Khamis, 13 Jun 2019 | 11:00am
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador (kiri) menerima kunjungan hormat daripada Latheefa Koya di Bukit Aman, semalam.

Peluang Latheefa banteras rasuah

SELASA lalu, terpampang di laman sosial gambar pertemuan Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamad di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Ia sebenarnya bukan benda luar biasa pun kerana mereka memang sentiasa bertemu, namun isu semasa menjadikan perjumpaan dua pemimpin itu menarik perhatian ramai.

Isunya adalah pelantikan peguam lantang, Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya baharu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berkuat kuasa 1 Jun. Nama pengganti Datuk Seri Mohd Shukri Abdull itu diumumkan Pejabat Perdana Menteri pada 4 Jun.

Pelantikan itu menjadi topik perdebatan dan polemik kerana dikaitkan dengan watak Dr Mahathir, Anwar dan Latheefa sendiri, selain manifesto PH. Jika ia berlaku dalam zaman politik ‘Malaysia lama’, mungkin tiada siapa pun peduli.

Macam-macam hujah kemudiannya kedengaran, politikus dan orang biasa semua mahu memberi pandangan, kisah pelantikan Pengarah Eksekutif Lawyers For Liberty itu jadi topik sembang sebelum Aidilfitri lagi dan berterusan semasa cuti perayaan.

Ada kata ia tidak mengikut Akta SPRM 2009 kerana Latheefa bukan penjawat awam, namun peruntukan Seksyen 5(1) akta sama, jelas menyatakan Yang di-Pertuan Agong boleh melantik sesiapa saja atas nasihat Perdana Menteri dan untuk satu tempoh, juga seperti dipersetujui Perdana Menteri.

Dalam isu ini, Seri Paduka seperti diperjelaskan dalam kenyataan Pejabat Perdana Menteri, memperkenankan permohonan Mohd Shukri untuk memendekkan perkhidmatan kontrak beliau yang sepatutnya tamat pada 17 Mei 2020.

Hujah bahawa peguam berkenaan bukan ‘orang dalam’ SPRM juga sudah dijawab Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi agensi itu, Datuk Seri Azam Baki. Katanya, 10 daripada 13 ketua SPRM adalah lantikan dari ‘luar’ sejak 1967 lagi.

Persoal kredibiliti

Kredibiliti Latheefa turut dipersoalkan kerana beliau ahli PKR yang pernah memegang beberapa jawatan penting sebelum keluar parti itu selepas dimaklumkan pelantikannya ke jawatan tertinggi dalam SPRM.

Namun, mereka yang mengenalinya mengakui, berbanding politik, Latheefa sebenarnya lebih aktif berjuang dan bercakap mengenai isu keadilan sosial serta hak asasi. Beliau aktivis guaman yang bebas pendiriannya, serius, lantang dan berani.

Itu kriteria menyebabkan wanita berkenaan dipilih mengisi kerusi panas di SPRM, seperti diakui Perdana Menteri.

“Saya memilih orang yang layak. Kita dapati dia (Latheefa) lurus, yang mengambil kerjanya dengan serius. Dan kualiti itu yang tentukan kita pilih dia,” kata Dr Mahathir.

Lalu, yang tinggal adalah interpretasi politik kerana keputusan melantik Latheefa dibuat oleh Dr Mahathir adalah secara unilateral tanpa merujuk kepada Jemaah Menterinya atau pimpinan parti dalam gabungan PH.

“Saya tidak bincang dengan Kabinet. Biasanya saya buat keputusan sendiri sebab saya tak perlu minta kebenaran Kabinet siapa yang harus saya luluskan,” kata Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, pada Rabu minggu lalu.

Tidak habis di situ, timbul juga andaian pelantikan peguam berkenaan ada kaitan dengan agenda politik, dikatakan langkah yang disengajakan untuk memberi kelebihan kepada kem tertentu dalam PKR.

Namun, ‘api’ untuk mencipta bahang perseteruan dalam parti diterajui Anwar dipadam Presiden PKR sendiri yang menggesa semua pemimpin PH menerima keputusan Perdana Menteri, memberi ruang kepada Latheefa dan SPRM untuk melaksanakan tugas dengan tegas dan berkesan.

Perjumpaan Anwar dan Dr Mahathir di Putrajaya kelmarin, menambah keyakinan bahawa isu pelantikan ketua pesuruhjaya baharu SPRM bakal ‘menyejuk’.

Kedua-dua pemimpin secara bersama bersetuju bahawa Latheefa dan pasukannya perlu membanteras rasuah secara lebih berkesan, sama ada di bawah pentadbiran lama dan baharu, tidak kira PH atau Barisan Nasional (BN).

Sewajarnya rakyat juga memberi peluang kepada bos baharu SPRM melaksanakan tugas, menunjukkan kemampuan beliau dalam memerangi gejala ‘tumbuk rusuk’, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Selepas itu, bolehlah kita menghakimi sama ada Latheefa berani atau tidak dalam menghadapi tekanan, sama ada beliau tegas atau tunduk gentar dengan pihak berkepentingan.

Penulis adalah Pengarang Berita Kanan BH

524 dibaca
Berita Harian X