Isnin, 8 Julai 2019 | 11:00am
GAMBAR fail, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengadakan sidang media pada sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

#Undi18, akta belia corak masa depan

Persidangan Dewan Rakyat bermula minggu lalu menyaksikan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mendapat ‘laluan mudah’ apabila pindaan Rang Undang-Undang Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 diluluskan.

Perkara pokok dalam RUU berkenaan ialah menurunkan had umur belia kepada 30 tahun, berbanding 40 tahun yang berkuat kuasa sekarang.

Pindaan lain membabitkan peruntukan tempoh pemegang jawatan dalam sesuatu pertubuhan, iaitu tidak kurang daripada 18 tahun dan tidak melebihi 30 tahun pada tarikh pelantikannya.

Meskipun ada Yang Berhormat (YB) daripada blok pembangkang tidak setuju dan mencadangkan dibuat pindaan supaya hanya diturunkan kepada 35 tahun, ia tidak menghalang Akta 668 itu diluluskan selepas dibahaskan kira-kira lima jam oleh 17 wakil rakyat.

“Alhamdulillah. Pindaan kepada akta yang menurunkan umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun dibentang dan diterima di Parlimen.

“Zaman di mana belia lingkungan umur 40 tahun mendominasi pertubuhan belia sudah tamat,” kata Syed Saddiq yang juga Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Sehari selepas pindaan berkenaan diluluskan, YB berusia 27 tahun itu membentangkan pula RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi bacaan kali pertama. Bacaan kali kedua dijangka pada persidangan Parlimen berakhir 18 Julai ini.

Usul pindaan Perkara 119(1) Perlembagaan itu bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun. Ia sebahagian janji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) dan dipersetujui sebulat suara oleh Kabinet pada September tahun lalu.

Pindaan itu bukti kerajaan mengutamakan anak muda dan ini bakal mencorakkan masa depan negara dengan pembabitan secara langsung golongan itu.

Ia juga bertujuan memperkasakan suara dan peranan anak muda dalam usaha memakmurkan negara.

Ketika ini, cadangan itu mendapat sokongan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan sivil serta agamawan.

Syed Saddiq sendiri giat mempromosinya di media sosial menerusi #Undi18.

Beliau mengadakan perjumpaan dengan pemimpin pembangkang dalam usaha meraih sokongan. Tanpa sokongan YB pembangkang, usul berkenaan tidak akan ke mana.

Sudah tentu kerajaan tidak mahu kegagalan meminda Perlembagaan Persekutuan untuk mengembalikan status asal Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam perjanjian pembentukan Malaysia pada 1963 kerana tidak mendapat sokongan dua pertiga majoriti undi di Dewan Rakyat pada April lalu, berulang.

Usul pindaan Perlembagaan perlu mendapat sokongan dua pertiga anggota Dewan Rakyat, iaitu sekurang-kurangnya 148 daripada 222 Ahli Parlimen.

Berdasarkan reaksi terkini pemimpin pembangkang, usul berkenaan kelihatan sukar diteruskan dengan bacaan kali kedua pada persidangan kali ini. Ini kerana blok pembangkang memberikan sokongan bersyarat.

Mereka sedia menyokong, tetapi ia perlu disekalikan dengan pindaan bagi membolehkan pendaftaran pengundi secara automatik.

Mereka juga meminta kerajaan meminda Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan, supaya kelayakan menjadi calon pilihan raya turut diturunkan kepada 18 tahun berbanding usia 21 tahun ketika ini, seiring pindaan Perkara 119(1).

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun, berkata usul dibentangkan berhubung Perkara 119(1)(a) Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan penurunan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun sahaja.

“Usul ini tidak membabitkan apa-apa cadangan untuk pendaftaran pengundi secara automatik yang membabitkan pindaan kepada Perkara 119, khususnya Perenggan (4)(b) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Melihat keikhlasan kerajaan memberi peluang dan ruang seluas-luasnya kepada anak muda untuk terbabit secara langsung dalam politik tanah air, adalah wajar YB daripada blok pembangkang menyokong usul pindaan Perlembagaan itu.

Mereka tidak sepatutnya memberi kata dua kerana kerajaan secara prinsipnya bersetuju dengan cadangan pendaftaran pengundi secara automatik.

Kajian mengenainya juga sedang dijalankan SPR dan Jawatankuasa Reformasi Pilihan Raya (JRPR).

Sebenarnya, had umur layak mengundi dikurangkan kepada 18 tahun sudah lama dilaksanakan di kebanyakan negara. Ketika ini, kira-kira 95 peratus negara yang mengamalkan sistem demokrasi sudah menurunkannya kepada 18 tahun, termasuk jiran kita Thailand, Filipina dan Indonesia.

Justeru, kalau blok pembangkang benar-benar ikhlas dan mahu menjunjung semangat demokrasi serta mahu anak muda lebih berperanan dalam mencorakkan masa depan negara, wajarlah mereka bersama-sama menyokong usul pindaan Perlembagaan bagi menurunkan had umur layak mengundi kepada 18 tahun.

Kita berharap semua rakyat menghantar mesej kepada Ahli Parlimen masing-masing - Saya sokong #Undi18.

Untuk anak muda dan masa depan kita bersama. Anak Muda Harapan Negara!

Penulis adalah Pengarang Berita, Berita Harian

Berita Harian X