Khamis, 7 Februari 2019 | 11:00am
- Foto Hiasan

Kita perlu 'Wright Brothers' versi Malaysia

KERETA nasional ketiga menjadi topik hangat dibincangkan lebih-lebih lagi di media sosial, dengan ada yang menyokong dan tidak kurang juga membantah.

Persoalan sering berlegar di minda rakyat pastinya teknologi automotif apa yang patut dipilih? Adakah projek ini akan membebankan pembayar cukai? Sejauh mana projek ini akan dipolitikkan?

Bagi saya, harapan besar untuk melihat projek ini menjadi batu loncatan bagi Malaysia memperkasa mobiliti dan tenaga. Justeru, satu keperluan untuk projek ini memberi tumpuan kepada keseimbangan keselesaan pemanduan dan penjagaan alam sekitar atau eco-friendly.

Keseimbangan ini penting untuk memenuhi pasaran automotif global ketika ini yang mementingkan kemampanan.

Demi menarik sokongan rakyat, penting bagi kerajaan menerangkan apakah objektif definisi kereta nasional ketiga dan kenapa kita mahu membangunkannya.

Banyak pendapat menyatakan kereta nasional ketiga ini harus dibuat di Malaysia bagi membangunkan kebolehan kejuruteraan dan teknologi negara. Penyertaan sektor swasta juga harus digiatkan untuk menerajui pembangunan teknologi kluster demi masa depan ekosistem mobiliti.

Perlu ada identiti negara

Jika dilihat sejarah, kereta nasional pertama iaitu PROTON bermula dengan menjual produk rebadged daripada Mitsubishi Motors dan kini diambil alih Chinese Geely Holding. PERODUA pula memberi penumpuan terhadap pemasangan kereta kompak dikenali Daihatsu versi Malaysia.

Oleh itu, kereta nasional ketiga ini harus dibuat di Malaysia dan mempunyai identiti negara yang kuat serta menjadi lebih baik berbanding dua projek sebelum ini.

Untuk lebih impak, pembangunan kereta nasional baharu ini wajar dilakukan melalui konsep inovasi terbuka.

Kerajaan perlu menghasilkan visi dan misi yang besar bagi membangunkan sektor automotif negara khususnya dan ASEAN amnya.

Dengan menetapkan sasaran tinggi seiring usaha, barulah kita mampu bersaing dengan pasaran automotif dan menjadikan Malaysia terulung dalam bidang berkenaan di rantau ASEAN.

Di samping itu, kerajaan wajar menyediakan persekitaran sesuai yang dilengkapi regulasi sewajarnya dan jaminan kualiti. Contohnya konsep ‘bandar pintar masa depan’ yang banyak diadakan di negara maju.

Saya berpendapat projek kereta nasional ketiga lebih wajar dibangunkan untuk melengkapi PROTON dan PERODUA, berbanding bersaing dengan kebolehan sedia ada kedua-dua syarikat kereta nasional itu.

Malah, lebih baik jika kemampuan sedia ada PROTON dan PERODUA dimanfaatkan untuk mewujudkan kerjasama membangunkan kereta nasional ketiga. Hasilnya pasti menguntungkan negara.

Lampu hijau kerajaan

Secara peribadi, saya berasakan projek kereta nasional ketiga boleh dijadikan platform pertandingan sihat antara syarikat di Malaysia dan start-up (bisnes baru berkembang) untuk mempersembahkan idea terbaik dari segi teknologi, rekaan dan lain-lain.

Namun, syaratnya pertandingan harus mempunyai kualiti penghakiman tinggi. Contohnya, Progressive Insurance Automotive X Prize 2010 yang mempertandingkan kenderaan paling jimat tenaga di jalan raya.

Saya sendiri pernah menyertai Shell Eco Marathon Asia 2012 dan Space X Hyperloop Competition 2017. Dari situ saya dapat lihat hebatnya sesebuah pertandingan, yang mana wang hadiah dijadikan batu loncatan menjana 10 hingga 100 kali ganda pulangan pelaburan, khususnya dari segi idea menarik yang diaplikasi.

Bagi kerajaan pula, perlu sekali membantu dari segi memberi lampu hijau untuk semua inisiatif yang boleh membangunkan industri kereta.

Mereka yang mempunyai motivasi tinggi mengenai automotif akan mencari sumber sendiri untuk membentuk pasukan dan industri yang gemilang.

Satu hadiah, satu landasan mampu mengumpulkan pelbagai idea dan inovasi yang boleh dijadikan realiti produk kereta. Ingat, begitulah juga kapal terbang tercipta.

Sudah sampai masanya Malay-sia mencari Wright Brothers kita sendiri untuk masa depan automotif negara.

Kesimpulannya, saya harap projek kereta nasional ketiga ini mampu membawa Malaysia sebagai peneraju automotif dan kejuruteraan terulung di ASEAN.

Penulis adalah EXCO Kelab Bunga Raya Jepun

131 dibaca
Berita Harian X