Sabtu, 18 Mei 2019 | 11:02am

Persekitaran 'toksik' jejaskan produktiviti

BUDAYA kerja yang progresif dan sihat adalah penting dalam memastikan kesejahteraan di tempat kerja. Persekitaran kerja yang sihat membolehkan pekerja di sesebuah institusi menjadi lebih bermotivasi, seterusnya dapat menjadi satu faktor dalam peningkatan kecemerlangan sesebuah institusi.

Malangnya, bukan semua tempat kita mencari rezeki dapat memberikan persekitaran yang sihat sebegini. Budaya cemburu dengan rakan sekerja, kerenah birokrasi di pejabat, budaya berat sebelah dalam kalangan pucuk kepemimpinan, adalah antara perkara yang sering kita dengar dihadapi masyarakat ‘working class’ di negara kita.

Pernah suatu ketika saya berbincang dengan rakan saya mengenai isu ini. Ketika itu, sahabat saya yang sedang bekerja di Pulau Pinang ingin tahu pendapat saya berhubung politik di tempat kerja.

Katanya politik di tempat kerjanya terlalu tegang sehinggakan beliau mengambil keputusan untuk berhenti kerja. Pada hemah saya, tindakan untuk meninggalkan persekitaran kerja yang ‘toksik’ sebegitu adalah keputusan yang bijak oleh beliau. Dengan meninggalkan kerjaya itu, saya yakin beliau boleh menempa kejayaan di tempat lain yang lebih sihat.

Beliau yang berkelulusan luar negara dan seorang yang rajin berusaha pasti akan berjaya di tempat baharu. Dari segi logiknya, semestinya tiada siapa yang mahu bekerja di tempat yang membebankan otak dan minda. Lihatlah berapa banyak pekerja yang berhenti kerja dengan alasan tempat kerja yang tidak kondusif dan ‘toksik?’ Kita boleh sahaja bercakap dengan rakan kita sendiri, pasti ada sahaja cerita yang sama.

Majikan kena beri perhatian

Jika kita lihat statistik masa kini, di Malaysia ramai di antara kita mengalami tekanan dan masalah kemurungan akibat perkara sebegini. Pada 2018, Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA) menggesa majikan untuk memberi perhatian kepada keperluan kesihatan mental pekerja dan harus melihat kemurungan sebagai masalah yang perlu dipandang serius.

Presiden MMHA, Datuk Dr Andrew Mohanraj, berkata biasanya tekanan di tempat kerja adalah sebab utama kakitangan mengalami krisis emosi dan mempunyai masalah tingkah laku negatif. Namun sehingga kini, tiada tindakan komprehensif diambil oleh majikan, termasuk agensi kerajaan. Hanya pusat kaunseling yang disediakan untuk kemudahan kakitangan. Itupun hanya sebagai jalan penyelesaian terhadap masalah kemurungan yang sudah timbul.

Bagaimana pula dengan suasana di tempat kerja? Adakah kita sudah berjaya menyediakan ruang kerja kondusif dengan budaya sihat untuk membendung masalah tekanan dan kemurungan dari berlaku? Lebih elok sekiranya kita elakkan krisis sebegini daripada terjadi. Seperti kata pepatah, lebih baik mencegah daripada merawat.

Buang budaya lapuk

Adalah wajar untuk kita semua sebagai rakyat Malaysia, lebih progresif dalam pemikiran, terutama di tempat kerja. Budaya lapuk dengan sentimen berat sebelah, budaya cemburu, budaya suka menjaga tepi kain orang lain harus ditegah. Bagaimana Malaysia hendak maju jika orang sebegini menjadi jentera kerja negara?

Pucuk kepimpinan tertinggi seharusnya lebih proaktif dalam memastikan dasar dan budaya sihat diterapkan di pejabat. Jangan kerana gagal dalam menerapkan suasana progresif dan sihat di tempat kerja, kita hilang pula pekerja cemerlang. Banyak juga rakan saya sendiri yang kecewa dengan budaya kerja di Malaysia lalu pindah ke luar negara. Maka terjadi situasi Malaysia kurang tenaga mahir sehinggakan kerajaan terpaksa memohon rakyat Malaysia yang merajuk untuk pulang semula berbakti kepada negara.

Ada baiknya kita berlapang dada dan lihat apa kekurangan kita. Jangan kita terlalu angkuh dan sombong dengan budaya kolot yang sewajarnya kita ubah. Jika kita berjaya bergerak ke arah yang lebih progresif, tenaga kerja kita juga lebih gembira dan pasti lebih bersemangat dalam meneruskan perjuangan untuk berbakti kepada institusi kita. Rakyat Malaysia perlu berganding untuk mengubah mentaliti kelas ketiga yang kolot ini untuk kebaikan kita bersama.

Penulis adalah Felo Perangsaraf Media, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA

80 dibaca
Berita Harian X