Selasa, 16 Julai 2019 | 11:40am
Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Bersediakah SPR laksana daftar undi automatik?

SIDANG Dewan Rakyat minggu ini menyaksikan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 sekali lagi dibentangkan ke pengetahuan ahli dewan selepas ia ditarik balik sehari sebelum itu.

RUU yang baru dibentang untuk bacaan kali pertama ini menyentuh tiga pindaan cukup besar berbanding satu sebelum ini, apatah lagi membabitkan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan sokongan dua pertiga ahli Dewan Rakyat.

Selain menurunkan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun, dua pindaan baharu yang dimasukkan, berkait pendaftaran pengundi secara automatik dan kelayakan menjadi calon pilihan raya kepada 18 tahun, berbanding 21 tahun sebelum ini.

Umum mengetahui, penurunan had usia mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun sudah mendapat konsensus lebih awal dan dipersetujui 32 parti politik, baik kerajaan, mahupun pembangkang.

Langkah ini membuka ekosistem baharu pilihan raya, dengan memberi lebih ruang generasi muda membuat pilihan dalam menentukan masa depan negara dan bertanggungjawab ke atas tanah airnya.

Namun, daripada tiga pindaan disentuh, pendaftaran mengundi secara automatik, walaupun bukan perkara baharu didengari, namun ia sudah lama diperdebat.

Biarpun semua pemimpin politik menyatakan komitmen kaedah itu sememangnya boleh dilaksana dalam sistem pilihan raya, namun nada sama jarang dinyatakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

SPR sejak di era pemerintahan Barisan Nasional (BN) lagi, melihat pendaftaran secara automatik ini memerlukan penelitian dan kajian mendalam untuk dilaksanakan biarpun pindaan ke atas Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan boleh dan berjaya dilakukan.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun dan bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof serta Tan Sri Mohd Hashim Abdullah mengakui, pendaftaran secara automatik ini tidak semudah disangka, memandangkan pelaksanaannya kelak memerlukan persiapan terhadap beberapa aspek teknikal.

Antara yang disentuh mereka berkait data daftar pemilih. Ketika ini data peribadi yang boleh digunakan bagi mendaftarkan diri sebagai pengundi secara automatik adalah menerusi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Dalam erti kata lain, ia menggunakan alamat tertera dalam kad pengenalan bagi menentukan lokaliti tempat mengundi.

Sudah pasti SPR memerlukan akses secara langsung kepada data peribadi JPN bagi membolehkan senarai daftar pemilih pengundi di seluruh negara dikemas kini hampir setiap hari dalam rekod SPR.

Lantas kredibiliti rekod data pendaftaran JPN mesti diyakini bagi mengelakkan timbul masalah atau maklumat bercanggah dalam daftar pemilih SPR kelak. Jika tidak, berpusu-pusu bantahan akan diterima SPR.

Sebelum ini pun SPR masih bergelut dengan cabaran membersihkan daftar pemilih mereka, yang dipersoalkan banyak pihak baik daripada badan bukan kerajaan (NGO) mahupun parti politik. Apakah SPR bersedia mendengar lebih banyak bantahan diterima?

Satu kebimbangan dibangkitkan SPR juga, akan berlakunya penambahan kepada bilangan pengundi di Selangor dan Kuala Lumpur menerusi daftar automatik. Ini kerana, jutaan pengundi bermastautin di Lembah Klang ketika ini, kebanyakannya mengundi di kampung halaman atau di luar ibu kota.

Jika ini berlaku, maka kita akan melihat ketidakseimbangan jumlah pemilih di banyak kawasan pilihan raya di Lembah Klang, baik di kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).

Situasi ini pasti memberi cabaran kepada SPR, terutama berkait kelancaran proses pengundian ketika pilihan raya, yang menyentuh soal keperluan logistik, keselamatan dan penugasan pegawai.

Ditambah peningkatan bilangan pengundi muda berusia 18, 19 dan 20 tahun yang akan tersenarai dalam daftar pemilih, ia memerlukan peruntukan besar yang perlu disediakan kerajaan.

Satu aspek lagi menyentuh soal peratusan keluar mengundi. Ketika ini, direkodkan lebih 3.5 juta pengundi layak masih tidak mendaftar sebagai pengundi di mana majoritinya adalah orang muda. Ini disebabkan masalah kesedaran individu itu sendiri.

Ya, benar menerusi platform pendaftaran automatik, mereka ini akan didaftarkan. Namun ia tidak memberi jaminan berkenaan soal kesedaran mereka untuk turun mengundi.

Inilah yang dijangkakan SPR mengenai kemerosotan kepada peratusan keluar mengundi, jika dinilai prestasi pada setiap kali PRU atau pilihan raya kecil (PRK).

Justeru, biarpun langkah mendaftarkan pengundi secara automatik nampak indah dan sebahagian usaha meluaskan demokrasi negara, namun ia perlu disusuli satu tindakan bertanggungjawab bukan hanya oleh SPR dan JPN sebagai badan pelaksana, yang lebih utama adalah pemimpin parti politik, terutama ahli Dewan Rakyat.

Semua Ahli Parlimen bertanggungjawab ke atas semua perjalanan proses pilihan raya ekoran pindaan ini kelak, yang menyentuh bukan saja soal integriti senarai daftar pemilih, malah lokaliti, logistik, perbelanjaan pilihan raya serta terpenting kesedaran rakyat.

Biarpun SPR dan JPN hanya badan pelaksana, namun menjadi keperluan kepada parti politik khususnya, untuk mengambil kira soal ketersediaan dua agensi pelaksana ini bagi mengelakkan perjalanan sistem pilihan raya negara kelam kabut sehingga dicemuh rakyat dan dipersoal banyak pihak.

Penulis adalah wartawan Meja Am Berita Harian

173 dibaca
Berita Harian X