Rabu, 7 Ogos 2019 | 11:01am
- Foto Hiasan

Tangani kekurangan doktor pakar hospital kerajaan

SETIAP tahun ada sahaja doktor pakar hospital kerajaan meletak jawatan dan lari menyertai hospital swasta. Alasannya tiada kenaikan pangkat selepas 10 tahun berkhidmat dengan hospital kerajaan, malah tawaran gaji lumayan menyebabkan mereka tertarik beralih angin.

Kekurangan doktor pakar paling kritikal dalam bidang neurologi, kardiotorasik, kardiologi, onkologi, paliatif, geriatrik dan neurosurgeri menyebabkan banyak kes tertunggak, manakala pesakit terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan rawatan.

Itu belum lagi pesakit terpaksa ditolak ke hospital lain disebabkan ketiadaan doktor pakar, peralatan rawatan atau katil yang mencukupi. Mahu tidak mahu terpaksa menderita menanggung kesakitan, tidak kurang juga meninggal dunia sebelum sempat menerima rawatan.

Kita asyik bersembang mengenai hasrat menjadi negara maju dan memiliki kemudahan perubatan canggih, sebaliknya hospital kerajaan masih kekurangan pakar bagi menyantuni keperluan rakyat tempatan yang sakit.

Pendapatan penduduk golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan berpendapatan sederhana (M40) sekadar cukup makan, malah kadangkala umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Semuanya dek beban hutang yang menyebabkan mereka terpaksa menghadapi kerenah birokrasi apabila mendapatkan rawatan di hospital kerajaan.

Untuk ke hospital swasta tidak mampu memandangkan kos tinggi, akhirnya masyarakat B40 dan M40 terpaksa reda memanjat tangga hospital kerajaan bagi mendapatkan konsultasi, rawatan dan ubat-ubatan.

Kes kekurangan pakar bekerja dengan Kementerian Kesihatan bukan perkara baharu. Ia ketara sejak lapan tahun lalu, apabila banyak hospital swasta dibina kononnya ingin membantu mengurangkan bebanan hospital kerajaan.

Kementerian Kesihatan pernah memberitahu pada 2011 hingga 2016, 150 doktor pakarnya meletakkan jawatan. Sidang Dewan Rakyat pada Mac 2017 pernah melaporkan negara mempunyai 46,461 doktor dengan 35,545 daripadanya berkhidmat di sektor awam dan 12,446 lagi di sektor swasta.

Walaupun bilangannya ramai, ia tidak mampu menangani masalah kebanjiran pesakit. Setakat ini, nisbah doktor kepada pesakit di Malaysia adalah satu doktor bagi setiap 520 pesakit. Walaupun masih tidak mencapai nisbah satu doktor kepada pesakit (1:450), ada mismatched dari segi bekalan doktor dan kepakaran mereka.

Berbalik kepada masalah kekurangan pakar di hospital kerajaan, pada 2017 sahaja 124 doktor meletak jawatan untuk berpindah ke hospital swasta, manakala pada Januari hingga September 2018, 128 orang mengambil langkah sama.

Ketika perasmian Persidangan dan Pameran Kesihatan Antarabangsa anjuran Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) baru-baru ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, memberitahu setiap dua hari ada seorang doktor pakar hospital kerajaan meletak jawatan untuk menyertai hospital swasta.

Persoalannya, adakah doktor pakar yang sudah berhijrah ini berganti?

Saban tahun ada sahaja graduan perubatan dikeluarkan universiti tempatan mahupun luar negara. Ke mana mereka pergi atau sekadar menganggur dengan segulung ijazah atau mencari pekerjaan di luar bidang pembelajaran.

Pada masa sama, institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mahupun swasta (IPTS) terus mengeluarkan graduan perubatan. Pastinya akan berlaku lambakan graduan ini apabila kekosongan ditinggalkan tidak diisi.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika pembentangan Belanjawan 2019, sudah mengarahkan Kementerian Kesihatan mengambil 3,000 pelajar perubatan untuk melakukan housemanship atau doktor pelatih bagi mengatasi masalah pemindahan pakar perubatan berkenaan.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataannya, meminta graduan perubatan mendapat Surat Layak Daftar daripada Majlis Perubatan Malaysia (MPM) untuk kegunaan permohonan lantikan sebagai Pegawai Perubatan Siswazah.

Mereka perlu mengemukakan ijazah asal perubatan dari universiti atau kolej perubatan diiktiraf MPM bagi memudahkan majlis mengeluarkan Surat Layak Daftar untuk diserahkan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Bagi memudahkan lantikan graduan perubatan sebagai Pegawai Perubatan Siswazah, Kementerian Kesihatan dan MPM memutuskan pemberian Surat Layak Daftar juga kini dipanjangkan kepada graduan perubatan yang mengemukakan transkrip akhir universiti (keputusan peperiksaan akhir) yang ditandatangani Presiden, Senat, Rektor atau Pendaftar Universiti sebagai alternatif.

Kriteria ini sejajar dengan Akta Perubatan 1971.

Penulis adalah wartawan Meja Wanita dan Gaya Hidup Berita Harian

Berita Harian X