Rabu, 27 March 2019 | 12:58pm
PORT DICKSON 13 OKTOBER 2018. GAMBAR fail, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isterinya yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sewaktu meraikan kemenangan selepas diisytiharkan memenangi Pilihan Raya Kecil Parlimen P132 di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan Port Dickson pada 13 Oktober lalu. - Foto Aswadi Alias

PH kena kerja keras tawan Rantau

Negeri Sembilan sekali lagi berdepan pilihan raya kecil (PRK) dan kali ini di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau bulan depan. Ini adalah yang kedua selepas PRK Parlimen Port Dickson pada Oktober tahun lalu yang menyaksikan calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menang dengan majoriti 23,560 undi, mengalahkan enam pencabarnya.

PRK Port Dickson diadakan selepas penyandangnya Datuk Daniyal Balagopal Abdullah, mengosongkan kerusi itu pada 12 September tahun lalu bagi membolehkan Anwar kembali ke Dewan Rakyat.

PRK Rantau pula perlu dilakukan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 November tahun lalu, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN Rantau terbatal dan tidak sah.

PH baru-baru ini sudah mengumumkan calon bagi kerusi DUN Rantau dengan mengekalkan Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau, Dr S Streram yang sebelum ini dikatakan dinafikan hak sebagai calon apabila gagal masuk ke Pusat Penamaan Calon pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu kerana tiada pas.


Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pada majlis Makan Malam bersama Presiden PAS di Kompleks PAS Negeri Sembilan, Seremban, Ahad lalu. - Foto IQmal Haqim Rosman

Kubu kuat UMNO

Persoalannya sekarang, mampukah pakar bius itu menang dengan majoriti besar selepas PH sendiri menyaksikan dua kekalahan bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands dan DUN Semenyih baru-baru ini. Lebih-lebih lagi, calon PH perlu berdepan dengan anak jati Rantau yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan yang berjaya mengekalkan kerusi itu sejak tiga penggal lalu.

Beberapa pemimpin PH, termasuk Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengakui kerusi itu kubu kuat UMNO dan memerlukan kerja keras untuk memastikan kemenangan. Timbalan Presiden PH, Mohamad Sabu pula menyatakan kerusi itu sukar untuk dirampas semula jika tiada usaha kuat daripada jentera parti.

Menjelang hari penamaan calon tidak lama lagi, pemimpin PH dilihat semakin kerap turun ke Rantau untuk bertemu rakyat dalam pelbagai program yang diaturkan. Tidak kurang juga pemimpin UMNO yang dilihat sudah mula mengadakan ceramah peringkat pusat daerah mengundi (PDM) sejak minggu lalu.

Setakat ini hanya tiga calon yang dikatakan akan bertanding bagi kerusi itu, termasuk seorang calon Bebas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan tarikh undi awal pada 9 April diikuti hari mengundi pada 13 April dengan tempoh berkempen 14 hari.

Sebanyak 16 pusat mengundi membabitkan 55 saluran. Seramai 20,926 layak mengundi dengan 20,804 pemilih biasa, 118 pengundi awal manakala empat pengundi luar negara. Seramai 11,615 pengundi atau 55.51 peratus adalah Melayu, Cina 3,863 pengundi atau 18.46 peratus, India 5,441 pengundi atau 26 peratus dan lain-lain tujuh pengundi atau 0.03 peratus.

Keputusan pada PRU-13 menyaksikan Mohamad menang dengan majoriti 4,613 undi mengalahkan calon PKR, Aisah Lamsah.

Siapa yang akan menang pada PRK kali ini, hanya mampu diketahui selepas selesai proses pengiraan undi pada 13 April ini. Apa-apa pun, semua calon, pencadang dan penyokong perlu memastikan membawa pas masing-masing supaya dibenarkan masuk ke Pusat Penamaan Calon bagi mengelak sekali lagi kejadian tidak diingini.

1561 dibaca
Berita Harian X