Selasa, 5 Februari 2019 | 11:20am
Kegiatan mat rempit sekitar Kuala Lumpur. - Gambar hiasan

Budaya 'jaga tepi kain' elak dadah rosakkan belia

Selaku pewaris generasi masa depan, remaja dipertanggungjawab harapan besar agar berupaya menjadi individu berguna serta menyumbang ke arah kesejahteraan negara secara keseluruhannya.

Namun, akhir-akhir ini pelbagai pihak menaruh kebimbangan terhadap gejala sosial dalam kalangan belia sehingga meruntuhkan akhlak dan akidah mereka.

Perkembangan gejala sosial semakin meningkat menyebabkan setiap hari kita disogok dan dipapar pelbagai cerita mengenai salah laku remaja baik berskala kecil atau besar.

Ia menggambarkan betapa serius situasi ini, namun persoalan lebih penting harus difikirkan bersama apakah masyarakat sedar pembabitan golongan belia dan remaja dalam aktiviti dadah yang semakin membimbangkan.

Penyalahgunaan dadah terbukti memusnahkan kehidupan individu dan membawa kesengsaraan kepada seluruh sistem keluarga, masyarakat dan negara.

Kemusnahan ini berlaku dalam bentuk terancang oleh mereka yang ingin mengaut keuntungan semata-mata daripada dagangan dadah, dengan menjadikan belia serta remaja kumpulan sasaran.

Kebanyakan mereka yang terjebak dengan dadah, bermula awal dalam aktiviti tidak sihat ini dan sukar bagi mereka berhenti daripada menagih.

Dadah musnah kehidupan

Remaja terbabit dadah sukar berjaya dalam bidang akademik kerana sering tidak hadir sekolah. Mereka juga cenderung bergaul rakan dalam kalangan penagih yang tercicir daripada alam persekolahan.

Keadaan ini menyebabkan mereka rendah diri dan tersisih daripada rakan di sekolah sehingga lama-kelamaan tidak berminat untuk bergaul dengan ahli keluarga dan anggota masyarakat lain.

Remaja yang menghadapi permasalahan dadah turut terbabit tingkah laku antisosial seperti ponteng sekolah, pergaduhan, perlakuan jenayah dan sebagainya.

Zaman remaja adalah masa kritikal dalam kehidupan seseorang kerana ketika inilah mereka mempelajari pengalaman baharu untuk menyesuaikan diri dengan orang lain, mencuba membuat keputusan terhadap sesuatu perkara dan lain-lain.

Perubahan dan penyesuaian diri kadangkala mendatangkan tekanan perasaan kepada sesetengah remaja. Untuk mengatasi permasalahan itu, ada yang menggunakan jalan singkat dengan mengambil dadah.

Jika dibiar berterusan, ia akan bertukar rutin berpanjangan dan mereka cenderung mengambil dadah sebagai penyelesaian mengatasi sebarang permasalahan berkaitan diri, keluarga dan kerja.

Beberapa sebab remaja terbabit penyalahgunaan dadah, antaranya untuk mengubah perasaan dan situasi. Contohnya, ketika kemurungan mereka inginkan rasa gembira, atau mengubah rasa tertekan serta gementar kepada tenang.

Bosan juga menjadi faktor apabila sesetengah remaja mengambil dadah untuk mendapatkan keseronokan, lebih-lebih lagi apabila dipengaruhi dunia hiburan yang menunjukkan dadah sebagai sesuatu yang menarik dan bergaya.

Ada sesetengah remaja mengambil dadah untuk mengelak tidur supaya boleh mengulangkaji, atau untuk membebaskan diri daripada kehidupan akademik mereka.

Ada juga pelajar peringkat sekolah atau institusi pengajian tinggi menggunakan dadah tanpa diketahui ibu bapa untuk merangsang sistem saraf mereka agar menjadi lebih bertenaga.

Menjelang musim peperiksaan, mereka tidak perlu tidur untuk beberapa hari berturut-turut selepas mengambil dadah, sekali gus menumpukan kepada persediaan menghadapi peperiksaan.

Kesan penagihan

Perlu diingat penyalahgunaan dadah menyebabkan beberapa kesan kepada penagih. Ketika mengambil dadah, penagih akan mengalami euforia serta halusinasi. Dari segi fisiologi, penagih akan mengalami peningkatan sel darah putih dan paras gula dalam darah, kemusnahan otot dan peningkatan suhu badan.

Selain itu, sistem saraf pusat akan mengalami kerosakan. Lama-kelamaan, kadar pernafasan penagih menjadi lebih pendek dan perlahan.

Tubuh penagih juga akan menggigil akibat penurunan kadar metabolisme. Di samping itu, mata penagih menjadi kemerah-merahan serta kuyu, dengan berat badan turut menurun mendadak.

Lebih teruk, penagihan dadah mengundang risiko dijangkiti Human Immunodeficiency Virus (HIV) atau Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit (AIDS), hepatitis dan sawan berikutan perkongsian alat suntikan. Bagi ibu mengandung, ia membawa risiko keguguran, kandungan tidak stabil, cacat atau mati.

Penagih dadah juga kebanyakannya sering dikait penyakit psikosis (tidak siuman), kerosakan otak dan ketidakstabilan emosi. Mereka terdorong melakukan perkara di luar jangkaan seperti merompak, meragut, merogol dan membunuh serta meningkatkan kadar berlakunya masalah sosial.

Menyedari hakikat negara memerlukan generasi kental dan sepadu dalam menghadapi dunia abad ke-21 yang sangat mencabar, pelbagai pihak harus bermuhasabah dengan apa yang berlaku pada anak bangsa pada hari ini.

Kita sering mementingkan pencapaian akademik sebagai penentu aras kejayaan seseorang, tetapi lupa pembangunan sahsiah manusia juga perlu ditingkatkan agar seiring, bagi melahirkan generasi cemerlang, gemilang dan terbilang.

Remaja adalah generasi pelapis yang akan memimpin negara pada masa hadapan. Maka, penting bagi negara melahirkan generasi bebas daripada penyalahgunaan dadah.

168 dibaca
Berita Harian X