Selasa, 6 Ogos 2019 | 11:02am
- Foto Hiasan

Mansuh UPSR: Apa neraca pilihan ke SBP, MRSM?

SECARA umum persekolahan bertujuan mencungkil potensi murid dalam beberapa bidang seperti kesenian, kesukanan, kemahiran atau akademik dan kerohanian.

Murid sekolah rendah yang sudah dikenal pasti kecenderungan mereka akan disalurkan ke institusi yang sesuai seperti sekolah seni, sekolah sukan, sekolah teknik atau kolej vokasional dan sekolah berasrama penuh (SBP), atau Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) serta sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA).

SBP, MRSM dan SMKA sangat popular kerana masyarakat masih memberi keutamaan kepada aliran akademik seperti penguasaan dalam subjek Sains dan Matematik serta bahasa atau agama.

Pandangan komuniti ini memberi tekanan kepada sekolah untuk menyediakan murid dengan pelbagai kemahiran selengkap mungkin, sebelum menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Selain sekolah perlu mengadakan kelas tambahan dan program latih tubi, tekanan untuk cemerlang dalam akademik mewujudkan perniagaan tuisyen kerana ibu bapa tidak mahu anak mereka ketinggalan dalam persaingan ini.

Guru juga terbeban untuk membantu anak didik mencapai gred lebih baik dalam setiap mata pelajaran.

Dari segi pentaksiran, UPSR bukan dianggap peperiksaan awam yang memberi sijil untuk memasuki alam pekerjaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun ibu bapa masih memandang tinggi jumlah gred A diraih dalam peperiksaan itu.

Justeru, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) kelmarin mahu Kementerian Pendidikan meneliti semula cadangan diutarakan kira-kira tiga tahun lalu untuk memansuhkan UPSR.

NUTP berpendapat ada banyak kaedah lain untuk menilai kemenjadian murid seperti Pentaksiran Berasaskan Sekolah, ujian psikometrik dan ujian akademik yang ditadbir sekolah, bukan agensi pusat seperti Lembaga Peperiksaan (LP).

Timbul persoalan, bagaimana untuk memilih murid ke SBP, MRSM dan SMKA?

Sebenarnya, ada instrumen lain untuk menyaring murid ke semua sekolah ini seperti ujian khas dan temu duga hanya untuk murid yang berminat.

Ini bermakna murid yang tidak mahu meneruskan persekolahan peringkat menengah ke SBP, MRSM atau SMKA, tidak perlu menyediakan diri untuk ujian berpusat seperti UPSR.

Ini sekali gus mengurangkan tekanan ke atas guru untuk melengkapkan murid dengan kemahiran menjawab soalan peperiksaan, sebelum menduduki ujian berpusat bagi semua murid Tahun Enam seperti UPSR sekarang.

LP sudah melaksanakan kaedah ini dengan menghapuskan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada 2014 dan diganti dengan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3). Namun, stigma masyarakat mahu calon dapat banyak A menjadikan PT3 juga mengalami ‘nasib’ hampir sama dengan PMR.

Jadi, cadangan pemansuhan UPSR belum tentu mengurangkan tekanan ke atas murid dan guru kerana sistem pendidikan di negara ini masih dianggap berasaskan peperiksaan.

Sehingga dasar baharu diumumkan, untuk beberapa tahun berikut ini, UPSR masih menjadi pengukur utama untuk ke SBP, MRSM dan SMKA.

Sekadar panduan am bagi ibu bapa yang mempunyai anak yang akan menduduki UPSR bulan depan, ada empat program di MRSM.

Pertama aliran perdana - menyediakan pelajar untuk menduduki SPM dan keduanya, aliran IGCSE (International General Certificate of Secondary Education), iaitu kurikulum Cambridge International dengan pengajian dalam bahasa Inggeris dan peperiksaan diduduki ketika Tingkatan Empat. Pelajar MRSM aliran IGCSE juga menduduki SPM ketika di Tingkatan Lima.

Program ketiga; aliran ulul albab (hafazan dan juga menduduki SPM) serta keempat; aliran teknikal (hanya di MRSM Bentong).

Secara umumnya, SBP menyediakan pelajar untuk menduduki SPM, sama ada aliran sains tulen atau sains gunaan serta aliran teknikal dan hafazan di SBP integrasi.

SMKA pula untuk aliran agama Islam dan pelajar juga mesti tinggal di asrama. Ada juga sekolah menengah agama negeri yang tidak mewajibkan pelajar tinggal di asrama.

Mulai tahun lalu, murid daripada keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) diberi pertimbangan khas untuk ke SBP, MRSM dan SMKA dengan peruntukan kira-kira 60 peratus daripada tempat persekolahan.

Dasar ini menjadikan persaingan dalam kalangan murid dari keluarga berpendapatan 40 peratus pertengahan (M40) dan 20 peratus tertinggi (Top20) lebih sengit bagi merebut baki kira-kira 40 peratus lagi tempat diperuntukkan.

Selain memilih aliran sesuai dengan minat dan keupayaan anak, ibu bapa juga perlu mempertimbang lokasi SBP, MRSM atau SMKA. Pelajar dibenarkan pulang bermalam ke rumah sebulan sekali dan ada juga pilihan untuk pulang setiap dua minggu.

Kemudahan pulang ke rumah memerlukan ibu bapa mengambil dan menghantar anak kerana ada institusi yang jauh daripada sistem pengangkutan awam atau pihak sekolah dan persatuan ibu bapa, tidak dapat menyediakan pengangkutan alternatif.

Keadaan ini menuntut masa, tenaga dan kos untuk berulang alik ke institusi setiap dua minggu atau sebulan sekali.

Situasi menjadi lebih sukar jika ibu bapa bekerja di negeri yang cuti hujung minggu jatuh pada Sabtu dan Ahad, manakala anak-anak berada di sekolah yang cuti hujung minggu pada Jumaat dan Sabtu.

Jadi, pilihan lokasi SBP, MRSM atau SMKA perlu diberi perhatian kerana pelajar terpilih akan berada di sekolah berkenaan selama lima tahun. Pertimbangan dan pilihan di tangan ibu bapa dan anak.

Penulis adalah Pengarang Berita, Berita Harian

Berita Harian X