Sabtu, 9 Februari 2019 | 11:02am
- Foto Hiasan

Etika di jalan raya dari perspektif Islam

SENARIO kemalangan jalan raya pada musim cuti perayaan sampai ke suatu tahap membimbangkan apabila sering mengakibatkan kehilangan nyawa dan harta benda. Keadaan ini memberi gambaran mengerikan bagi setiap pengguna jalan raya, khususnya di Malaysia.

Etika atau akhlak dalam Islam berusaha membina dan memupuk rohaniah manusia, membina insaniah, membentuk tingkah laku, di samping berusaha menjauhkan diri daripada terjebak sifat negatif. Antara etika Islam yang perlu diberi penekanan ialah hak penggunaan jalan raya.

Berdoa ketika memulakan perjalanan ialah sunah Rasulullah agar memohon perlindungan daripada malapetaka dalam perjalanan atau menaiki kenderaan.

Islam mengajar umatnya tentang doa ketika melakukan perjalanan dan menaiki kenderaan.

Islam juga melarang manusia, termasuk pengguna jalan raya bersikap sombong dan angkuh sebagaimana terdapat dalam Surah al-Isra' ayat ke-37.

Tak ambil kesempatan

Dalam konteks pengguna jalan raya, seseorang yang mempunyai nilai etika tidak sepatutnya mengambil kesempatan untuk menunjukkan kehebatan mereka dengan memandu secara melulu, memecut dan memotong kenderaan lain sembarangan, memotong barisan kenderaan, berlumba di jalan raya atau menunjukkan aksi bagi menarik perhatian orang ramai

Elakkan daripada menggunakan hon kenderaan yang keterlaluan atau tidak bersesuaian dan memasang pembesar suara pada kenderaan secara melampau tanpa segan silu sehingga mengganggu keharmonian pengguna lain.

Islam melarang agar tidak menimbulkan sebarang perkara yang boleh memudaratkan diri sama ada terhadap diri sendiri mahupun orang lain.

Orang ramai berhak menggunakan kenderaan di jalan raya dengan syarat semua mesti menitikberatkan aspek keselamatan pengguna jalan raya dengan menghindari segala bentuk yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada pengguna jalan raya.

Selain itu, Islam menyaran umatnya menghindari gangguan yang boleh menjejaskan penggunaan jalan raya. Gangguan sama ada dalam bentuk fizikal, bunyi mahupun penglihatan.

Pengguna jalan raya sewajarnya bersikap mengutamakan keperluan orang lain ketika di jalan raya, terutama keperluan yang mendesak seperti memberi laluan kepada mereka yang berada dalam kecemasan.

Memberi keutamaan kepada pengguna jalan raya yang lain dan tidak menunjukkan sikap yang mementingkan diri sendiri, boleh mewujudkan suasana harmoni dan bertolak ansur dalam kalangan pengguna yang akhirnya, boleh mengelakkan kemalangan dan seterusnya menyelamatkan nyawa.

Komunikasi dengan baik

Setiap pengguna jalan raya perlu berkomunikasi dengan baik, iaitu dengan mengeluarkan kata-kata yang tidak menyinggung perasaan pengguna jalan raya lain. Kata-kata keji perlu dielakkan agar tidak menimbulkan perkara yang tidak diingini sehingga menyebabkan tercetusnya pergaduhan dan permusuhan.

Kepentingan awam di jalan raya memerlukan keprihatinan yang serius oleh semua pihak. Objektifnya sangat jelas, iaitu menjaga keselamatan nyawa dan harta benda serta terhindar daripada perkara yang boleh mengganggu keselesaan penggunanya.

Pengguna jalan raya yang beragama Islam perlu menganggap bahawa etika penggunaan jalan raya ialah sebahagian daripada tuntutan iman dan syarak. Mereka perlu mematuhi peraturan jalan raya dan ketidakpatuhan terhadap peraturan jalan raya dianggap berdosa kerana melanggar objektif syarak itu sendiri.

Bahkan, pengguna yang cuai semasa memandu kenderaan sehingga menyebabkan kematian dan kecacatan anggota boleh dikenakan hukuman yang setimpal sama ada di dunia, mahupun di akhirat.

Pengguna jalan raya perlu sedar hakikat kehidupan bersama kerana kesedaran seumpama ini akan melahirkan perasaan untuk menghargai hak orang lain.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Pusat Citra Universiti, Universiti Kebangsaan Malaysia

Berita Harian X