Isnin, 7 Januari 2019 | 11:00am
- Gambar hiasan

Rukun Negara bukan sekadar dihafal

Tahun baharu memberi resolusi baharu, harapan baharu dan aspirasi baharu, namun jelas setiap orang mempunyai resolusi yang berbeza. 

Bagi Yayasan Perpaduan Malaysia, membina dan mengekalkan asas perpaduan kukuh menjadi satu cabaran dan azam baharu yang perlu diteruskan demi masa depan negara. 

Hidup berbilang kaum dalam masyarakat adalah sebahagian daripada sejarah dan warisan kita, menjadi sumber penting dalam integrasi kaum selama ini dan sudah pasti memainkan peranan dalam menjadikan Malaysia sebuah negara yang harmoni untuk hidup, belajar, bekerja dan bermain. 

Hadiah tidak ternilai

Perpaduan adalah hadiah yang tidak ternilai, perlu dipelihara serta dihargai semua rakyat Malaysia. 

Melihat kepada senario di negara kita hari ini, khususnya di Semenanjung, polarisasi kaum dan agama masih wujud walaupun kita sudah mencapai enam dekad kemerdekaan. 

Perpaduan nasional dan kesepaduan sosial terletak pada keupayaan institusi pendidikan dan guru dalam menyatukan generasi muda berbilang kaum, memupuk dan menerapkan prinsip Rukun Negara dalam kehidupan mereka. 

Rukun Negara yang telah diwujudkan pada 1970 bertujuan mencapai satu pegangan atau pengertian terhadap aspirasi nasional antara pelbagai kaum di Malaysia tanpa mengira asal usul dan keturunan masing-masing. 

Konsep yang terdapat dalam ideologi negara ini harus difahami dan dihayati bagi memupuk semangat perpaduan masyarakat pelbagai kaum di negara kita. 

Lima matlamat Rukun Negara - Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya; Memelihara cara hidup demokratik; Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati secara adil dan saksama; Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan berbagai corak serta Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.

Miliki maksud tersirat

Prinsip Rukun Negara pula - Kepercayaan kepada Tuhan;  Kesetiaan kepada Raja dan Negara;  Keluhuran Perlembagaan;  Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan dan Kesusilaan, sebenarnya adalah satu falsafah dan ideologi negara yang menjadi dasar kesatuan, perpaduan bangsa serta pedoman kepada kehidupan semua masyarakat pelbagai kaum dan budaya di negara ini. 

Setiap matlamat dan prinsip Rukun Negara yang dilafazkan pada setiap perhimpunan sekolah, majlis dan program rasmi tertentu sebenarnya mempunyai maksud tersirat yang harus difahami dan dipraktikkan oleh setiap masyarakat di Malaysia. 

Penghayatan terhadap Rukun Negara dilihat semakin berkurangan, terutama dalam kalangan generasi muda dan ini amat membimbangkan. Ramai rakyat yang tidak lagi melihat kepentingan Rukun Negara pada masa ini.

Dalam keadaan kita menuju kemajuan, Rukun Negara dilupakan sebagai salah satu alat penting yang membantu rakyat Malaysia bersatu padu suatu ketika dahulu. Ia sepatutnya bukan setakat dibaca atau dihafal, tetapi juga diamalkan dalam kehidupan seharian kita. 

Keperluan untuk memupuk perpaduan dalam kalangan generasi muda dan meningkatkan pemahaman mereka terhadap matlamat dan prinsip Rukun Negara amatlah bermakna jika kita ingin menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersatu-padu. 

Sebagai contoh, prinsip kelima Rukun Negara-Kesopanan dan Kesusilaan - menekankan personaliti dan tingkah laku seseorang. Sifat individu yang bersopan santun dan bersusila amat penting dalam konteks perhubungan antara satu sama lain dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini. 

Penghayatan dan mempraktikkan prinsip ini akan membentuk warga negara yang bersopan santun dan bersusila serta menjadi panduan kepada semua rakyat agar perilaku masyarakat sentiasa terpelihara. 

Dukung matlamat

Rukun Negara

Rukun Negara adalah prinsip panduan kita terhadap proses pembangunan negara dan hendaklah dihormati semua pihak. Ia satu wawasan yang dikongsi demi perpaduan negara. 

Matlamat dan prinsip yang terkandung di dalamnya hendaklah didukung dan dipraktikkan kerana kita tidak boleh memandang ringan kestabilan, keamanan dan keharmonian yang telah dicapai setakat ini. 

Marilah kita bersama-sama berharap agar pada tahun baharu 2019 ini, semua rakyat Malaysia tanpa mengira asal usul dan keturunan mempunyai iltizam untuk menjadikan lima matlamat dan lima prinsip Rukun Negara sebagai panduan hidup bagi mencapai wawasan negara dan perpaduan nasional.

Penulis adalah Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia

774 dibaca
Berita Harian X