalam apa usaha kita lakukan, kestabilan negara takkan tercapai jika kita tidak stabilkan B40. Maka (perlu) bagi fokus kepada bangsa Melayu, apabila Melayu stabil negara juga akan stabil,” kata Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusof.

Perkongsian Menteri Pembangunan Usahawan (MED) itu melekat dalam ingatan kami selepas pertemuan sempena temu bual eksklusif ketika kunjungannya ke Balai Berita, The New Straits Times Press (NSTP) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kata-kata Mohd Redzuan atau lebih mesra dipanggil Pak Wan sudah memadai sebagai pengesahan komitmen kerajaan baharu kepada isu sensitif pembangunan Bumiputera yang sering dipolitikkan sejak Pakatan Harapan (PH) menubuhkan kerajaan.

Justeru, Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) diperkenalkan dengan penekanan kepada golongan B40, bahkan visi MED kini lebih jauh untuk menyatukan kembali semua program dan dana pembangunan usahawan supaya dapat digerakkan secara bersepadu di bawah satu kementerian.

Tidak semudah dirancang, ia bakal mengundang cabaran besar dengan usia MED baru ‘setahun jagung’ selepas diwujudkan semula oleh kerajaan PH untuk memayungi usahawan sejak Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD) dimansuhkan oleh Datuk Seri Najib Razak pada April 2009.

Justeru, kementerian itu sudah dua kali tidak terbabit dalam rancangan lima tahun pembangunan Malaysia iaitu Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10) dan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11), walaupun program pembangunan usahawan terus dilaksanakan pada semua peringkat pelbagai kementerian dan agensi.

Analogi mudah dengan melihat peruntukan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi 2019 iaitu sekitar RM4.5 bilion namun, semua dana terbabit diletakkan di pelbagai kementerian dan agensi lain yang sudah memiliki program keusahawanan masing-masing.

Tanpa peruntukan seperti dialami MED dalam RMKe-11, kementerian itu masih tempang dan terpaksa ‘mengemis’ mengharapkan ihsan rakan menterinya lain untuk mendapatkan perbelanjaan menjalankan tanggungjawab membangunkan usahawan, apatah lagi melaksanakan DKN 2030 nanti.

Tidak hairanlah sejak pembubaran MeCD, kepemimpinan Najib beberapa kali dihimpit gesaan menuntut supaya mewujudkan semula kementerian itu oleh pertubuhan perniagaan pada 2010 dan kemuncak kekecewaan usahawan itu diperjuangkan Allahyarham Datuk Dr Maznah Hamid pada 2013.

Masalah timbul selepas sembilan bulan pembubaran MeCD yang menyaksikan enam pertubuhan Melayu meluluskan resolusi tuntutan MeCD diwujudkan kembali apabila lapan kementerian yang diberi peranan memayungi usahawan gagal melaksanakan program berkesan, kerenah birokrasi dan dinafikan hak mendapatkan pinjaman berbanding khidmat di bawah satu bumbung sebelum itu.

Bahkan tiga tahun kemudian masalah pembangunan usahawan berlanjutan apabila Allahyarham Maznah meminta Najib mengembalikan agensi pembiaya di bawah satu kementerian selepas mendapati agensi pembiaya terpaksa bekerja mengikut fungsi dan objektif kementerian yang berbeza, selain mewujudkan tambahan kos operasi kementerian.

Hanya pada 2016 sebuah Jawatankuasa Khas Kabinet Bagi Membantu Usahawan Muda ditubuhkan untuk melihat keberhasilan semua tabung, inisiatif dan langkah dilaksanakan semua agensi kerajaan membantu usahawan sedia ada.

Namun, persoalannya sejauh manakah kerajaan kepemimpinan dulu berjaya membangunkan usahawan tanpa MeCD? Atau persoalan lebih sensitif sejauh manakah jurang ekonomi Bumiputera dirapatkan dan sejauh mana pula jurang golongan pendapatan bawah B40 dirapatkan dengan kelompok teratas T20?

Bagi menjawabnya, analisis Bank Islam kepada data penyimpan Amanah Saham Bumiputera (ASB) berdasarkan sumber laporan tahunan ASB sesuai dijadikan ukuran.

Berdasarkan simpanan pelaburan ASB untuk 2018 menyaksikan jumlah pemegang unit bagi simpanan RM5,000 dan ke bawah adalah seramai 7.4 juta atau mewakili 76.9 peratus dengan purata simpanan sekitar RM555.

Jumlah pemegang unit bagi simpanan RM500,000 dan ke atas pula seramai 23,304 atau mewakili 0.2 peratus dengan purata simpanan yang jauh terlalu tinggi berlegar sekitar RM786,00.

Memetik pendapat Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, menyatakan data itu mencadangkan suasana jurang kekayaan yang masih lebar dalam kalangan Bumiputera walaupun secara keseluruhannya, Bumiputera kini semakin ramai mampu menyimpan dan sedar kepentingan melabur untuk pulangan berpatutan

Penulis adalah wartawan Meja Bisnes Berita Harian

146 dibaca
Berita Harian X