Sabtu, 2 Februari 2019 | 10:56am
GAMBAR fail, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semasa menyaksikan penyerahan cek kepada tabung amanah mySalam yang diterima oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Great Eastern Holdings Berhad, Khor Hock Seng (dua dari kanan) dan turut bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada Majlis Pelancaran Skim Perlindungan B40 mySalam di Kementerian Kewangan, Januari lalu. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Kaji kesan pelaksanaan Skim mySalam

Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan baru-baru ini melancarkan Skim Perlindungan Nasional B40 atau Skim mySalam yang dijangka membawa manfaat besar kepada 3.69 juta rakyat.

Dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, skim mySalam memberi manfaat perlindungan takaful kepada isi rumah kumpulan pendapatan bulanan 40 peratus terendah (B40) yang juga penerima Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSHR) 2019.

Inisiatif digerakkan dengan kerjasama syarikat insurans dan perlindungan Great Eastern berpusat di Singapura, dengan peruntukan awal disumbangkan syarikat itu berjumlah RM2 bilion.

Di sebalik manfaat digariskan, timbul juga kegusaran mengenai pelaksanaan skim itu yang dikhuatiri memberi impak negatif kepada proses penyampaian perkhidmatan kesihatan di Malaysia.

Umum mengetahui Malaysia sudah lama mencapai tahap penyampaian perkhidmatan kesihatan universal memberangsangkan melalui perkhidmatan kesihatan percuma di klinik dan hospital kerajaan di seluruh negara. Melaluinya kadar penyakit berjangkit, kematian kanak-kanak serta kematian ibu mengandung dapat dikurangkan dan jangka hayat rakyat ditingkatkan.

Persoalan, persepsi umum

Memperkenalkan sistem perlindungan atau insurans kesihatan di premis kerajaan hanya mengundang pelbagai persoalan dan persepsi negatif masyarakat, yang menerima perkhidmatan kesihatan kerajaan percuma selama ini.

Adakah pesakit selain golongan B40 akan mula dikenakan caj penuh di hospital atau klinik kerajaan bermula dengan pelaksanaan mySalam ini.

Bagaimana pula pesakit selain B40 yang tidak mempunyai kewangan mencukupi untuk menampung kos perubatan yang semakin meningkat, terutamanya bagi prosedur dan surgeri yang memerlukan alatan khusus.

Jadi kerajaan perlu menilai kesan jangka panjang pelaksanaan skim mySalam seperti tanggungan kerajaan kepada premium insurans yang akan semakin meningkat saban tahun.

Adakah kerajaan mempunyai sumber lain selain bajet tahunan untuk menampung kos perkhidmatan kesihatan yang semakin meningkat? Jika ada, dari mana sumbernya selain cukai pendapatan rakyat yang dikutip setiap tahun.

Melalui skim mySalam, golongan M40 tidak diberikan perhatian sewajarnya. Mereka sama ada yang bekerja dengan kerajaan, swasta atau bekerja sendiri.

Susulan semua persoalan ini, adakah perkhidmatan kesihatan akan mula berubah kepada penswastaan, supaya lebih banyak syarikat insurans memasuki pasaran untuk menyediakan skim insurans lebih baik kepada rakyat.

Pada masa itu bagaimana kerajaan dapat mengawal kadar premium insuran dan caj perkhidmatan kesihatan dikenakan.

Kaji kesan negatif

Persoalannya adakah satu kajian menyeluruh dijalankan untuk menilai kesan ke atas pengenalan skim perlindungan atau insurans ke dalam perkhidmatan kesihatan awam untuk jangka masa pendek dan panjang.

Kerajaan sepatutnya belajar daripada kegagalan sistem insurans perubatan digunakan di Amerika Syarikat, yang tidak berjaya mengawal pihak swasta menetapkan harga perkhidmatan kesihatan.

Kesannya premium insurans tinggi dan membebankan rakyat. Ia juga menidakkan hak sesetengah rakyat mendapatkan khidmat kesihatan yang terbaik.

Apabila ini berlaku, kita bimbang penyampaian perkhidmatan kesihatan universal (UHC) di Malaysia akan terjejas dan menyebabkan kadar penyakit berjangkit (CDC) dan kronik (NCD) kembali meningkat. Ini berisiko menambah beban kesihatan berganda kepada Kementerian Kesihatan.

Kos pengurusan kesihatan semakin meningkat saban tahun dan fasiliti kesihatan memerlukan penyelenggaraan serta naik taraf mengikut perkembangan teknologi dan keperluan kesihatan rakyat seluruhnya. Ia pastinya membebankan kerajaan.

Mungkin boleh juga dilihat kaedah lain untuk menampung kos perubatan ini. Antaranya model skim perlindungan nasional berbentuk insurans kesihatan sosial (SHI) yang pernah dinyatakan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, tahun lalu.

Penulis adalah Presiden Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik)

265 dibaca
Berita Harian X