Sabtu, 11 Mei 2019 | 11:03am
- Foto Hiasan

Perlukah hukuman sebat dihapuskan?

“HANYA Tuhan yang tahu betapa sakitnya disebat.” Begitu luahan seorang banduan yang menerima 10 sebatan atas kesalahan jenayah dilakukan, sehingga beberapa minggu tidak dapat duduk seperti biasa.

Pengalaman azab banduan dihukum sebat di penjara pernah disiarkan akhbar ini dan rata-rata mereka menggambarkan betapa sakitnya hukuman itu, sehingga punggung pun boleh ‘hancur’. Ngeri sekali gambaran kesakitan hukuman sebat di mahkamah sivil yang dikenakan terhadap pesalah jenayah, termasuk kesalahan merogol.

Hukuman sebat di Mahkamah Sivil itu diperuntukkan dalam undang-undang negara, tetapi tidak boleh dikenakan terhadap banduan perempuan dan lelaki yang berusia lebih 50 tahun.

Undang-undang juga memperuntukkan Mahkamah Tinggi boleh mengenakan hukuman sebat terhadap seseorang pesalah tidak lebih 24 kali, Mahkamah Seksyen pula tidak lebih 12 kali dan Mahkamah Majistret tidak lebih enam kali.

Di bawah Kanun Acara Jenayah, ada dua jenis rotan digunakan. Jenis nipis untuk kes rasuah, kesalahan jenayah pecah amanah dan jenayah kolar putih, manakala jenis tebal digunakan untuk jenayah serius seperti kes rogol dan gangguan seksual.

Hukuman rotan juga dikenakan terhadap pesalah di Mahkamah Syariah yang mana pesalah wanita tidak terkecuali dikenakan sebatan.

Bagaimana pula hukuman rotan terhadap pesalah syariah? Adakah kaedahnya sama dengan Mahkamah Sivil sehingga ‘menghancurkan’ punggung?

Mengikut Akta Tatacara Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan, rotan yang digunakan diperbuat daripada rotan atau ranting kecil tanpa ruas atau buku padanya, dengan panjang rotan tidak lebih daripada 1.22 meter dan tebal tidak melebihi 1.25 sentimeter.

Dalam soal sebatan wanita, ia tidak seperti undang-undang sivil. Jadi tidak timbul isu diskriminasi kerana Akta 355 digubal oleh perundangan Persekutuan untuk digunakan pada peringkat negeri.

Hukuman untuk insafkan

Hukuman sebat di Mahkamah Syariah bertujuan menimbulkan rasa sesalan kepada pesalah, bukannya untuk menyakitkan. Di bawah undang-undang Islam, pesalah dirotan di bahagian belakang badan menggunakan rotan kecil. Mereka juga lengkap berpakaian.

Jika pesalah lelaki, sebatan dikenakan dalam keadaan berdiri. Jika pesalah itu perempuan, dalam keadaan duduk. Bagi pesalah yang mengandung, pelaksanaan hukuman ditangguhkan dan boleh dilaksanakan dua bulan selepas bersalin.

Kaedah penggunaan rotan terhadap pesalah, sama ada bagi kesalahan sivil dan syariah menimbulkan kontroversi apabila Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dalam laporan tahunannya mempertikaikannya.

Mereka berpendapat hukuman berbentuk fizikal adalah zalim, termasuk yang dikenakan terhadap wanita. Laporan Tahunan SUHAKAM 2018 mahu hukuman rotan dalam sistem perundangan negara dimansuhkan kerana disifatkan tidak berperikemanusiaan, terutama untuk wanita.

Organisasi berkenaan bimbang dengan hukuman rotan dan kesal dengan keputusan Mahkamah Syariah Terengganu pada September 2018 terhadap dua wanita yang didapati bersalah melakukan hubungan sejenis.

Bagaimanapun, Presiden Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, berkata rotan syariah adalah sangat ringan dan ia tidak membezakan antara pesalah lelaki dengan wanita.

“Hukuman rotan memang tidak dikenakan terhadap wanita jika ia dibicarakan di Mahkamah Sivil, kerana hukuman berkenaan sangat zalim (kaedah penggunaan).

“SUHAKAM sepatutnya memperjuangkan untuk menghapuskan hukuman rotan oleh Mahkamah Sivil tanpa mengira jantina. Bukankah kesaksamaan itu diperjuangkan mereka?” katanya.

Apa pun pandangan SUHAKAM, hukuman sebat dikenakan undang-undang sivil dan syariah dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Persoalannya, perlukah hukuman sebat dihapuskan sedangkan penggunaannya untuk menginsafkan pesalah dan memberi pengajaran. Mungkin kaedah penggunaan hukuman sebat untuk pesalah sivil perlu dilihat semula supaya ia tidak terlalu menyeksa anggota badan.

Lebih baik kaedah pendekatan agama digunakan bagi menginsafkan pesalah daripada penderaan fizikal.

Penulis adalah Penulis Khas Berita Harian

234 dibaca
Berita Harian X