Isnin, 11 Februari 2019 | 8:03am

Indahnya hidayah Ilahi dari hati mualaf

SERANGAN persepsi secara halus dilancarkan musuh Islam sejak sekian lama. Imej pengganas, kuno, jumud, mengongkong dan menindas golongan wanita, antara tohmahan negatif cuba disebatikan untuk memomokkan agama syumul itu.

Umat Islam biasa dipaparkan sengsara dengan belenggu kedaifan, kemunduran, konflik peperangan tidak berkesudahan serta sering menagih bantuan simpati.

Matlamat mereka menakut-nakutkan serta mempengaruhi masyarakat dunia supaya berpandangan skeptikal, menjauhi dan seterusnya tidak mengenali Islam sebenar.

Ironinya ‘sepak terajang’ tidak menyekat penduduk bumi ini jatuh cinta pada keindahan Islam. Ramai yang suatu ketika dahulu tidak memahami bahkan pernah mencela Islam, akhirnya rela mengucap dua kalimah syahadat.

Fenomena melanda hari ini peningkatan bilangan mualaf dalam kalangan masyarakat Amerika Latin.

Dilaporkan kira-kira enam peratus umat Islam Amerika Syarikat (AS) terdiri daripada masyarakat Latin, dengan satu per lima daripada yang baru memeluk Islam di negara itu mewakili kelompok berkenaan.

Daniela Uruena Garcia, 30, pelajar jurusan Psikologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang berasal dari Colombia, antara yang menerima hidayah untuk menerima Islam, walaupun membesar dengan pendidikan di sekolah Katolik.


DANIELA Uruena Garcia.

Penjelasan rakan Muslim buka mata

Mengaku di sekolahnya diajar mengenai agama utama seperti Islam, Buddha dan Hindu, Daniela berkata, ia bagaimanapun hanya sebagai asas, malah Nabi Muhammad SAW juga ada disebut, tetapi tidak banyak diketahui.

“Pengetahuan kami mengenai Islam amat sedikit dan ia dilihat sebagai agama kepada masyarakat Arab. Saya sendiri pernah menganggap cara umat Islam sembahyang pelik. Mereka ada satu Tuhan yang lain dan golongan wanitanya seperti ditindas kerana perlu berhijab, termasuk memakai burka di Afghanistan.

“Anda juga sering dengar kononnya wanita Islam tiada hak serta dipukul golongan lelaki mereka, malah selalu disogok kata-kata seperti Islam bukan untuk anda,” katanya.

Daniela berkata, dia mula mengenali Islam ketika berusia 21 tahun, apabila mengikuti kursus Bahasa Inggeris pada musim panas di Amerika Syarikat (AS), bagi melengkapi pengajian ijazah pertama dalam bidang reka bentuk perindustrian.

Di sana, katanya dia menghadiri kuliah bersama penuntut antarabangsa yang kebanyakannya Muslim dari Arab Saudi serta negara Afrika dan banyak bertanya kepada rakan sekuliah berusia 24 tahun mengenai Islam.

“Cukup membuka pandangan saya apabila rakan Muslim itu memaklumkan dirinya berhijab kerana cintakan Allah SWT. Berhijab juga cara orang mengenali serta menghormatinya dan ia secara tidak langsung melindungi dirinya.

“Rakan Muslim itu juga memberitahu Islam tidak mengongkong wanita, tetapi memberi banyak hak dan keistimewaan kepada golongan hawa. Malah suami perlu melayan serta menjaga isteri dengan baik.

“Turut diterangkan rakan itu mengenai Ramadan yang sempat saya lalui selama seminggu di sana.

Hakikatnya mereka sangat jelas mengenai akidah dalam Islam dan Tuhan, namun ketika itu, saya melihat amalan sembahyang, berpuasa selama sebulan dan berhijab sebagai amat berat, selain perbezaan budaya pergaulan lelaki dengan perempuan,” katanya.

Islam pilihan sendiri, bukan dipaksa

Daniela berkata, apabila tamat pengajian dan pulang ke Colombia dia tergerak untuk mula berusaha lebih mengenali Islam termasuk melalui pembacaan buku, sehinggalah mengucapkan dua kalimah syahadat pada April 2011 ketika berusia 22 tahun.

“Peringkat awal, saya diuji fasa sukar menyesuaikan diri dengan perubahan dan berdepan cabaran, termasuk dari aspek sosial serta penerimaan masyarakat.

“Ibu bapa menerima dengan baik, namun saya begitu memikirkan apa kata orang. Saya cuba bersabar dan banyak berdoa kerana yakin membuat keputusan betul. Alhamdulillah, saya berjaya melaluinya,” kata Daniela.

Selepas kira-kira setahun, Daniela mengorak satu lagi langkah besar dengan berhijab.

“Dengan berhijab, saya akan lebih menjaga tingkah laku kerana apabila keluar dan masyarakat melihat saya, mereka tidak akan kata itu Daniela, tetapi akan melihat saya sebagai seorang Muslim.

“Berhijab membantu saya mengamalkan akhlak baik, malah ia antara cara berdakwah kerana masyarakat sering memerhati dan menilai,” katanya.

Mengenai imej Islam yang tercalar dengan pelbagai isu melingkari umatnya, Daniela menegaskan ilmu pengetahuan sangat penting untuk memahami perkara sebenar.

“Saya selalu menerangkan kepada ibu dan ayah supaya jangan menghakimi Islam berdasarkan sikap mahupun tindakan manusia. Ada yang dilakukan atas pengaruh budaya atau amalan tradisi kehidupan mereka sendiri dan ia tidak boleh dikaitkan dengan agama.

“Oleh itu, rujuklah ajaran sebenar Islam dengan membaca sumber betul atau bertanya kepada mereka yang arif,” katanya.


MARIET Rosnaida Cabrera Cusi.

Kenal Islam ketika usia muda

Rakan sekampusnya dari Peru yang mengikuti jurusan Sains Politik, Mariet Rosnaida Cabrera Cusi, 25, pula mendapat pendedahan umum mengenai Islam ketika berusia 14 tahun melalui pembelajaran di sekolah, sebelum memeluk Islam tiga tahun kemudian.

Berkongsi pengalaman, katanya dia kali pertama berkenalan seorang Muslim iaitu lelaki tua warga Turki yang berpuasa Ramadan ketika menyertai kursus Bahasa Inggeris di ibu kota sebelum memasuki universiti.

“Ia benar-benar menarik perhatian saya sehinggakan perkara itu berlegar-legar dalam minda sehingga saya sering tertanya-tanya mengenai Islam.

“Suatu hari kira-kira jam 3 petang, saya pergi sendirian ke sebuah pusat Islam di ibu kota dan bertanya kepada seorang imam mengenai agama itu. Saya amat gembira apabila mendapat jawapan dicari-cari selama ini dan selepas berfikir masak-masak, saya mengambil keputusan memeluk Islam empat jam kemudian,” katanya.

Berbeza dengan Daniela, ibu bapa Mariet hanya mengetahui status mualaf beliau kira-kira setahun kemudian apabila terjumpa gambarnya memakai hijab bersama rakan Muslim.

Mereka menerima dengan fikiran terbuka, namun ibu masih menitikberatkan tradisi warisan mereka.

Mariet bagaimanapun, bertuah melanjutkan pelajaran bahasa Arab selama setahun di sebuah universiti di Qatar, yang dimanfaatkan untuk menimba lebih banyak ilmu mengenai Islam.

“Keluarga tahu saya tidak boleh dipaksa. Mereka memahami, menerima dan memberi sokongan, alhamdulillah,” katanya.

701 dibaca
Berita Harian X