Ahad, 10 Februari 2019 | 11:01am

Bijak berbelanja elak terjerat sara hidup tinggi

MENGIKUT Laporan Kajian Peralihan dari Sekolah ke Pekerjaan (SWTS) Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), baru-baru ini, antara alasan utama kadar pengangguran tinggi dalam kalangan belia di negara ini adalah kerana permintaan gaji ‘tidak realistik’.

Memetik satu kaji selidik dijalankan JobStreet Malaysia pada 2017, laporan itu menjelaskan lebih dua pertiga majikan merungut dengan graduan yang meminta gaji lebih tinggi berbanding ditawarkan antara RM2,400 hingga RM3,000. Dalam pada itu hanya dua peratus majikan bersedia membayar gaji RM3,000 sebulan kepada graduan yang baru menamatkan pengajian.

Berdasarkan persekitaran perniagaan semasa, rungutan majikan berkenaan ada asasnya. Bagi memastikan mereka terus berdaya saing dan kekal dalam pasaran yang semakin sengit, kos perlu dipastikan pada tahap minimum. Dalam hal ini gaji kakitangan tentu menjadi antara pertimbangan.

Namun, jika ditinjau pula dalam kalangan graduan baharu, mereka juga ada alasan mengapa mengharapkan kadar gaji lebih tinggi. Rata-rata akan mengaitkannya dengan kos sara hidup tinggi. Bagi mereka jika berdasarkan keadaan semasa, gaji antara RM2,400 hingga RM3,000 sebulan ditawarkan tidak cukup untuk menampung kehidupan. Justeru, jika ditanya kepada graduan baharu ini, penyelesaiannya ialah majikan perlu membayar gaji lebih tinggi.

Tetapi apakah itu penyelesaiannya? Dalam jangka pendek mungkin ya, namun untuk jangka panjang menaikkan kadar gaji ini hanya akan menambahkan lagi masalah kenaikan kos sara hidup. Apabila kadar gaji dinaikkan, kos sesebuah syarikat akan meningkat. Mahu tidak mahu akhirnya pertambahan kos ini terpaksa dilepaskan kepada pengguna dengan menaikkan harga barang atau perkhidmatan. Jika tidak syarikat pula akan gulung tikar dan ramai pekerja akan hilang pekerjaan.

Bagaimanapun, majikan tidak sepatutnya menjadikan ini sebagai alasan untuk terus membayar kadar gaji rendah. Mereka juga seharusnya sentiasa berusaha mencari jalan memberi ganjaran terbaik kepada pekerja yang menyumbang kepada kelangsungan syarikat.

Bercakap soal kos sara hidup tinggi ini, pelbagai langkah serta inisiatif dilaksanakan kerajaan untuk mengurangkan tekanan, tetapi rungutan mengenainya berterusan. Walaupun harga barangan sejak dahulu tidak pernah turun, kelihatan keluhan mengenai masalah kos sara hidup tinggi begitu ketara beberapa tahun kebelakangan ini.

Justeru, terfikir juga persoalan sama ada masalah ini benar-benar berpunca daripada kenaikan harga yang dikatakan meningkat lebih tinggi daripada pendapatan atau mungkin juga sebahagiannya turut disumbangkan cara kita berbelanja. Bukan apa, jika diteliti banyak daripada wang yang kita belanjakan setiap hari sekarang disalurkan kepada perkara yang sebenarnya tidak menambah kepada mutu kehidupan.

Perbelanjaan untuk talian komunikasi dan internet antara contohnya. Tidak dinafikan ia kini menjadi satu keperluan, tetapi rata-rata yang berbelanja besar menggunakannya untuk perkara yang langsung tidak mendatangkan manfaat, seperti layan permainan dalam talian atau bersembang kosong di laman sosial.

Ramai juga membeli telefon canggih mahal walaupun sepanjang memilikinya hanya menggunakan fungsi asas, membuat panggilan serta melayari internet. Corak perbelanjaan kita hari ini sebenarnya banyak dipengaruhi kempen dan taktik komersial syarikat pengeluar yang menyebabkan kita membayar harga tinggi bagi sesuatu produk, walaupun pada hakikatnya tidak memerlukan pelbagai fungsi tambahan yang ditawarkan itu.

222 dibaca
Berita Harian X