Ahad, 4 Ogos 2019 | 11:00am

Utamakan 60 tahun ke atas tunai haji


Pemandangan dari udara Masjidil Haram pada waktu petang. - Foto Azura Abbas

Belalang rasa bersyukur apabila permohonan Malaysia mendapatkan tambahan kuota haji pada tahun ini diluluskan Kerajaan Arab Saudi, meskipun jumlah sebenar tambahan itu tidak didedahkan.

Belalang juga bersyukur dengan kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh mengenai kemungkinan warga emas dibolehkan memotong giliran untuk menunaikan haji lebih awal daripada jadual asal.

Jika dijadikan dasar oleh Tabung Haji (TH) selain keutamaan kepada yang kali pertama menunaikan Rukun Islam Kelima itu, tidaklah lagi kedengaran tempoh menunggu sehingga lebih 100 tahun.

Syarikat perlu bantu reda jerebu

Saban tahun negara kita dilanda jerebu. Puncanya sama, iaitu kebakaran hutan di Kalimantan.

Belalang ingin tanya di mana silapnya? Kita faham, kekangan dihadapi Jakarta untuk memadam kebakaran yang seluas lima kali ganda saiz Semenanjung Malaysia, tetapi di mana syarikat besar, terutama pengusaha ladang sawit?

Sepatutnya, syarikat ini menyediakan pelan tindakan untuk mencegah kebakaran hutan membabitkan ladang sawit, selain menyediakan dana memadam kebakaran. Begitu juga pihak berkuasa tempatan di Kalimantan perlu bertindak awal, terutama membabitkan ladang persendirian penduduk setempat.

Apabila lif tak diselenggara

Satu aspek yang kerap diabaikan di negara kita ini ialah budaya penyelenggaraan. Sebab itu, kita kerap mendengar aduan mengenai kerosakan lif yang dikatakan berlaku saban minggu.

Belalang tidak terkejut, tetapi terkilan apabila berlaku insiden lif di PPR Kerinchi di ibu negara, terhempas hingga menyebabkan lapan cedera. Siasatan segera perlu dilakukan bukan sahaja membabitkan PPR Kerinchi, malah semua pangsapuri di mana sahaja, termasuk di negeri lain.

Pihak berkuasa tempatan dan pemilik bangunan perlu pastikan kontraktor dilantik menyelenggara lif, adalah berdaftar dan kompeten. Lif perlu sentiasa diselenggara, selain mesti ada butang kecemasan boleh didengari pihak pengurusan dan penghuni jika berlaku sesuatu dalam lif.

447 dibaca
Berita Harian X