Sabtu, 2 March 2019 | 11:00am
Tambakan di Marina Bay, Singapura.

'Tiga pulau' bakal saingi Marina Bay

Isu tambak laut kembali hangat diperkatakan di Pulau Pinang. Semuanya bermula selepas pelantikan Ketua Menteri baharu, Chow Kon Yeow selepas berakhir Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Rata-rata mahu melihat adakah kepemimpinan baharu ini tetap mahu meneruskan pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Pulau Pinang yang diselubungi pelbagai kontroversi, sejak pengumumannya dibuat pada 2015.

Kon Yeow, yang mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri pada 17 Mei tahun lalu, dilihat bijak dan tidak kekok menguruskan isu yang menjadi perhatian awam itu.

Dua bulan selepas pelantikan sebagai pemimpin nombor satu Pulau Pinang, Kon Yeow membentangkan laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi projek Pan Island Link 1 (PIL1) kepada orang ramai di 10 lokasi terpilih selama sebulan.

PIL1 sebahagian daripada PIP yang turut merangkumi perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT), monorel dan terowong dasar laut. Bagaimanapun, tindakan itu masih tidak memuaskan hati ramai pihak, terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar yang mendesak apakah mekanisme pembiayaan yang akan dipilih kerajaan negeri untuk membiayai kos PIP yang dikatakan menelan belanja mencecah RM49 bilion.

Potensi tarikan pelancongan, hartanah

Sebelum ini kerajaan negeri mengumumkan akan melakukan kerja tambakan laut bagi membentuk tiga pulau buatan seluas 2,600 hektar di perairan selatan Pulau Pinang, untuk membiayai keseluruhan kos pelaksanaan projek berkenaan.

Namun, cadangan itu menerima bantahan daripada pelbagai pihak terutama komuniti nelayan dan masyarakat setempat yang mendakwa keputusan itu bakal mengubah nasib mereka secara menyeluruh.

Bantahan demi bantahan diterima, sehingga akhirnya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Mei 2016, kerajaan negeri memutuskan menangguh cadangan tambakan laut itu sehingga laporan Kajian Terperinci Impak Alam Sekitar (DEIA) diluluskan Jambatan Alam Sekitar (JAS).

Jika tiga pulau buatan itu dilaksanakan, difahamkan ia akan dimajukan sebagai pusat pelancongan baharu, selain pembangunan hartanah perumahan dan komersial, menyaingi Singapura dan kota Dubai.

Perkara itu turut diakui wakil pemaju hartanah dan infrastruktur, Kumpulan Gamuda Bhd baru-baru ini, yang membayangkan Pulau Pinang sebagai Singapura kedua dengan mengatakan negeri itu akan dapat menyaingi Marina Bay di negara kota singa berkenaan, sejurus projek tiga pulau buatan selesai.

Untuk rekod, Kumpulan Gamuda Bhd adalah pemegang saham terbesar dalam Konsortium SRS, iaitu pemaju atau Rakan Pelaksana Projek (PDP) yang dilantik kerajaan negeri untuk mengendalikan PIP.

Selain Kumpulan Gamuda Bhd, pemaju lain adalah Loh Phoy Yen Holdings Sdn Bhd dengan pegangan 20 peratus, dan Ideal Property Development Sdn Bhd juga 20 peratus.

Dalam isu tambakan laut bagi pembinaan tiga pulau buatan itu, pembangunan mewah inilah yang menjadi kebimbangan ramai pihak terutama NGO yang beranggapan ia langsung tidak memberi manfaat kepada rakyat secara amnya.

Namun, Kon Yeow menguruskan keresahan pihak terbabit dengan mengatakan kerajaan negeri masih menunggu maklum balas Kerajaan Persekutuan berhubung kesediaan membiayai PIP, selain projek itu dijangka dibentangkan untuk keputusan akhir di Majlis Perancang Fizikal Negara, pada April ini.

Sebenarnya isu tambakan laut di Pulau Pinang bukan sesuatu yang baharu berlaku di negeri yang mendapat jolokan pulau mutiara ini. Ketika pentadbiran terdahulu iaitu sebelum 2008, kerajaan Pulau Pinang sudah menambak seluas 1,765 hektar tanah bagi pembinaan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di Jelutong dan pelbagai lagi projek membabitkan tanah di kawasan Tanjung Tokong.

Semua itu dilakukan demi menampung desakan pembangunan, tetapi adakah tambakan laut satu-satunya alternatif dan jalan penyelesaian untuk memajukan negeri yang diasaskan Francis Light ini?

Pada 1960, Pulau Pinang hanya berkeluasan 290.6 kilometer persegi (km2), tetapi jika projek tambakan tiga pulau itu dilaksanakan, pulau berkenaan akan 'membesar' kepada 321.8km2.

1366 dibaca
Berita Harian X