Khamis, 18 Julai 2019 | 11:00am
Pengecualian cukai barangan di kompleks komersial sekitar Bukit Kayu Hitam mampu menarik kedatangan pelancong.

Meriahkan semula Bukit Kayu Hitam

Pada 18 Jun lalu, sejarah baharu tercipta apabila kerajaan Malaysia dan Thailand bersetuju membuka pintu sempadan 24 jam di laluan masuk Bukit Kayu Hitam dan wilayah Sadao bagi tempoh percubaan selama tiga bulan.

Pada mulanya, ramai yang gembira menyangka pembukaan pintu sempadan 24 jam itu turut membabitkan pergerakan pelancong, namun akhirnya ramai yang kecewa apabila mengetahui hanya operasi kargo dibenarkan.

Apa sekalipun, langkah itu sebenarnya tepat kerana selama ini berlaku deretan panjang lori kargo yang terpaksa menunggu antara tiga hingga enam jam bagi melepasi pemeriksaan pihak berkuasa Malaysia-Thailand.

Bagi mereka yang biasa melalui Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) kedua-dua negara, pemandangan barisan lori kargo beratur panjang, kadang kala sehingga tiga hingga empat kilometer adalah sesuatu yang biasa, terutama pada waktu awal pagi.

Keadaan bertambah buruk apabila cuti hujung minggu atau musim cuti sekolah dengan jumlah pelancong meningkat mendadak sehingga berlaku kesesakan teruk di kedua belah arah. Malah, proses mengecop pasport yang biasanya hanya mengambil masa kira-kira 15 minit boleh berlarutan sehingga dua jam akibat peningkatan pengunjung dan kenderaan yang melalui pintu sempadan.

Selain aktiviti perdagangan, Danok yang menjadi pekan kembar kepada Bukit Kayu Hitam sememangnya menjadi tumpuan rakyat Malaysia, sama ada untuk berhibur atau melancong, selain menjadi tempat orang ramai mencari pelbagai barangan terutamanya beras Siam pada harga murah.

Difahamkan, Danok mula menjadi tumpuan pada awal 1990-an apabila banyak bangunan komersial baharu menempatkan hotel, premis perniagaan dan pusat hiburan dibina bagi menarik pelancong yang kebanyakannya ketika itu memilih untuk ke Hatyai.

Bagaimanapun, berbanding Hatyai yang lebih besar dan terletak kira-kira satu jam perjalanan darat, Danok cuma pekan kecil, namun lengkap dengan pelbagai tarikan yang mampu menarik perhatian pengunjung setiap hari.

Kejatuhan nilai mata wang Ringgit Malaysia (RM) berbanding Baht Thailand ketika ini juga tidak menghalang pelancong Malaysia terutama dari Kedah, Pulau Pinang dan Perak terus berkunjung ke negara jiran itu yang produknya masih dianggap murah.

Hakikatnya, limpahan ekonomi yang dinikmati peniaga dan pengusaha di negara jiran itu gagal dirasai usahawan tempatan yang menjalankan operasi mereka pada jarak tidak sampai satu kilometer. Aktiviti perniagaan di Kompleks Bebas Cukai tidak semeriah di premis komersial di Danok, malah keadaan lebih buruk bagi peniaga di Kompleks Darul Qiyam dan Bazar Bukit Kayu Hitam apabila tidak ada langsung yang berkunjung ke kedai mereka.

Ketidakseimbangan aktiviti ekonomi ini sangat mendukacitakan di pihak Malaysia, kerana setiap hari aktiviti di pintu sempadan sentiasa sibuk dengan kegiatan perdagangan dan keluar masuk pelancong. Di pihak Malaysia, sesuatu harus dilakukan bagi menarik kehadiran pengunjung ke pusat komersial berkenaan dengan antara cadangan adalah pembukaan cawangan bank, perkhidmatan insurans kenderaan dan pengurup wang bagi menggalakkan pelancong singgah.

Pihak berkuasa mungkin tidak boleh meniru sepenuhnya konsep tarikan di wilayah seberang itu, tetapi sebolehnya membantu peniaga tempatan dengan memberi pengecualian cukai kepada barangan yang dijual di kompleks komersial sekitar Bukit Kayu Hitam.

Langkah itu, selain dapat memeriahkan kembali Bukit Kayu Hitam, ia turut dapat membantu peniaga tempatan kembali bersaing dan menjana pendapatan penduduk setempat setelah mengalami kerugian sejak sekian lama.

Bagi menarik perhatian pelancong Thailand dan mengambil kesempatan atas nilai tukaran wang, kerajaan negeri juga boleh merancang membina taman tema seperti yang dibina di Johor yang menyasarkan pelancong Singapura.

Sebagai permulaan, tidak perlu taman tema berskala besar membabitkan pelaburan tinggi, namun cukup sekadar taman permainan berskala sederhana yang mampu mengundang kehadiran pelancong asing.

Sekiranya semua ini dapat dilakukan, tidak mustahil kemeriahan Bukit Kayu Hitam sebagai pintu masuk utama negara di utara Semenanjung dapat dijelmakan kembali pada masa hadapan.

Penulis adalah Ketua Biro Berita Harian Kedah

198 dibaca
Berita Harian X