Rabu, 17 Julai 2019 | 11:01am
Kumpulan 12 yang memasuki Wilayah Donestk, timur Ukraine untuk mengambil kotak hitam, perakam suara dan

Kumpulan 12 hero tak didendang

Sempena lima tahun tragedi MH17 - “Mus, lindungi kotak hitam ini walau dengan nyawa kita sekalipun,” kata Ketua Perunding Kumpulan 12, Kolonel Mohd Sakri Hussin kepada anggota kumpulannya, Mejar Mohammad Mustaffa Omar dari Pasukan Khas Udara (PASKAU).

Ia sejurus kumpulan itu menerima maklumat ada cubaan memintas kereta api dinaiki mereka keluar dari wilayah bergolak, Donestsk di timur Ukraine bersama kotak hitam, perakam suara dan 298 jenazah mangsa tragedi pesawat malang, MH17 pada 22 Julai 2014.

Difahamkan, turut digerakkan ketika itu sebuah lagi kereta api sebagai decoy atau penyamaran bagi memastikan pergerakan kereta api sebenar keluar dari zon perang berkenaan tidak dapat dikesan pihak tertentu yang berkepentingan terhadap muatan dibawa.

Perjalanan dari Donestk ke Kharkiv, yang dianggap zon selamat bagi melakukan pengecaman mangsa bencana (DVI) sebelum diterbangkan ke Hilversum, Belanda untuk proses forensik adalah satu tempoh cukup genting!

Biarpun nyawa jadi taruhan, misi berat itu berjaya diselesaikan Kumpulan 12 atau The Dozen Person demi negara, seterusnya mengakhiri penantian waris semua anak kapal dan penumpang pesawat malang berkenaan.

Cuma berbekalkan ‘tangan kosong’, selebihnya berserah kepada Tuhan, keberanian mereka masuk ke ground zero, termasuk berunding dengan kumpulan pemisah terutama pemimpinnya, Alexander Boradai, yang menguasai wilayah itu dikagumi masyarakat antarabangsa.

Tidak keterlaluan jika dikatakan, tanpa usaha mereka mengatur misi itu, mustahil untuk semua mayat mangsa dan bahan bukti berkaitan dibawa keluar dari zon perang.

Operasi Kumpulan 12 ketika itu cukup mencabar kerana wujud banyak pihak berkepentingan, termasuk dalam kalangan kuasa besar dunia.

Ia meletakkan mereka dalam situasi lebih sukar, setiap anggota perlu sentiasa berwaspada ‘siapa kawan, siapa musuh’. Namun, di sebalik kesukaran dihadapi, misi getir itu berjaya dilaksanakan dalam tempoh 24 jam, tiga hari selepas MH17 ditembak jatuh.

Kejayaan itu amat dikagumi masyarakat antarabangsa dan hari ini, genap lima tahun tragedi hitam itu berlalu, kisah 12 wira negara ini terus tidak didendang, sekadar dipandang sepi sedangkan sumbangan mereka cukup besar.

Ketika majlis memperingati ulang tahun pertama tragedi MH17 sebelum ini, tiada kelibat anggota Kumpulan 12. Difahamkan, mereka langsung tidak menerima jemputan menghadirinya.

Untuk tahun berikutnya, kisah bertumpu kepada kehidupan pasca tragedi waris mangsa sehinggakan waris sendiri pun tidak tahu apa lagi yang mahu diceritakan, khususnya kepada media.

Malah, kebanyakan waris sudah move on, membina kehidupan baharu dan tidak mahu lagi mengimbas episod duka itu, kecuali melihat pihak bertanggungjawab diheret ke muka pengadilan.

Bagi Kumpulan 12, cukup menyedihkan kerana kisah mereka terus tidak didendangkan, malah tiada langsung pengiktirafan sehingga kini. Ya, benar wira tidak didendang, apa lagi meminta untuk disanjung atau diangkat sebagai wira negara atau Hero Malaysia.

Namun, selayaknya mereka diberi pengiktirafan sewajarnya, setimpal dengan pelbagai risiko keselamatan dan pengorbanan melaksanakan misi itu dengan jayanya.

Kumpulan 12 wajar dikurniakan pingat keberanian tertinggi negara kerana bukan calang-calang individu boleh masuk ke titik garisan konflik, berunding dengan ketua pemisah dan menyempurnakan misi digalas.

Setiap anggotanya juga layak menerima kenaikan pangkat secara merit seiring penugasan cemerlang itu. Namun, hanya sebilangan memperoleh peluang itu sedangkan merekalah yang berada di lapangan, bergadai nyawa melaksanakan misi yang diamanahkan.

Pengorbanan Kumpulan 12 cukup besar dalam memastikan setiap jenazah mangsa dibawa keluar dari lokasi tragedi, seterusnya disempurnakan untuk dibawa pulang ke ‘perhentian terakhir’ masing-masing.

Selain Mohd Sakri dan Muhammad Mustaffa, Kumpulan 12 turut dianggotai Brigedier Jeneral Datuk Dr Mohd Ilham Haron (Pakar Forensik Pergigian Tentera), Datuk Dr Mohd Shah Mahmood (Pakar Forensik Patologi dan DVI), Kolonel Dr Mohd Hafizi Abdullah (Pakar Perubatan Kecemasan Tentera) dan Rosli Shaari (Pakar Komunikasi GIRN - Sapura Secured Technologies).

Tidak ketinggalan Kapten Dr Mohd Zainizam Zainal (Doktor Perubatan Tentera/Jurubahasa), Mejar Nazri Musman (ATM), Inspektor Abd Rahim Abd Aziz (SMART), Sarjan Shahrizal Abu Bakar (PASKAU), Koperal Rosli Mustafa (PASKAU) dan Laskar Udara Kanan Mohd Afendy Ahmad Zaini (PASKAU)

Jika tidak kita sendiri menghargai wira negara ini, siapa lagi? Terima kasih Kumpulan 12. Jasa anda sentiasa dikenang!

Penulis adalah Penulis Khas Berita Harian

Berita Harian X