Ahad, 19 Mei 2019 | 10:30am
KEPRIHATINAN rakyat Malaysia untuk meraikan golongan kurang berkemampuan dan anak yatim ketika Ramadan amat tinggi. - NSTP/Sharul Hafiz Zam

Cermin diri dahulu sebelum menuduh

SEJAK Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara, banyak pihak, khususnya dalam kalangan pemimpin pembangkang suka menggunakan dua kosa kata umum, iaitu Melayu dan Islam. Tujuannya hanya untuk memperlekeh. Dua kosa kata ini sinonim digunakan dalam mempersoalkan komitmen kerajaan memelihara kedudukan bangsa Melayu dan agama Islam di Malaysia.

Apa saja isu akan dikaitkan dengan Melayu dan Islam. Penyelewengan dalam Tabung Haji, FELDA dan FELCRA dan terbaru, salah tadbir Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM), semuanya institusi dikuasai Melayu dan Islam mahu digambarkan ia agenda sengaja dibuat Kerajaan PH. Tujuannya mahu menunjukkan kelemahan pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional (BN). Bagi pihak yang tidak faham isu, pemikiran mereka mudah dimanipulasi, apatah lagi kalau ia dimomokkan kononnya tindakan yang sedang diambil memberi ancaman ke atas Islam dan Melayu di negara ini.

Sedangkan, langkah sebenar ialah iltizam tinggi kerajaan untuk membersihkan amalan tidak amanah dan salah guna kuasa dalam institusi sehingga boleh menjejaskan ekonomi orang Melayu/Islam. Tabung Haji dan FELDA adalah contoh terbaik bagaimana institusi Melayu/Islam yang satu ketika dulu gah di persada antarabangsa, kini longlai dan sedang disusun semula untuk bangkit kukuh seperti sebelumnya. Ini adalah antara kisah memalukan membabitkan jatuh dan bangunnya institusi serta ekonomi Melayu dan pastinya kita sedang menunggu penyelesaian kemelut berkenaan, bak dialog dalam sebuah filem lama Melayu, siapa yang kena.

Kita sudah menghampiri pertengahan Ramadan dan akan menyambut Aidilfitri. Pengumuman bonus untuk kakitangan awam dan pesara oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Khamis lalu pastinya dapat membantu persediaan menyambut raya walaupun kadarnya tidak memenuhi permintaan CUEPACS. Lebih baik sedikit daripada tiada langsung.

Saban tahun setiap kali Ramadan, kita diketengahkan dengan penderitaan keluarga Melayu/Islam yang masih tidak berumah, jika ada pun penghidupan mereka teramat daif dan di luar pemikiran kita. Kenapa masih ada golongan sebegini di dalam negara, sedangkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kita berlumba-lumba mencari dana untuk membantu orang susah di luar negara. Jika pun ia menjadi tanggungjawab pihak berkuasa agama negeri, kenapa tidak dibantu, sedangkan penderitaan ditanggung mereka bukan setahun dua.

Peranan jawatankuasa masjid

Di sinilah pentingnya peranan jawatankuasa masjid dalam menjaga kebajikan anak kariah, sekali gus menjadi mata dan telinga pihak berkuasa agama. Jika ini diamalkan, tohmahan kononnya pihak berkuasa agama tidak cakna dan gagal mengenal pasti asnaf yang layak dibantu tidak akan timbul, sekali gus dapat mengelakkan netizen mempertikai fungsi pihak berkuasa agama Islam yang dilihat aktif mencari orang tidak berpuasa daripada mencari asnaf untuk dibantu.

Apa pun, keprihatinan rakyat Malaysia untuk meraikan golongan kurang berkemampuan dan anak yatim ketika Ramadan amat tinggi. Mereka dipanggil menyertai majlis berbuka puasa dan diberikan sedikit bantuan makanan atau kewangan di hotel mewah. Bukan semua, tetapi ada yang melayan mereka ala kadar dan meja diletakkan di penjuru atau bahagian belakang dewan dan menjamah makanan sesama mereka. Pada masa yang sama, kita juga mengharapkan tiada lagi kejadian pengurus rumah kebajikan atau rumah anak yatim ‘glamor’ menolak bantuan yang dianggap sedikit nilainya daripada pertubuhan atau orang ramai seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

Sesungguhnya, dua kejadian malang membabitkan seorang imam yang dtikam ketika mengalunkan ayat al-Quran selepas Subuh di Jabi, Besut dan seorang tua dibuli hanya kerana menasihatkan anak muda mengerjakan solat Asar di Sijangkang, Selangor ketika Ramadan menyerlahkan kebobrokan masyarakat muda Melayu dalam menghayati ajaran Islam. Adakah masyarakat kita kini semakin alpa dalam soal agama dan menjadikan masjid sekadar untuk bersolat Jumaat sahaja?

Bagi penulis, cetusan di atas sudah menjawab persoalan siapa sebenarnya yang melemahkan Melayu dan Islam. Selamat berbuka.

Penulis adalah Pengarang Eksekutif Pengeluaran BH

2253 dibaca
Berita Harian X