Rabu, 20 Februari 2019 | 11:03am
Calon DUN Semenyih, Muhammad Aiman Zainali (dua dari kanan), Zakaria Hanafi (kanan), Nik Aziz Afiq Abdul (kiri) dan calon Bebas Kuan Chee. - Foto Mohd Yusni Ariffin

'Semenyih panas calon giat jual khidmat'

CUACA panas sekitar Semenyih bertambah bahangnya apabila suasana kempen pilihan raya kecil (PRK) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu semakin memuncak, selepas masuk hari keempat, semalam.

Ia susulan tindakan setiap calon bertanding yang dilihat begitu agresif ‘menjual’ khidmat masing-masing, andai terpilih sebagai wakil rakyat mewakili lebih 54,000 pengundi di DUN Semenyih.

Semenyih selaku medan PRK keenam dilalui negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menyaksikan saingan empat penjuru, namun hakikatnya hanya dua personaliti benar-benar mencuri tumpuan pengundi kerana mewakili parti politik terbesar negara.

Bendahari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Muhammad Aiman Zainali, 30, mewakili Pakatan Harapan (PH) mempunyai pesona tersendiri dengan kelayakan akademiknya.

Di atas kertas, beliau dilihat memiliki kelebihan selepas dipilih sebagai calon mewakili parti pemerintah, selain cukup dikenali dalam kalangan penduduk setempat. Statusnya sebagai menantu kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor, turut memberi kelebihan.

Barisan Nasional (BN) pula mempertaruhkan anak tempatan daripada UMNO, Zakaria Hanafi, 58, yang juga calon tertua dalam PRK DUN Semenyih.

Tidak dinafikan Zakaria mempunyai kelebihan, tetapi bukan dari faktor usianya, sebaliknya pengalaman dan pembabitannya dalam politik sejak usia muda.

Permainan isu warnai kempen

Menurut profil, Zakaria aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan pernah menjawat kedudukan Ahli Jawatankuasa Majlis Belia Daerah Hulu Langat pada 1995.

Namun, siapa antara dua individu ini yang berbeza usia, bakal menjadi pilihan majoriti 54,503 pengundi berdaftar di kawasan DUN Semenyih untuk diberi mandat membawa suara mereka?

Apakah calon mewakili gabungan yang membentuk Kerajaan PH atau calon pembangkang yang cuba merampas kembali kerusi DUN berkenaan akan menjadi pilihan warga DUN Semenyih.

Selain Muhammad Aiman dan Zakaria, PRK DUN Semenyih turut ditandingi calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul, 25, dan calon Bebas, Kuan Chee Heng, 56, atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang.

Muhammad Aiman diharap mampu membawa perubahan besar di daerah yang terkenal dengan produk ekopelancongan seperti diinginkan masyarakat tempatan, terutama anak muda, selain menyelesaikan masalah berbangkit, seperti kesesakan lalu lintas, pembuangan sampah dan kesesakan di klinik kesihatan.

Dalam kempennya, Muhammad Aiman kerap mengulangi agendanya untuk menyelesaikan masalah setempat dan akan memberi tumpuan kepada pembangunan masyarakat tempatan serta infrastruktur.

Namun, ramai penduduk setempat mengharapkan keluhan mereka berhubung kenaikan kos sara hidup, isu pendidikan, pekerjaan dan perumahan menjadi persoalan utama yang ditekankan calon bertanding.

Calon ada misi tersendiri

Inilah yang dilakukan calon BN, selain menyelit isu nasional bagi mewarnai kempennya setakat ini.

Suasana kempen yang sudah bermula sejak hari penamaan calon Sabtu lalu, turut menyaksikan kehadiran pemimpin kanan parti bertanding berkampung di Semenyih, dengan pelbagai program direncanakan.

Apa pun masih terlalu awal untuk mencongak kecenderungan pengundi ketika tempoh kempen masih panjang berbaki menjelang hari pengundian 2 Mac ini.

Bagi BN pastinya mereka mahu kekalkan momentum kemenangannya di Parlimen Cameron Highlands sebagai bukti amaran ‘semak dan imbang’ rakyat kepada pentadbiran Kerajaan Persekutuan. Ia turut memberi konotasi kejayaan kerjasama PAS-UMNO seperti dilakar di Cameron Highlands.

PH pula mahu penguasaan kerusi DUN Semenyih kekal di bawah mereka, dengan kemenangan dilakar mungkin mampu menyekat populariti yang sedang dibina pembangkang.

Dua lagi calon andai undi berpihak kepada mereka, mungkin memberi gambaran pengundi DUN Semenyih semakin muak dengan dunia politik negara.

Sama ada PH, BN atau dua lagi calon bertanding, masing-masing mempunyai misi tersendiri di Semenyih.

Apa yang pasti setiap perkembangan dalam dunia politik negara yang berlaku menjelang tempoh sehingga 2 Mac ini pasti memberi impak kepada sokongan pengundi, sekali gus menentukan nasib setiap calon dan parti bertanding.

572 dibaca
Berita Harian X