Selasa, 29 Januari 2019 | 11:23am
Gambar fail, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua, kanan) beramah mesra dengan sebahagian peserta masakan ketika hadir pada Karnival Aspek Wanita Pandan dan Program Back To School di Kampung Pandan hari ini. - Foto BERNAMA

Kawal kredibiliti elak gelaran kaunselor disalah guna

Program Lay Kaunselor dilaksanakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sejak 2015, dilihat tepat ketika penyakit mental semakin teruk dalam kalangan masyarakat negara ini.

Penyakit mental dijangka menjadi penyakit kedua paling serius di Malaysia selepas sakit jantung menjelang tahun 2020.

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 menunjukkan 4.2 juta rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas, mengalami pelbagai masalah mental. Ia meningkat 11.2 peratus berbanding 2006.

Berdasarkan rekod, hanya 7,765 kaunselor berdaftar di seluruh negara sehingga akhir 2017. Nisbah kaunselor kepada penduduk ketika ini ialah 1:4,030 dan ia suatu jurang yang terlalu besar.

Komitmen Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk menambah bilangan lay kaunselor daripada 5,500 kepada 10,000 orang pada 2019, amat dialu-alukan.

Khidmat sukarela

Melaluinya lebih ramai orang awam dapat memberikan khidmat sukarela dengan bentuk dan kaedah bantuan kaunseling yang betul pada peringkat komuniti. Sekurang-kurangnya ia mengimbangi kekurangan kaunselor ketika ini.

Bagaimanapun sasaran penyediaan 10,000 sukarelawan itu diharap tidak membantutkan fokus untuk menambah jumlah kaunselor profesional kepada 11,000 orang menjelang 2020.

Elok juga jika kaunselor berdaftar sedia ada disediakan inisiatif atau insentif supaya dapat berfungsi lebih berkesan dalam masyarakat.

Berbalik kepada inisiatif kerajaan itu, beberapa penambahbaikan perlu dilakukan termasuk menggantikan terma lay kaunselor kepada gelaran yang tidak mengelirukan.

Penggantian ini penting supaya gelaran kaunselor tidak disalah guna kerana semua kaunselor yang mengadakan proses kaunseling di negara ini, perlu berdaftar dan menjalankan fungsi mereka selaras Akta Kaunselor 1998.

Akta Kaunselor 1998 menakrifkan kaunselor sebagai seseorang yang mengadakan perkhidmatan kaunseling bagi suatu fee ditetapkan atau apa-apa balasan lain. Kaunselor berdaftar pula ertinya seseorang yang didaftarkan di bawah Seksyen 26 atau 27.

Perkataan kaunseling membawa erti proses sistematik untuk membantu perhubungan berdasarkan prinsip psikologi dilaksanakan kaunselor berdaftar mengikut kod etika kaunseling.

Kekhuatiran timbul andai penggunaan gelaran kaunselor tidak dikawal, terutama menjejaskan kod etika kaunselor dan profesionalisme kaunselor berdaftar.

Dibimbangi juga risiko pelanggan tidak mendapat nasihat atau bimbingan sewajarnya daripada individu yang dianggap kaunselor itu, sekali gus mendedahkan mereka kepada salah laku tertentu. Pelanggan juga berisiko terdedah tindakan yang boleh lebih membahayakan dirinya.

Tambah baik program

Walaupun di beberapa negara lain terdapat penggunaan terma lay kaunselor, program latihan dijalankan memakan masa lebih lama sehingga beberapa bulan atau tahun, bukanlah tiga hari seperti di negara ini.

Perkara ini perlu diberi perhatian bagi melahirkan sukarelawan berkompetensi dalam asas kemahiran kaunseling, lebih-lebih lagi golongan ini cenderung berurusan dengan mereka yang memerlukan sokongan emosi.

Pihak kementerian perlu melihat sama modul latihan daripada organisasi atau program sedia ada lain seperti Befrienders dan Lifeline ke arah menambahbaik modul untuk program lay kaunselor.

Pangkalan data yang sentiasa dikemaskini dan diintegrasikan dengan sistem atau program sokongan yang lain perlu juga diwujudkan, bagi mengelak kewujudan lay kaunselor di negara ini tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

Elok juga membangunkan program lanjutan bersesuaian dibangunkan bagi meningkatkan pengetahuan dan kompetensi sukaralewan secara berterusan, sehingga mereka boleh dikategorikan sukarelawan berkemahiran tinggi.

Penulis adalah Kaunselor berdaftar, Lulusan Sarjana Bimbingan dan Kaunseling Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

179 dibaca
Berita Harian X