Jumaat, 11 Januari 2019 | 11:00am
- Gambar hiasan

Anggap zon larangan cabaran berhenti merokok

Tahun ini memperlihatkan perubahan dilakukan kerajaan melalui beberapa kementerian bagi mencapai hasil yang berkualiti untuk rakyat.

Tidak ketinggalan berkaitan penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan oleh Kementerian Kesihatan yang dikuatkuasakan di semua restoran atau warung terbuka di seluruh Malaysia.

Ini bertujuan memberi keselesaan kepada mereka yang tidak merokok, sekali gus dapat mengelakkan daripada menghidu asap rokok.

Namun, timbul beberapa suara yang tidak berpuas hati dengan penguatkuasaan dilakukan, beranggapan wajar juga untuk setiap pengusaha kedai makan menyediakan ruang khas bagi perokok. Alasan diberikan golongan ini juga mahukan layanan sebagai pelanggan. Namun, hakikatnya perkara yang lebih penting bagi mereka ialah memikirkan bagaimana cara untuk berhenti merokok.

Melihat keadaan kini, pengusaha kedai makan pasti gelisah kerana mereka akan kehilangan pelanggan dalam kalangan mereka yang merokok, kerana penguatkuasaan dilakukan pasti sedikit sebanyak memberi kesan.

Namun, sudut positif dapat dilihat antaranya pelanggan dalam kalangan keluarga yang mempunyai anak, mahupun mereka yang tidak merokok akan berasa selesa berada di sesebuah restoran atau kedai makan. Bagi perokok pula, mereka bukan tidak boleh berada dalam sesebuah kedai makan, cuma dilarang merokok di dalamnya. Mereka masih dibenarkan merokok, tetapi perlu berada jarak tiga meter dari premis makan berkenaan.

Dalam Islam, merokok adalah sesuatu yang melalaikan dan boleh dianggap sebagai pembaziran kerana membelanjakan wang ringgit untuk perkara yang tidak dituntut oleh syarak.

Membazir, melalaikan

Apa yang jelas, pembaziran itu g melalaikan dan tidak dianjurkan Islam, sejajar firman Allah SWT dalam al-Quran menerusi surah al-Isra’ ayat 27 yang bermaksud, “Sesungguhnya orang yang melakukan pembaziran itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya (Allah).”

Berdasarkan ayat ini, Islam amat melarang umatnya membazir dalam apa juga perkara kerana Allah SWT menyifatkan orang yang demikian ini, sebagai saudara atau ikutan syaitan.

Dalam hidup bermasyarakat di negara yang berbilang kaum, kita tidak boleh mementingkan diri sendiri hanya kerana mahukan kepuasan. Sebaliknya mesti memikirkan orang yang berada di sekeliling kita.

Situasi sama bagi mereka yang merokok, apabila berada di kawasan umum atau tempat awam yang mana ramai pengunjung dalam kalangan berkeluarga ataupun kanak-kanak. Jadi, mereka perlu berhati-hati sebelum menyalakan api pada puntung rokok.

Ini bagi menghormati mereka yang tidak merokok daripada menghidu asap yang dikeluarkan. Begitu juga dengan penguatkuasaan dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), yang mana tujuan mereka adalah untuk memberi kesedaran kepada kita agar menghormati masyarakat lain yang berada di sekeliling.

Sehubungan itu, wajar bagi kita untuk lebih memikirkan kaedah dan bagaimana untuk berhenti daripada terus merokok, daripada asyik tidak berpuas hati dengan peraturan atau undang-undang yang ditetapkan.

Ramai berjaya berhenti

Jika dilihat, ramai yang berjaya berhenti merokok dengan pelbagai usaha dilakukan, walaupun mereka berstatus perokok tegar. Apa yang penting kita perlu yakin selagi mana ada usaha dan kesungguhan dalam diri, sudah tentu kita akan berjaya untuk tidak lagi terbabit dalam gejala ini.

Andai mencongak dan dikira semula perbelanjaan yang dikeluarkan untuk tujuan pembelian rokok, pastinya kita akan menyedari dan mengetahui berapa banyak duit dihabiskan selama ini semata-mata hanya kerana melayan tabiat merokok.

Oleh itu, marilah kita bersama-sama menjadi rakyat yang bertanggungjawab dalam mewujudkan rasa hormat-menghormati antara satu sama lain, dengan memahami ketetapan yang dibuat kerajaan ini.

Yakinilah bahawa ada kebaikan tersurat dan tersirat di sebalik perkara ini. Jadilah insan yang bertanggungjawab dan menghormati keputusan dibuat, apatah lagi jika ia memberi manfaat yang lebih berbanding kemudaratan.

Jika tidak, sehingga bila pun kita tidak akan berpuas hati dan langsung tiada rasa bersalah atas perkara yang kita lakukan untuk sekian lamanya.

Bagi perokok, sama-samalah berfikir bagaimana cara untuk berhenti sekiranya kita mempunyai niat ke arah itu. Jika tidak boleh berhenti serta-merta, berusahalah sedikit demi sedikit, sehingga mampu mencapainya.

Penulis adalah Pegawai Hal Ehwal Kanan Unit Hal Ehwal Islam (UHEI), UiTM Cawangan Johor Kampus Segamat

155 dibaca
Berita Harian X