Jumaat, 8 Februari 2019 | 11:02am
- Foto Hiasan

Usah biar bidang pendidikan dipenuhi individu murung

SETIAP pekerjaan mempunyai cabaran dan tekanan tertentu yang boleh menyebabkan kemurungan, lebih-lebih lagi kerjaya itu mempunyai risiko tertentu seperti wartawan, doktor, jururawat dan jurutera.

Dalam hal ini ramai beranggapan kerja pendidik - termasuk guru dan pensyarah - tidak banyak tekanannya berbanding bidang lain. Malah, kerjaya pendidik dianggap paling kurang tekanannya.

Ini terbukti apabila ramai berkata “kalau tak nak banyak tekanan kerja, jadilah guru atau pendidik” atau “kerja pendidik mudah dan banyak masa dengan keluarga”.

Setuju atau tidak, itulah tanggapan umum biasa didengari berkaitan profesion pendidik. Malah, ada beranggapan pendidik paling ‘santai’ dalam kerjaya kerana banyak cuti dan kerja pun tak berapa berat, malah sentiasa disanjung masyarakat.

Hakikatnya, tidak ramai tahu dunia sebenar bidang pendidikan nampak mudah pada mata kasar, namun apa yang dilalui hanya dirasai pendidik sendiri.

Ramai pendidik zaman ini berdepan pelbagai tugasan. Bukan sahaja mendidik atau mengajar, mereka turut dipertanggungjawab tugas di luar skop kerja sebagai pendidik. Ini termasuk kerja amal untuk pelajar dan pihak sekolah atau universiti.

Bebanan tugas di luar skop hakiki

Tidak pasti ramai sedar, pendidik juga paling ramai ‘berpisah’ dengan keluarga dan terpaksa berjauhan dengan orang tersayang, terutama anak dan isteri atau suami.

Kajian penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapati 71.1 peratus guru di Kuala Lumpur dan Selangor mengalami tekanan, dengan guru wanita dua kali ganda lebih ramai berbanding lelaki.

Guru dikatakan terbeban dengan kelas yang ramai murid, malah tugas lain seperti perkeranian yang terpaksa dibuat turut menambah beban hakiki. Itu belum masuk kajian dijalankan di peringkat universiti.

Itu pada peringkat guru. Bagi pensyarah pula, mereka turut mengalami tekanan kerana golongan ini juga terbeban dengan pelbagai tugasan selain mengajar.

Skop kerja pensyarah juga banyak. Selain kerja hakiki meliputi pengajaran, penyeliaan penulisan penerbitan dan perundingan, pensyarah perlu memastikan petunjuk prestasi utama (KPI) tercapai sepanjang masa.

Pensyarah juga mesti menjadi ahli jawatankuasa tertentu dalam fakulti dan bekerja tidak kira masa. Adakalanya sehingga malam dan bekerja pada hari cuti hujung minggu. Ini semua antara faktor menyumbang kepada tekanan dan berisiko menyebabkan kemurungan.

Menyentuh kemurungan, ia boleh dihidapi sesiapa sahaja. Namun, ada sebab tertentu membuatkan seseorang itu mengalami kemurungan.

Sesiapa sahaja boleh murung

Adakalanya kita lihat seseorang itu kuat dari segi emosi, namun kita tidak tahu apa mereka lalui. Kehidupan manusia tidak sama antara satu sama lain. Setiap orang ada masalah sendiri dan tidak semua mahu berkongsi masalah dihadapi dengan ramai orang.

Ada yang lebih suka menyimpan dan memendam masalah sehingga akhirnya mengalami kemurungan.

Dalam kaitan sama, seorang pendidik boleh menjadi murung atas pelbagai sebab dan faktor, termasuk seperti dijelaskan di atas.

Namun, tidak semua orang mengalami tekanan sama sebagai pendidik. Ada yang sangat senang dengan kerjaya sebagai guru dan pensyarah. Ada yang tidak pernah kisah terpaksa buat kerja di luar skop kerja mereka.

Setiap manusia tidak sama dari segi perwatakan dan ketahanan diri.

Ringkasnya kemurungan dalam kalangan pendidik tidak boleh dipandang ringan dan dibiar berlarutan. Pihak tertentu perlu melihat isu ini lebih serius kerana jika ramai pendidik kemurungan, pasti ia memberi tekanan hebat pada dunia pendidikan kita.

Kita tidak mahu dunia pendidikan dipenuhi individu murung sehingga tidak dapat menjalankan tugas murni sebagai pendidik. Andai ini berlaku, pelajar akan terkesan dan jika dibiar berlarutan negara tidak dapat menghasilkan masyarakat berkualiti dan cemerlang.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM)

197 dibaca
Berita Harian X