Khamis, 16 Mei 2019 | 11:02am
- Foto Hiasan

Saingan ke universiti makin sengit

JEMAAH Menteri sebelum ini memutuskan untuk menambah tempat bagi Program Matrikulasi kepada 40,000, berbanding 25,000 ketika ini. Pertambahan pada jumlah yang besar ini bukan saja menguntungkan pelajar Bumiputera, malah juga bukan Bumiputera. Ini disebabkan ada kuota 10 peratus atau 4,000 tempat untuk pelajar bukan Bumiputera, berbanding 2,500 tempat sebelum ini.

Program Matrikulasi ialah pengajian prauniversiti untuk lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyambung pengajian sebelum meneruskan pendidikan pada peringkat ijazah sarjana muda. Pengajian peringkat ini bermula dengan pengenalan Pusat Asasi Sains oleh Universiti Malaya (UM) pada 1977 bagi memberi asas kukuh kepada pelajar Bumiputera dalam subjek Sains dan Matematik.

Lulusan Asasi Sains ini kemudian meneruskan pengajian dalam bidang pergigian, kejuruteraan, sains dan perubatan hingga berjaya bergelar graduan. Penubuhan pusat berkenaan sejajar Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk menambah jumlah Bumiputera dalam kerjaya profesional seperti doktor, jurutera dan peguam.

Selepas kejayaan Pusat Asasi Sains, universiti awam lain kemudian mengikut jejak UM dengan memperkenal Program Matrikulasi masing-masing seperti Universiti Teknologi MARA yang memulakan matrikulasi undang-undang.

Pemusatan program

Kementerian Pendidikan kemudian memusatkan Program Matrikulasi pada 2000 dengan menawarkan program dua semester atau empat semester. Namun, Program Asasi Sains UM dan Matrikulasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dikekalkan.

Selepas lebih sedekad pemusatan, Program Matrikulasi yang asalnya menjadi laluan untuk menyambung pengajian ke universiti awam, berkembang dan diiktiraf oleh institusi dalam dan luar negara. Lulusan Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan kini juga boleh memohon meneruskan pengajian ke universiti swasta atau universiti luar negara dan kampus cawangan universiti asing di negara ini.

Bahkan, Sijil Matrikulasi juga sudah diiktiraf Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi tujuan memohon pekerjaan setaraf dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Kabinet mengambil keputusan tepat bagi menambah tempat ke Program Matrikulasi kerana peningkatan ini akan membuka lebih banyak peluang kepada lulusan SPM. Pertambahan tempat ini akan mengurangkan persaingan untuk lulusan SPM memilih pengkhususan, iaitu sains, teknikal dan perakaunan.

Dengan mengurangkan persaingan untuk mendapat tempat bagi Program Matrikulasi, lulusan SPM Bumiputera sudah tentu tidak akan memilih ke Tingkatan Enam (dalam aliran sains). Ini sekali lagi menguntungkan pelajar bukan Bumiputera yang sebelum ini memang mendominasi tempat dalam aliran sains di Tingkatan Enam.

Namun, lulusan Program Matrikulasi dan STPM ini akan kembali bersaing untuk mendapat tempat di universiti selepas kira-kira dua tahun menamatkan pengajian.

Persaingan pemohon

Program Matrikulasi yang semakin popular dalam kalangan pelajar Bumiputera ini juga sekali lagi menjadi faktor penolak kepada mereka daripada memilih program peringkat diploma, sebaik saja menamatkan persekolahan. Ini menjadikan persaingan dalam kalangan pemohon bagi program diploma berkaitan sains semakin berkurangan.

Perimbangan ini sekali gus menguntungkan lulusan SPM bukan Bumiputera yang enggan ke Program Matrikulasi. Kini, mereka boleh memilih sama ada untuk meneruskan pengajian ke Tingkatan Enam yang tiada kuota (dan tidak dihadkan pengambilannya), atau memilih program diploma yang persaingan untuk mendapat tempat sudah berkurangan.

Ini bermakna, cadangan sesetengah pihak supaya kerajaan menghapuskan Program Matrikulasi bagi menyediakan laluan sama kepada semua kaum bukan saja mencabuli Perlembagaan Persekutuan (hak-hak istimewa Bumiputera), bahkan akan merugikan pelajar bukan Bumiputera sendiri.

Penempatan satu laluan ke peringkat ijazah sarjana muda untuk semua kaum meningkatkan lagi persaingan untuk mendapat tempat dalam kalangan lulusan SPM bukan Bumiputera kerana mereka akan merebut tempat terhad berdasarkan kuota.

Justeru, Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan tidak seharusnya dibubarkan, tetapi mesti dibiarkan terus mantap kerana beberapa universiti terkemuka dunia sudah mula menerima lulusannya untuk meneruskan pengajian, terutama dalam bidang perubatan.

640 dibaca
Berita Harian X