Khamis, 24 Januari 2019 | 9:10am
Kebanyakan pengasuh bersedia menjawab pelbagai persoalan berkaitan. - Foto hiasan

Ringan mulut bertanya hapus sangsi terhadap pengasuh

TANYALAH mana-mana ibu berkerjaya, jika boleh semua mahu menjaga dan membesarkan anak dengan tangan sendiri tanpa campur tangan pengasuh atau pembantu rumah.

Namun, demi kelangsungan hidup yang memerlukan mereka bekerja dan menambah pendapatan keluarga, kebanyakan tiada pilihan kecuali menyerahkan anak yang masih bayi untuk dijaga orang luar.

Bukan tidak pernah peduli atau takut setiap kali mendengar kes penderaan bayi dan kanak-kanak yang maut akibat didera pihak yang diberi amanah mengasuh atau menjaga, tetapi masing-masing hanya mampu berdoa supaya semua itu tidak akan berlaku kepada diri sendiri.

Langkah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk mewujudkan sistem saringan dalam talian terhadap pengasuh yang dijangka siap Mac ini sekurang-kurangnya memberi sedikit kelegaan.

Ia membuktikan adanya usaha serius kerajaan bagi mengelak risiko lebih ramai kanak-kanak menjadi mangsa penderaan.

Tidak cukup dengan itu, senarai semak dalam bentuk infografik diharapkan menjadi panduan berguna kepada ibu bapa terbabit, sebagai ‘penyiasatan awal’ yang perlu dilakukan sebelum memutuskan untuk menyerahkan anak di bawah jagaan pengasuh.

Soalan sensitif

Bukan hanya mengambil kira soal bayaran yang biasanya menjadi persoalan utama setiap kali bercakap mengenai pengasuh, perhatian penting juga perlu lebih ditumpukan kepada perkara asas terhadap orang yang akan menjaga anak kita.

Ini termasuklah seperti peribadi dan persekitaran rumah pengasuh, pengalaman serta tidak ketinggalan juga siapa yang tinggal bersama mereka sepanjang anak ditinggalkan di kediaman pengasuh berkenaan.

Mungkin selama ini kita menganggap semua perkara itu sebagai sensitif untuk ditanya, lebih-lebih lagi terhadap orang yang baru dikenali.

Hakikatnya itulah yang akan menyelamatkan si anak daripada jatuh ke tangan orang yang tidak sepatutnya.

Pengerusi Kelab Rekreasi Pengasuh Malaysia, Siti Azha Yusoff, berkata berdasarkan pengalamannya yang mengusahakan TASKA di rumah sejak sembilan tahun lalu, perkara itu amat jarang ditanya ibu bapa kerana bimbang akan dikatakan cerewet oleh pengasuh.

Sedangkan menurutnya, kebanyakan pengasuh bersedia menjawab pelbagai persoalan berkaitan.

Pengasuh yang berpengalaman dalam bidang itu, pastinya lebih bersikap profesional dengan melayan setiap persoalan atau kemusykilan yang diajukan ibu bapa.

Mungkin ramai yang lupa, komunikasi antara pengasuh dengan ibu bapa cukup penting dalam memastikan kedua-dua pihak saling memahami keperluan antara satu sama lain, seterusnya mengelak sebarang kemungkinan atau musibah yang menyebabkan si anak menjadi mangsa.

Tidak perlu menyimpan perasaan tidak puas hati masing-masing kerana perkara itu jika tidak diluahkan, lama-kelamaan dibimbangi boleh mencetuskan dendam yang akhirnya akan dilepaskan kepada anak di bawah jagaan mereka.

Kemas kini maklumat

Ibu bapa juga perlu turut memahami ada kekangan dan masalah dihadapi pengasuh, memandangkan mereka juga perlu memberi tumpuan kepada anak jagaan lain.

Dengan adanya garis panduan dan sistem saringan yang diperkenalkan kerajaan ini, diharapkan mampu menjadi rujukan untuk dimanfaatkan sepenuhnya oleh ibu bapa.

Ia sekali gus mengurangkan risiko penderaan bayi dan kanak-kanak, terutama dalam kalangan mereka yang baru dikurniakan cahaya mata serta tidak berpengalaman dalam mendapatkan pengasuh.

Cuma kita begitu mengharapkan sistem saringan yang turut membabitkan agensi lain seperti polis, mahkamah dan Jabatan Penjara ini sentiasa dikemas kini supaya mampu memberikan maklumat tepat dan terkini apabila diperlukan pengguna.

Ini termasuklah senarai pengasuh berdaftar dengan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk dijadikan panduan bagi memudahkan pengguna membuat semakan.

Kita tidak mahu sistem terbabit hanya bersifat ‘hangat-hangat tahi ayam’, menjadi bualan, apabila berlakunya kes penderaan tetapi ‘dipandang sepi’ dan hilang punca selepas beberapa lama diwujudkan.

76 dibaca
Berita Harian X