Selasa, 25 Jun 2019 | 11:00am

Fasa ujian tentukan tahap keserasian

Menjadi kelaziman Datuk Seri Hadi Awang untuk ketawa sambil menjawab tanpa bertentang mata jika soalan diajukan wartawan terhadapnya bernada provokasi.

Ia turut berlaku ketika beliau ditanya mengapa kebimbangan segelintir perwakilan terhadap kerjasama dengan UMNO, tidak dihurai dalam ucapan penangguhan Presiden PAS itu, sebelum menutup tirai Muktamar PAS Ke-65 di Kuantan, petang kelmarin.

Bagi Hadi, ia sekadar ‘suara terpencil’ yang mungkin baru bersama perjuangan PAS dan kurang memahami selok-belok perjalanan parti, termasuk dasar diputuskan Majlis Syura Ulama (MSU).

Terpencil atau ketara, ahli baharu atau lama, nada prasangka itu berkumandang dalam perbahasan Dewan Pemuda, Dewan Ulama dan Muktamar Pusat.

Agak mengejutkan apabila Hadi mendedahkan MSU meluluskan kerjasama politik dimeterai bersama UMNO sebelum muktamar berlangsung, malah usul dan undi perwakilan hanya ‘pengesahan’ terhadap ketetapan berkenaan.

Penyokong tegar ramai

Masih ramai penyokong tegar kedua-dua parti mengingati sejarah penyatuan PAS-UMNO pada 1972 sebelum berpecah enam tahun kemudian - detik hitam yang berkali-kali diungkap bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat ‘tidak mungkin berulang’.

Lebih empat dekad berlalu, PAS dan UMNO yang kini dirujuk Hadi sebagai ‘adik-beradik’, mahu mengulangi kerjasama politik itu selepas kedua-duanya seiring berfungsi sebagai pembangkang.

Pemimpin PAS dan UMNO lantang menjaja penyatuan ummah sebagai agenda bersama, dalam laluan meniti perhitungan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang masih jauh noktahnya.

Malah, andai UMNO tidak kehilangan kuasa pemerintahan pada PRU-14 lalu, mungkinkah ada usaha ‘menyatukan’ ummah seperti ini atau kekal mempertahankan acuan sendiri. PAS atas nama Islam dan UMNO yang bertunjangkan Melayu?

Menelusuri helaian silam, wajar diselami apa dan siapa yang menjadi punca perpecahan ummah sebelum ini hingga perlu disatukan oleh dua parti dominasi Melayu/Islam.

Dalam era radikalnya, sekitar 1970-an hingga 1980-an, PAS hebat mengasak UMNO dengan pelbagai label termasuk kafir, manakala UMNO mengecam PAS kerana memperlekeh nasib anak bangsa.

Kerakusan PAS ketika itu bagai tidak mengenal sempadan apabila menjadikan politik sebagai modal melagakan masyarakat hingga tercetus isu solat dua imam, haram memakan daging sembelihan dan perceraian pasangan kerana berbeza parti.

Kisah lama boleh berulang

Itu mungkin kisah lama, tetapi ia boleh berulang jika sejarah tidak dijadikan sempadan dan pengajaran.

Apa sekalipun namanya, kerjasama politik bersama UMNO kali ini seakan melengkapkan kitaran ‘talian hayat’ PAS dalam mengintai peluang mengecap kuasa pentadbiran nasional.

PAS pernah bersama Parti Melayu Semangat 46 dan beberapa parti lain membentuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU) pada 1990, berganding bahu dengan PKR (1998) dan kemudian DAP sebelum kembali bersendiri.

Rekod landskap politik tanah air menyebelahi PAS jika pengalaman bergerak solo menjadi ukuran dan pentadbiran di Kelantan sejak 1990 antara buktinya.

Ia berbeza dengan UMNO yang sentiasa berteman di bawah payung Barisan Nasional (BN) selama enam dekad, sebelum kini belajar berjalan jatuh dengan berpaut di lengan rakan baharu.

Baik PAS mahu pun UMNO tidak mungkin memberikan segala-galanya dalam kerjasama dan perjanjian politik ini, namun salam dihulur saling bersambut.

Justeru, setahun mendatang harus diperhati sebagai fasa ujian litmus bagi menentukan tahap keserasian dua parti berlainan ideologi yang mahu mencuba berkongsi mimpi.

Penulis adalah Pengarang Berita, Berita Harian

Berita Harian X