Jumaat, 25 Januari 2019 | 10:01am
Orang asli suku kaum Semai kelihatan menyeberangi jalan yang dipenuhi dengan bendera parti politik sempena kempen PRK Cameron Highlands di Pos Betau. Masyarakat Orang Asli mewakili 22 peratus daripada seramai 32,048 pengundi keseluruhan di Parlimen Cameron Highlands manakala pengundi Melayu 34 peratus, Cina 30 peratus dan India 14 peratus. - Foto hiasan

Peratusan keluar mengundi penentu

ESOK akan menjadi penentu, sama ada kerusi Parlimen Cameron Highlands akan kekal buat Barisan Nasional (BN) atau beralih kepada Pakatan Harapan (PH), mahupun calon Bebas.

Di atas kertas, corak undi sukar diramal biarpun BN selaku penyandang dilihat sedikit mempunyai kelebihan tertentu. Tidak hairan PH bersungguh-sungguh cuba menembusi kubu kuat BN terutama di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad, turut turun berkempen. Ini kali kedua beliau muncul di pentas PRK selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan kali pertama ketika PRK Port Dickson pada Oktober lalu.

Kehadiran Dr Mahathir khususnya di kubu kuat BN dan PAS ditunggu-tunggu jentera PH, memandangkan negarawan itu memiliki aura untuk menarik sokongan pengundi.

Melihat kembali kemenangan BN di kawasan ini, banyak undi mereka diraih dari DUN Jelai yang menempatkan lima kedudukan utama masyarakat Orang Asli, iaitu Pos Lanai, Pos Betau, Pos Lenjang, Pos Titum serta Pos Sinderut.

Dari 12 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di DUN Jelai, BN menang sembilan, manakala tiga lagi dikuasai PAS dengan meraih lebih 1,500 undi.

Apa yang pasti, lima PDM iaitu FELDA Sungai Koyan Satu, FELDA Sungai Koyan Dua dan Tiga, Pos Betau, Pos Sinderut serta Kampung Keledek paling kritikal kerana memiliki bilangan pengundi besar, iaitu masing-masing melebihi 1,000 orang. Tidak hairanlah PH begitu menyasarkan kelima-lima PDM ini.

Jalan sukar bagi PH

Dari segi kiraan, andai PH menarik 25 hingga 30 peratus undi di lima PDM berkenaan, ia sudah cukup untuk membuka cabaran besar kepada BN, malah tidak mustahil membantu calon mereka, M Manogaran, menang, namun usaha menarik undi di DUN Jelai bukan mudah bagi PH.

Sejak memulakan ceramah umum, kehadiran penduduk tempatan meningkat setiap malam, namun bilangannya masih jauh berbeza berbanding kehadiran penonton di ceramah BN.

Bagaimanapun, BN tidak boleh terlalu selesa kerana beberapa kawasan seperti gugusan FELDA Sungai Koyan, Pos Betau serta Pos Sinderut sudah berjaya ditembusi PH. DUN Tanah Rata yang memiliki 17 PDM pula dianggap deposit tetap PH.

Dari segi rekod PRU lalu, PH menang di 10 PDM, sementara tujuh lagi termasuk empat adalah PDM Orang Asli yang dimenangi BN. Daripada 10 PDM dimenangi PH, lima boleh dianggap kubu kuat mereka apabila merekodkan kemenangan dengan perbezaan undi besar atau melebihi 50 peratus.

Lima PDM itu antara tujuh yang merekodkan jumlah pengundi tinggi, iaitu melebihi 1,200 orang. Di PDM Brinchang, PH meraih 937 undi untuk menewaskan BN dan PAS, yang masing-masing memperoleh 675 dan 120 undi.

Apa yang pasti, cabaran besar PH dan BN esok adalah peratusan keluar mengundi. Jika peratusan keluar mengundi di DUN Jelai tinggi berbanding DUN Tanah Rata, peluang untuk BN mengekalkan kemenangan adalah besar.

Situasi sebaliknya jika peratusan keluar mengundi di DUN Jelai rendah. Peluang untuk PH mengambil alih kerusi ini cukup tinggi, dengan harapan peratusan keluar mengundi di DUN Tanah Rata tinggi.

Faktor kepulangan pengundi luar

Kebimbangan sudah pasti kepada pengundi luar kerana ramai pemimpin PH atau BN meramalkan kepulangan kumpulan itu untuk mengundi kali ini, rendah. Faktor utama pastinya cuti Tahun Baharu Cina yang akan disambut seminggu selepas PRK melabuhkan tirai.

Bagi anak muda yang mengambil kira soal kos, kebarangkalian untuk mereka tidak pulang juga tinggi. Sudah pasti SPR mesti mencari jalan bagi memastikan pengundi Cameron Highlands menunaikan tanggungjawab sebelum pusat pengundian ditutup secara rasmi jam 5.30 petang esok.

Di kawasan penempatan Orang Asli, yang mana pusat mengundi ditutup lebih awal iaitu pada jam 1 dan 2 petang, komitmen jentera parti dan petugas SPR amat diperlukan untuk melicinkan proses pengundian.

Ini harus diambil kira memandangkan akses masyarakat pribumi itu untuk ke pusat mengundi sukar dan jauh.

Berita Harian X