Khamis, 7 Februari 2019 | 11:02am
- Foto Hiasan

Perjuang isu wanita tanpa bersikap selektif

TERKADANG kita berasa aneh dengan sikap dan pendirian sesetengah pihak yang mendakwa mereka pejuang hak asasi manusia dan nilai liberal, namun bersikap selektif serta tidak berpasak pada pendirian sendiri.

Ada antara mereka melampias kritikan terhadap kempen Katakan Tidak Pada Zina atau Say No to Zina digerakkan sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Kritikan diberi kononnya kempen itu berdasarkan fahaman agama khususnya Islam. Ia terbukti tidak tercapai dek akal kerana hakikatnya, kempen terbabit adalah sebahagian inisiatif untuk memelihara integriti lelaki dan wanita daripada terjebak gejala sosial dan zina.

Mereka turut menghambur rasa tidak puas hati terhadap garis panduan pemakaian dikeluarkan dengan kerjasama strategik Kementerian Hal Ehwal Agama dan Kementerian Sumber Manusia, sedangkan tumpuan utamanya menyelesaikan kemelut diskriminasi melanda wanita Islam.

Wanita Islam bekerja diakui berdepan larangan pemakaian hijab atau menutup aurat, sehingga menafikan hak dan kebebasan beragama mereka.

Ia disebabkan polisi majikan atau syarikat yang tidak sensitif dan mencabuli hak wanita Islam.

Oleh itu, garis panduan tatacara pemakaian diperkenalkan.

Peristiwa malang ini bukan asing, tetapi membarah dalam sektor pekerjaan swasta. Wakil International Women's Alliance for Family Institution and Quality Education (WAFIQ) pada tahun lalu, menemui tiga daripada 12 pekerja wanita Islam yang ditemuramah, menderita akibat diskriminasi atas dasar agama ini.

Larangan berhijab

Larangan berhijab turut terpakai ke atas semua organisasi atau syarikat, sekiranya bidang kerja mereka membabitkan urusan secara bersemuka dengan pelanggan, bukan sekadar pekerja di kaunter hadapan.

Oleh itu, tuduhan kumpulan liberal hak asasi wanita termasuk kumpulan yang memperjuangkan hak golongan transgender menimbulkan tanda tanya.

Pertama sekali, menyifatkan garis panduan itu sebagai menyerupai kod sedikit sebanyak menimbulkan permasalahan.

Jika ia adalah satu garis panduan, maka semua orang termasuk wanita diberikan pilihan untuk tidak mengikutinya.

Keadaan berbeza sekiranya ia adalah satu kod - satu istilah yang lebih autoritatif - memberi gambaran semua orang termasuklah wanita hendaklah mematuhinya.

Walau apa permasalahan dari segi istilah timbul, pihak kerajaan mengesahkan garis panduan itu tertakluk kepada pilihan pekerja itu sendiri.

Titik tolak garis panduan itu sendiri untuk menangani masalah diskriminasi dihadapi Muslimah berhijab, selain bertujuan memberi pilihan dan melindungi hak serta kebebasan beragama mereka.

Ia boleh dikategorikan sebagai satu kod kerana ia meletakkan kewajipan ke atas majikan untuk menawarkan pilihan kepada Muslimah dan menjamin hak pekerja untuk berpakaian menutup aurat.

Ia tidak sepatutnya menimbulkan sebarang isu dan pertikaian.

Namun, kumpulan liberal dan hak asasi wanita seakan fobia terhadap istilah ‘kod’, ataupun ‘menghindar’ seperti yang digunakan dalam kempen menolak perbuatan zina.

Menutup aurat adalah sebahagian tuntutan ke atas Muslimah, namun mereka tidak menikmati sistem sokongan dalam industri dan bidang pekerjaan.

Mereka juga dituduh ekstremis dalam beragama, tidak fleksibel, tidak mematuhi arahan majikan atau tidak liberal.

Oleh itu, garis panduan diperkenalkan itu tidak seharusnya menerima tentangan, bahkan kumpulan liberal dan hak asasi wanita seharusnya menyokong dengan sepenuh jiwa dan raga.

Langkah kerajaan mengelak gejala sosial dan penindasan terhadap wanita dianggap memaksa nilai moral dan pengisytiharan perang ke atas mereka, melainkan pejuang hak asasi dan liberal itu bersikap selektif dan mempunyai agenda tersendiri.

Penulis adalah Ahli Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

77 dibaca
Berita Harian X