Selasa, 14 Mei 2019 | 11:02am
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya, Januari lalu. - Foto BERNAMA

Banteras rasuah akar umbi bukan sekadar omong kosong

KETIKA melancarkan Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyebut mengenai kepentingan membasmi rasuah pada peringkat akar umbi yang memberi fokus kepada enam bidang yang dikenal pasti berisiko.

Bidang berkenaan ialah perolehan awam; penguatkuasaan undang-undang; tadbir urus politik; tadbir urus korporat; pentadbiran sektor awam dan perundangan dan kehakiman.

Satu daripada ‘agensi akar umbi’ yang penting dalam perkhidmatan kerajaan ialah pihak berkuasa tempatan (PBT), yang membabitkan majlis bandar raya, majlis perbandaran atau majlis daerah.

Boleh dikatakan semua perkara berkaitan dengan kehidupan rakyat di akar umbi akan bersangkut-paut dengan PBT, sama ada dari segi pelesenan, permit, pembinaan dan kebersihan - sekadar menyebut beberapa aspek.

Dengan Akta Kerajaan Tempatan 1976 sebagai induk, PBT mempunyai akta, enakmen atau undang-undang kecil yang dikuatkuasakan mengikut negeri masing-masing, bagi memastikan sesebuah kawasan ditadbir dengan baik dan penuh intergriti.

PBT amat berisiko

Perkhidmatan PBT diperhatikan amat berisiko terhadap amalan rasuah sama ada dari segi penguatkuasaan undang-undang, pelesenan dan pembinaan.

Pada masa ini, jumlah PBT di negara ini adalah sebanyak 149, termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Jumlah itu merangkumi 12 buah dewan atau majlis bandar raya, 39 majlis perbandaran dan 98 majlis daerah.

Ada juga agensi tertentu yang diberi kuasa oleh kerajaan negeri untuk melaksanakan tugas PBT seperti Perbadanan Putrajaya dan Pihak Berkuasa Kulim Hi-Tech Park.

Antara kaedah yang dibincang sejak lama dahulu untuk mengekang budaya rasuah dalam perkhidmatan awam, ialah sistem penggiliran pegawai dalam tempoh tertentu di sesuatu bahagian.

Ini bagi mengelakkan kakitangan berkenaan terlalu terdedah kepada risiko rasuah jika terlalu lama bertugas di sesuatu bahagian.

Setiap kali isu berkaitan rasuah dilaporkan oleh media, banyak pihak termasuk CUEPACS akan membangkitkan cadangan sama, tetapi tidak diketahui sama ada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) atau pihak berkuasa melantik yang lain serius mengenainya.

Mungkin jika ada dilakukan pun, ia secara ad hoc dan bukan menerusi dasar yang jelas dan diumumkan kepada rakyat.

Cadangan sama terbaru datang daripada Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad, cuma berbunyi lebih serius kerana katanya “Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sudah bersetuju dengan dasar itu” cuma menunggu masa untuk dilaksanakan.

Tempoh seseorang pegawai di DBKL bertugas di satu-satu tempat ialah tiga tahun, menurut Khalid.

Jika benar-benar dilaksanakan, ia diyakini mampu untuk mengurangkan risiko rasuah dalam kalangan kakitangan PBT itu.

Kerajaan-kerajaan negeri wajar mempertimbangkan inisiatif sama tanpa perlu menunggu PBT mereka terpalit dengan isu rasuah, baru hendak dilaksanakan.

Tingkat keyakinan rakyat

Jika sudah dilaksanakan, ia patut diberitahu kepada rakyat berapa ramai kakitangan yang dipindahkan dan ke mana dipindahkan. Pentas Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah tempat terbaik untuk memaklumkan perkara itu.

Ini perlu dilakukan kerana ‘integriti bukan saja wajib dilakukan, tetapi perlu dilihat dilakukan’ untuk memberi keyakinan kepada orang ramai terhadap perkhidmatan akar umbi itu.

Contohnya, jika dalam sesuatu kawasan PBT orang ramai melihat banyak premis niaga diuruskan pendatang asing, tentu persepsi negatif akan timbul kerana ‘integriti tidak dilihat dilakukan’.

Menteri besar di setiap negeri wajar tidak bertangguh untuk memulakan langkah ini secara tuntas dengan dasar yang kukuh dan pelaksanaan yang konsisten.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan perlu memainkan peranan sebagai orang tengah dengan negeri, untuk melaksanakan dasar itu yang sudah agak lama ditimbulkan pelbagai pihak.

Pada peringkat Kerajaan Persekutuan, inisiatif besar sudah dilancarkan menerusi Pelan Antirasuah Nasional yang dilancarkan pada 29 Januari lalu.

Tidak ada guna jika ia tidak dilebarkan ke semua negeri termasuk di PBT bagi memastikan rakyat sehingga akar umbi mendapat perkhidmatan yang bersih dan berintegriti.

Penulis adalah Pengarang Berita, BH

117 dibaca
Berita Harian X