Selasa, 12 Februari 2019 | 11:00am

Cintai Islam sebelum kenali Muslim

APABILA perjuangan menegakkan syiar Islam terpaksa berdepan rintangan musuh, ia bukan perkara pelik atau luar biasa.

Namun, sukar difahami dan lebih menyedihkan apabila umat Islam menyumbang cabaran sama terhadap agama sendiri.

Bukan sedikit Muslim yang turut mencalar imej Islam, baik dengan sengaja mahupun tanpa sedar, melalui tindakan atau sikap yang tidak mencerminkan ajaran sebenar agama syumul itu.

Akibatnya, Islam dipandang serong dan dipersalahkan, meskipun disebabkan kekhilafan individu atau sesebuah organisasi yang tidak berpandukan al-Quran serta sunah. Ia boleh menyebabkan masyarakat bukan Islam yang ada bibit kecenderungan untuk bergelar mualaf, berubah fikiran.

Pengerusi Lembaga Al Hiwar TV dan aktivis Islam terkenal kelahiran Palestin, Dr Azzam Tamimi, berkata keadaan umat Islam ketika ini bukan cerminan yang bagus mengenai agama itu.

“Islam sebenar ada dalam al-Quran, hadis dan sirah Rasulullah SAW. Oleh itu, sesiapa yang berminat dengan Islam jangan terpengaruh mempercayai bahawa keadaan Muslim menggambarkan agama ini.

“Islam mencipta tamadun hebat apabila umatnya benar-benar mengikut ajaran agama,” katanya ketika ditemui BH di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak.

Azzam mengakui perlu untuk mempelajari Islam terlebih dahulu sebelum terpengaruh tingkah laku sebilangan umatnya kini, mengambil kira model yang begitu bagus hari ini tidak ada.

“Ramai Muslim berkelakuan buruk dan jika mengenali Islam daripada mereka, orang mungkin tidak berminat.

Islam jadikan Muslim hebat

“Muhammad Asad dalam buku beliau bertajuk The Road to Mecca berkata, “Islam yang menjadikan Muslim hebat dan bukan sebaliknya. Saya betul-betul nasihatkan setiap mualaf membacanya,” katanya.

Beliau berkata, Muhammad Asad dilahirkan sebagai Yahudi dan memeluk Islam selepas menjelajah dunia Islam.

“Mengikut Muhammad Asad, dirinya mencintai Islam sebelum mengenali Muslim. Beliau memisahkan di antara keadaan umat Islam yang tidak begitu bagus ketika itu kerana peperangan, mundur, dijajah dan ditindas, dengan apa yang dibaca dalam al-Quran mengenai nilai yang membawa penghormatan serta kemuliaan kepada manusia.

“Begitupun, bilangan mualaf terus meningkat, termasuk fenomena semakin ramai orang Amerika Latin memeluk Islam, yang antara lain kerana masyarakat kini lebih mengenali agama ini,” katanya.

Beliau berkata, perkembangan yang sering menjadikan Islam sebagai bahan berita sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk kebangkitan Arab, secara tidak langsung menarik perhatian dan minat masyarakat untuk mengenali atau mendapatkan lebih banyak maklumat mengenainya.

“Walaupun Islam menerima liputan sangat buruk, bilangan orang memeluk agama ini kian meningkat, terutama dalam kalangan wanita. Ada satu kajian di United Kingdom menunjukkan peratusan terbesar mualaf ialah golongan hawa, terutama wanita zaman moden.

“Penerangan al-Quran dan hadis mengenai kedudukan wanita dalam Islam sangat menarik golongan itu yang berpendidikan, terutama di Barat.

“Umat Islam kini khususnya di negara yang mereka ialah kumpulan majoriti juga sedang dalam proses kebangkitan semula,” katanya.

Menyelidik sendiri

Sementara itu, pelbagai berita dan persepsi negatif dilemparkan terhadap Islam tidak menghalang hidayah Allah SWT, yang akhirnya menyaksikan Rocio Ortiz dari Peru mengucap dua kalimah syahadat pada 23 Februari 2013.

Pelajar jurusan seni dan reka bentuk UIAM itu berkata, sebelum ini banyak versi dakwaan mengelirukan terhadap Islam disogok, namun beliau memilih untuk menyelidik sendiri lebih banyak maklumat sebenar mengenai agama berkenaan pada 2012.

“Melalui carian di internet dan pembacaan, saya menyedari banyak perkara dilemparkan pada Islam melalui media sosial atau penerbitan selama ini, tidak benar. Keganasan mahupun tingkah laku tertentu mengikut sesetengah budaya, bukan terkandung dalam al-Quran.

“Saya menyertai perjumpaan setiap Sabtu khusus untuk golongan bukan Muslim di sebuah pusat Islam selama setahun. Sepanjang tempoh itu, saya bertanya banyak soalan mengenai Islam dan sangat tertarik bahawa Tuhan hanya satu, tiada anak dan Maha Berkuasa. Ia memang amat benar.

“Bagaimanapun, saya hanya memeluk Islam selepas hadir satu perasaan untuk meninggalkan segala yang lalu dan memulakan kehidupan baharu, iaitu menjadi seorang umat Islam.

“Kehidupan baharu ini tidak membenarkan kepura-puraan, pembohongan dan mementingkan diri. Saya mesti sentiasa jujur dan berkata benar sebagai Muslim,” katanya.

Perkara menarik turut dikongsi Rocio apabila keputusan memeluk Islam mendapat galakan ibunya.

“Ibu pernah berkata kepada saya, mengapa anda tidak memeluk Islam. Ia tidak salah kerana anda tidak pergi ke parti, minum arak, merokok atau makan daging khinzir.

“Ibu cukup memberi sokongan walaupun beliau tidak memeluk Islam,” katanya.

282 dibaca
FENOMENA semakin ramai Muslim di Barat bukti Islam kini lebih dikenali. - Foto Hiasan
Berita Harian X