Jumaat, 3 Mei 2019 | 10:20am
MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Universiti kena bantu guru perkasa STEM

PENURUNAN setiap tahun bilangan pelajar yang mengambil bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) amat membimbangkan. Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengakui hanya 44 peratus mengambil bidang ini pada 2018, sedangkan sasaran pelan tindakan pendidikan negara adalah 60 peratus menjelang 2025.

Matlamat ini sejajar dengan industri revolusi 4.0 yang memerlukan ramai graduan yang benar-benar mampu bekerja di sektor industri, bukan sekadar tahu teori sahaja. Mengapa bidang ini kurang mendapat sambutan?

Melalui pemerhatian saya, ramai pelajar kurang berminat dengan bidang ini kerana menganggap ia sukar dan mencabar. Selain itu, masih ramai guru kurang berkemahiran dan tidak diberikan latihan terperinci sehingga benar-benar mampu mengajar di sekolah masing-masing. Faktor kewangan yang terhad juga melambatkan proses pemindahan pengetahuan ini.

Oleh itu, pihak universiti perlu menggembleng tenaga untuk bersama-sama turun padang bagi membantu guru memperkasakan bidang STEM ini. Ramai pakar dan berkemahiran tinggi dalam bidang STEM khususnya kejuruteraan, adalah dari golongan berkenaan. Fakulti Kejuruteraan Elektrik dari UiTM Pasir Gudang, kerap mengambil inisiatif untuk membimbing pelajar dan guru sekolah dalam bidang kejuruteraan ini. Pelbagai bengkel pengajaran seperti bengkel asas Arduino sehingga peringkat termaju, bengkel robotik, bengkel raspberry pi dan lain-lain lagi.

Modul pengajaran bagi setiap bengkel disesuaikan untuk setiap peringkat sekolah rendah dan menengah bagi memudahkan kefahaman pelajar dan guru yang baru belajar sehingga peringkat seterusnya. Modul ini merangkumi bahagian software iaitu perisian (software) dan perkakasan (hardware) dengan menggabungkan pelbagai komponen elektronik untuk menjadikan sebuah alat elektronik fizikal yang mempunyai teknologi bersifat digital.

Komponen elektronik yang biasa digunakan terdiri dari beberapa input dan output. Contoh input yang sesuai diajar di tahap pengenalan adalah suis penekan butang (switch push button) dan beberapa penderia (sensor) untuk mengesan kelembapan, perubahan cahaya atau haba persekitaran.

Output pula terdiri daripada buzzer, diod pemancar cahaya (light emitting diode), paparan kristal cecair (liquid crystal display) dan pemandu motor (motor driver). Malah, ada juga modul yang mengajar penggunaan bluetooth bagi membolehkan robot dikawal atau menghantar maklumat kepada pengguna menggunakan telefon pintar dengan menggunakan perisian aplikasi mudah alih. Untuk peringkat yang lebih maju pula, komponen nodeMCU digunakan bagi membimbing reka bentuk membangunkan aplikasi internet pelbagai benda (internet of things).

Arduino dan bengkel robotik sering menjadi pilihan kerana lebih mudah difahami asas teknolog berbanding raspberry pi yang lebih maju. Namun, semua teknologi ini, boleh dipelajari secara berperingkat dari semasa ke semasa.

Hasil pembelajaran STEM juga menggalakkan pelajar dan guru turut serta ke pertandingan inovasi yang sering diadakan di seluruh negara bagi menguji kemampuan dan keupayaan reka bentuk dihasilkan. Secara tidak langsung, ia mendidik pelajar dan guru untuk lebih berdaya saing, berinovasi dan terus maju ke hadapan pada era serba digital ini.

Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing yang mana akhirnya, dengan program agresif turun padang ke sekolah dapat memupuk kesedaran dan minat pelajar untuk mengambil bidang STEM sehingga peringkat universiti.

Dr Arni Munira Markom

Pensyarah Kanan, Fakulti Kejuruteraan Elektrik,UiTM Kampus Pasir Gudang

126 dibaca
Berita Harian X