Isnin, 13 Mei 2019 | 11:00am
GAMBAR fail, keadaan jalan di Kuala Lumpur yang sunyi selepas diisytihar darurat pada krisis 13 Mei 1969.

Kawal diri, jangan bermain api perkauman

Tarikh 13 Mei 1969 tercatat sebagai sejarah hitam hubungan kaum di negara ini. Perbalahan antara kaum berlaku selepas 12 tahun negara merdeka. Akibat perasaan bongkak dengan kuasa serta penghinaan kepada kaum lain, sektor keselamatan, ekonomi dan kestabilan politik negara kucar-kacir.

Peristiwa ini memberi pengajaran bahawa penduduk di negara ini hendaklah mengawal diri demi perpaduan kaum. Jangan sekali-kali bermain sentimen perkauman dan agama. Manusia mudah terpengaruh dan terbawa-bawa dalam isu kaum dan agama.

Walaupun pada mulanya tuntutan terhadap hak sesuatu kaum dan agama itu wajar, perbalahan mengenainya tidak akan ada kesudahan hingga boleh membawa pergaduhan yang merugikan semua pihak. Kuncinya terletak pada kawalan diri setiap kaum. Elak terbawa-bawa mengikut sentimen, hingga mendatangkan kesan melebihi jangkaan.

Sebagai contoh, kejadian pemandu kereta dipukul selepas membunyikan hon ketika solat Jumaat di Surau Austin Perdana, Johor Bahru pada 5 Mei 2017. Begitu juga segelintir netizen yang cuba membakar api perkauman melalui media sosial berhubung kes kematian anggota bomba dan penyelamat, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, susulan insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Ini menunjukkan betapa mudah sentimen kaum dan agama menjadi sensitif dan boleh membawa perbalahan lebih luas. Kini, media sosial mudah menyebar maklumat berbentuk gambar dan video. Medium paling popular adalah Facebook. Walaupun ada kala maklumat itu benar, kewajarannya disiarkan patut dipertikaikan.

Perkara menyentuh sentimen kaum dan agama hanya mendatangkan perbalahan. Hari ini kita lihat sudah ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini yang berasakan apa yang mereka sebut sebagai hak kaum atau agama. Rasanya, ia tidak wujud 10 tahun lalu. Ini belum dikira lagi laman web atau posting di media sosial yang bernada perkauman dan keagamaan, tetapi menyentuh sentimen sensitif.

Peristiwa hitam jadi iktibar

Golongan ini mungkin berasa diri mereka wira atau pejuang kaum dan agama, tetapi pendekatan itu hanya menimbulkan rasa tidak selesa dalam hubungan antara kaum. Ada parti politik bersedia memperalatkan sentimen ini untuk mendapatkan sokongan, meraih undi dan seterusnya memperoleh kekuasaan.

Eloklah pemimpin kaum dan generasi muda sekarang diperingatkan iktibar yang wajar diambil sebagai panduan menjalani kehidupan di negara ini. Mungkin elok difikirkan pendekatan sesuai supaya generasi muda negara ini didedahkan dengan peristiwa berdarah 13 Mei itu, supaya dijadikan iktibar dalam usaha memulihara perpaduan kaum.

Tujuannya bukan hendak membangkitkan semangat perkauman, tetapi supaya dapat mengelak peristiwa sama berulang. Semua rakyat majmuk negara ini harus sedar, tidak ada manfaat dan keuntungan kepada mana-mana kaum jika tragedi sama tercetus di negara ini.

Saya bangkitkan nostalgia sedih ini kerana tidak mahu ia berulang. Tetapi cubaan mencetuskan perbalahan antara kaum nampaknya boleh terjadi semula tanpa kita sedari.

Banyak petunjuk kebelakangan ini cukup membimbangkan. Daripada pandangan dan komen menghina kaum tertentu secara berleluasa di media sosial sehinggalah keghairahan mencabar kontrak sosial.

Apakah kita mahu ambil mudah seolah-olah tidak akan berulang pergaduhan kaum? Sebab itu, bibit-bibit pergolakan menjurus kepada mengapi-apikan dan mengganggu perasaan kaum tertentu perlu dipantau pihak berkuasa. Rakyat harus menghargai keharmonian sebelum semuanya dirampas dan lenyap begitu saja.

Peristiwa hitam ini harus jadi iktibar supaya rakyat berbilang kaum dan pegangan agama dapat bergerak lebih dekat kepada perpaduan antara kaum dan integrasi nasional. Menjadi tanggungjawab semua pihak mempertahan kemakmuran dan memperkukuh perpaduan negara ini.

Jadikan peristiwa 13 Mei 1969 satu pengajaran untuk kita terus maju, pendek kata ambil yang jernih dan buang yang keruh.

Penulis adalah Penyunting Eksekutif Berita Harian

1033 dibaca
Berita Harian X