Selasa, 21 Mei 2019 | 11:58am
HAMID Bador

Cabaran getir buat Hamid Bador

DATUK Seri Abdul Hamid Bador memulakan langkah bergaya kembali ke Bukit Aman apabila berjaya membawa kata sepakat dalam kalangan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM), untuk bersetuju dengan cadangan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Persetujuan dicapai ketika beliau mengetuai 20 wakil jabatan PDRM dan persatuan polis berbincang dengan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) pada 10 Mei lalu, seminggu selepas dilantik sebagai Ketua Polis Negara (KPN) Ke-12.

Sebelum ini, suruhanjaya itu yang dicadangkan sejak 2005, dibantah warga polis serta ada KPN terdahulu berikutan wujud kebimbangan berkaitan soal kuasa, hak merayu dan perkara berkaitan disiplin. Bagaimanapun, selepas mendapat penjelasan mengenai kepentingan dan kewajaran penubuhan IPCMC dalam perbincangan yang turut disertai Ketua Pengarah GIACC, Tan Sri Abu Kassim Mohamed, warga PDRM boleh menerimanya.

Berikutan sokongan itu, suruhanjaya berkenaan dijangka dapat ditubuhkan sebelum akhir tahun ini, sekali gus menyerlahkan kepemimpinan Abdul Hamid kerana dapat menyelesaikan isu yang tertangguh sejak 14 tahun lalu, sejurus menerajui pasukan yang dianggotai kira-kira 113,000 pegawai dan anggota.

Pun begitu, isu cadangan penubuhan IPCMC hanyalah sebahagian daripada cabaran PDRM yang kini berusia 212 tahun.

Ini kerana, polis berdepan pelbagai cabaran besar, membabitkan soal keamanan dan ketenteraman awam berkaitan kes jenayah, ancaman pengganas, selain tuntutan masyarakat yang tinggi terhadap perkhidmatan pasukan itu.

Tidak ketinggalan juga tindakan pihak memperjuangkan kepentingan kaum dan agama dengan melakukan provokasi sehingga mencetuskan suasana tidak tenteram.

Dari segi jenayah, sama ada kekerasan mahupun harta benda, bilangan kes dilaporkan masih tinggi walaupun menunjukkan berlaku penurunan pada tahun lalu, selain jenayah komersial yang semakin membimbangkan, terutama sejak beberapa tahun lalu sehingga mengakibatkan kerugian ratusan juta ringgit.

Masalah penyalahgunaan dadah dalam kalangan rakyat, ter-utama remaja juga semakin meningkat berikutan penyeludupan masuk bekalan dari negara jiran, selain kewujudan sindiket memproses bahan terlarang itu dengan menjadi premis persendirian termasuk rumah sebagai makmal.

Transit seludup dadah

Tidak ketinggalan negara kita juga dijadikan transit oleh rangkaian sindiket dadah antarabangsa untuk menyeludup masuk dadah dari kawasan Segi Tiga Emas dadah - Thailand, Myanmar dan Kemboja - sebelum dihantar Singapura, Indonesia, Jepun dan Australia. Contohnya, Mac lalu polis merampas 2.06 tan syabu bernilai RM103.2 juta di Ulu Tiram, Johor, yang disifatkan terbesar dalam sejarah pasukan itu.

Kita juga faham anggota polis tidak mungkin boleh berada di semua tempat untuk menjamin keselamatan orang ramai serta sempadan negara sepanjang masa, tetapi ia bukan alasan untuk membiarkan rakyat merasakan diri mereka tidak selamat dan negara daripada dibolosi.

Justeru, melihat kepada senario jenayah dalam negara, apa yang penting ialah perlu ada persepsi rasa selamat dalam kalangan rak-yat supaya seiring dengan penurunan indeks jenayah. Kalau indeks jenayah mencatatkan penurunan tetapi perasaan takut dan rasa tidak selamat masih menghantui rakyat, hakikatnya rakyat tidak selamat.

Begitu juga dengan perkembangan pesat teknologi media sosial yang menyebabkan berita tersebar begitu pantas tanpa kawalan, sama ada ia berita benar, separuh benar atau palsu.

Apabila berita palsu tersebar tanpa sebarang kawalan, ia boleh memporak-perandakan masyarakat dan memusnahkan negara. Oleh itu, isu ini memerlukan mekanisme dan tindakan berkesan untuk memastikan kecanggihan teknologi dapat memanfaatkan rakyat, bukannya membawa kehancuran.

Negara kita juga tidak terkecuali daripada menghadapi ancaman pengganas yang ada kaitan dengan militan antarabangsa, Daesh.

Terbaru, polis menahan tujuh suspek termasuk empat warga asing dalam tempoh dua minggu pertama bulan ini yang merancang melakukan serangan ke atas rumah ibadat serta membunuh individu berprofil tinggi. Agak menakutkan apabila perkara sebegini turut dirancang dilakukan di negara kita.

Namun begitu, kita percaya dengan pengalaman hampir 40 tahun dalam PDRM dan pernah dianugerahkan Bintang Bhayankara Nararya, bintang kepahlawanan tertinggi daripada Kerajaan Indonesia selepas membantu kerajaan dan pihak berkuasa Indonesia melumpuhkan kegiatan pengganas Jemaah Islamiah (JI) dan elemen pengganas Daesh, sudah tentu Abdul Hamid bijak mengatur strategi untuk berdepan dan seterusnya mematahkan ancaman itu.

Apa juga cabaran dan rintangan mendatang, Abdul Hamid dengan dibantu Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor serta pengarah pelbagai jabatan PDRM, akan dapat menanganinya untuk menjadikan Malaysia sebuah negara aman. Pada masa sama berjaya meningkatkan imej, integriti, profesionalisme dan kecemerlangan Sang Saka Biru.

Penulis adalah Pengarang Berita, BH

632 dibaca
Berita Harian X