Jumaat, 29 March 2019 | 11:00am
NAIB Presiden ANGKASA, Mohamad Azmi Omaruddin.

Program Barang Asas 100 ringankan beban pengguna

HARGA barang tinggi di pasaran ketika ini berpunca daripada aspek pengedaran melalui pelbagai lapisan termasuk campur tangan ‘orang tengah’ sebelum barang sampai kepada pengguna.

Faktor ini menyebabkan harga barang yang sebelumnya rendah, mencanak naik sehingga membebankan pengguna.

Menyedari hakikat itu, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) akan memperkenalkan program Barang Asas 100 (BA100) yang menawarkan produk pada harga antara 10 hingga 20 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran, bagi membantu meringankan beban pengguna.

Program itu membabitkan barangan kawalan seperti beras, minyak masak, gula dan susu. Proses percubaan dijangka dilaksanakan bulan depan dengan projek perintis di Lembah Klang dan dijadual beroperasi sepenuhnya sebelum Ramadan ini.

Difahamkan pelaksanaan BA100 turut dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Jumaat lalu.

Naib Presiden ANGKASA, Mohamad Azmi Omaruddin, berkata ketika ini pihaknya sedang berbincang dengan pengilang, pengusaha dan pembekal untuk pembelian secara pukal dan penghantaran dilakukan pihak terbabit secara terus kepada koperasi terpilih.

ANGKASA sebagai perantara

Dalam konteks ini, pihaknya akan menjadi perantara antara pembekal dan koperasi, bukan menjalankan perniagaan dan tidak mengeluarkan modal.

Beliau berkata, koperasi yang menyertai program itu akan menghantar senarai barang mereka perlukan dan ANGKASA akan menyelaras senarai itu serta menyerahkannya kepada pengilang, pengusaha dan pembekal terbabit.

Ini bermakna barang berkenaan akan sampai kepada koperasi terbabit secara terus tanpa melalui pelbagai ‘tol’ atau sekatan, khususnya orang tengah yang mencekik darah pengguna.

Bayangkan harga barang RM5 boleh naik mencanak sehingga RM10 kerana melalui pelbagai lapisan sebelum sampai kepada pengguna. Badan koperasi itu juga sedang membangunkan sistem canggih menghubungkan rantaian pembekal dengan kedai koperasi, termasuk penghantaran barang ke pusat pengedaran barang.

“Kita tidak memerlukan gudang penyimpanan barang kerana setiap pembekal ada kemudahan itu di negeri atau daerah yang mempunyai koperasi melaksanakan BA100. Kami masih merahsiakan pembekal terbabit,” kata Mohamad Azmi.

Walaupun harga barang murah berbanding di pasaran, kualiti dan keselamatan barang berkenaan menjadi keutamaan ANGKASA. Sebanyak 3,000 rangkaian kedai runcit milik koperasi berdaftar dengan ANGKASA melaksanakan BA100 yang mempunyai keahlian 6.5 juta orang.

Semua lapisan masyarakat boleh membeli barang ditawarkan, termasuk bukan ahli koperasi sesuai aspirasi kerajaan mengurangkan bebanan rakyat, khususnya kumpulan berpendapatan isi rumah 40 peratus terendah (B40) dan kumpulan berpendapatan isi rumah 40 peratus sederhana (M40).

ANGKASA juga akan memastikan tiada perbezaan harga barang antara koperasi kerana mereka mendapat bekalan dan penghantaran secara terus daripada pengedar sama. Selain barang dibekalkan syarikat menyertai program BA100, produk keluaran ahli koperasi juga turut dipasarkan dengan sendiri dapat meningkatkan pendapatan mereka.

ANGKASA kini dalam peringkat membangunkan sistem bagi melancarkan proses pembelian sejajar pelaksanaan program itu. Ia mengambil kira faktor struktur pemasaran dan pengedaran mempunyai banyak lapisan menyebabkan harga produk peruncitan menjadi tidak kompetitif.

Berita Harian X