Rabu, 27 Februari 2019 | 9:43am
PRK kali ini bolehlah dikatakan sebagai PRK yang perjalanannya cukup berhati-hati bagi mengelak kesilapan yang boleh memakan atau memerangkap diri. - NSTP/Asyraf Hamzah

Perjalanan PRK bertukar rentak

IBARAT lagu bertukar tempo, gendang bertukar rentak palunya. Mungkin itu gambaran sesuai untuk menceritakan wajah politik negara ketika ini. Sama juga perjalanan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih ketika ini, nampak bertukar gayanya.

Dalam fikiran pengundi, mungkin sudah ada calon pilihan mereka. Selain isu setempat yang melatari kehidupan seharian mereka, isu politik pasti tidak terkecuali ada dalam radar pertimbangan mereka untuk menentukan siapa dan parti mana mahu dipangkah di atas kertas undi nanti. Itu pengundi.

Bagi parti politik dan pemimpin mereka pula cabaran lebih besar menanti. Seperkara yang menarik, PRK kali ini bukan PRK biasa-biasa sahaja sebaliknya menjadi ‘kayu ukur’ atau penanda aras tahap sokongan, keyakinan dan kebolehpercayaan rakyat terhadap parti bertanding.

Calon dari dua parti utama menjadi tumpuan, iaitu gabungan dalam Pakatan Harapan (PH) dipimpin Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, manakala sebelah lagi Barisan Nasional (BN) yang mengharapkan kerjasama PAS. Kali ini, PH mempertaruhkan Muhammad Aiman Zainali, 30, dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mempertahankan kerusi itu, manakala Zakaria Hanafi, 58, mewakili BN; Nik Aziz Afiq Abdul, 25, mewakili Parti Sosialis Malaysia dan Kuan Chee Heng, 56, atau lebih dikenali ‘Uncle Kentang’ selaku calon Bebas.

PRK kali ini medan terbaik bagi membuktikan bahawa rakyat terus memberi sokongan padu kepada kerajaan, lantas Muhammad Aiman sendiri kini ligat bertemu pengundi bagi memastikan kerusi dimenangi bapa mentuanya, Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), terus dalam genggaman kerajaan.

BN pula, selepas berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands hasil kerjasama PAS, pastinya menagih keputusan sama terhasil di Semenyih, walaupun mengakui agak sukar untuk berbuat demikian berdasarkan kemenangan dengan majoriti besar iaitu lebih 8,000 undi dimenangi wakil rakyat PH dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada PRU-14 lalu.

Namun, PH dan BERSATU di bawah kepemimpinan Dr Mahathir yang terkenal sebagai ‘pakar strategi’ pula bukan mudah untuk ditundukkan, apatah lagi membiarkan pihak lawan merampas kerusi DUN yang didominasi mereka.

Elak kesilapan

Apa pun, PRK kali ini bolehlah dikatakan sebagai PRK yang perjalanannya cukup berhati-hati bagi mengelak kesilapan yang boleh memakan atau memerangkap diri seperti yang berlaku di Parlimen Cameron Highlands.

Ketika kempen berjalan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegaskan pemberian sebarang bentuk hamper sekalipun khidmat membaik pulih rumah dengan tujuan memancing undi adalah bercanggah dengan peraturan pilihan raya.

Lantaran kes itu, kempen PRK kali ini bertukar rentak, tidak lagi semewah dulu dengan pelbagai majlis jamuan dan ‘imbuhan’ bagi merai atau diberikan kepada pengundi kerana bimbang melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya (1954).

Malah, SPR melalui pasukan penguat kuasanya juga tidak lagi seperti dahulu, sebaliknya aktif memberi peringatan dan teguran terhadap calon dan jentera kempen jika mendapati sesuatu program yang sedang atau akan diadakan dikesan melanggar peraturan kempen.

Bagi calon mahupun jentera dan parti masing-masing, inilah yang mahu dielakkan supaya tidak terjebak dengan ‘rasuah politik’ yang akhirnya boleh menggugat kemenangan dan PRK perlu diadakan semula seandainya petisyen pilihan raya dibuat dan keputusan mahkamah memihak kepada pempetisyen.

Sebenarnya, sebaik proses penamaan calon selesai lagi, Timbalan Presiden PH yang juga Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menegaskan PH tidak boleh membuat janji kepada pengundi Semenyih kerana ada larangan untuk berbuat demikian.

Justeru, gambaran perjalanan PRK kali ini dan seterusnya termasuk di DUN Rantau di Negeri Sembilan tidak lama lagi, cukup berliku, malah ibarat mengelak duri dan ranjau di hutan yang jika tersilap langkah akan membinasakan diri.

Di atas kertas, PH ada kelebihan. Malah, Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri menegaskan berdasarkan simulasi yang dibuat sebelum ini, kemenangan masih berpihak kepada PH di Semenyih, sekalipun kerjasama PAS-UMNO berulang seperti di PRK Parlimen Cameron Highlands diteruskan.

Seperti lazimnya, corak pengundian di PRK tidak sama seperti PRU, dengan pengundi acapkali lebih melihat kepada ‘keuntungan’ dan manfaat yang mereka boleh peroleh jika memilih seseorang wakil rakyat mewakili mereka.

Dalam konteks ini, pastilah calon di pihak kerajaan lebih jauh berkemampuan untuk melaksanakan agenda pembangunan kawasan berbanding calon lain yang mungkin terhad perkhidmatannya kerana tiada sokongan padu daripada kepemimpinan kerajaan negeri dan pusat, termasuk aspek kewangan.

Adakah PH melalui Muhammad Aiman yang juga Bendahari BERSATU Hulu Langat, mampu mempertahankan sokongan pengundi hanya akan terjawab Sabtu ini.

2601 dibaca
Berita Harian X