Khamis, 3 Januari 2019 | 8:01am

Harapan positif selesai konflik ruang udara Malaysia-Singapura

KONFLIK membelenggu Malaysia-Singapura, khususnya berhubung pelaksanaan tatacara Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) Lapangan Terbang Seletar, memerlukan penyelesaian ‘menang-menang’ bagi mengelak pertikaian berlarutan sehingga mencetus konflik lebih serius.

Sejak bantahan disuarakan Malaysia terhadap ILS yang diterbitkan Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS), tiada tanda penyelesaian tuntas dicapai kedua-dua negara berjiran selepas Malaysia mendakwa ILS diterbitkan secara sebelah pihak itu menceroboh kedaulatan ruang udara selatan Johor, sekali gus menghalang pembangunan di kawasan terbabit.

Konflik berlarutan apabila kedua-dua pihak berbalas kenyataan sehingga mengundang lebih ketegangan. Justeru, mesyuarat antara Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri Singapura, Teo Chee Hean, di Putrajaya pada Isnin lalu, diharap menjanjikan penyelesaian terbaik apabila beberapa konflik dihadapi bersama disentuh, termasuk berkaitan ILS lapangan Terbang Seletar.

Malaysia melalui Kementerian Pengangkutan secara dasar cuba meredakan ketegangan apabila mencadangkan pelaksanaan tatacara ILS baharu bagi Landasan 03 di sebelah selatan, berbanding di Landasan 21 di sebelah utara berhampiran pantai Pasir Gudang, namun ditolak Kementerian Pengangkutan Singapura. Mengikut jadual asal, ILS untuk Lapangan Terbang Seletar dicadang dikuatkuasakan Singapura hari ini.

Menilai keseluruhan konflik ini, Singapura seharusnya sedar tindakan bersifat unilateral dengan menerbitkan ILS tanpa mendapat kata putus konkrit daripada Malaysia, menjadi sumbu yang mencetus pertikaian berkaitan isu ruang udara di kawasan Selatan Johor.

Ia berisiko mencalar hubungan utuh kedua-dua negara yang dimeterai sejak lebih setengah abad lalu, namun kini harapan penyelesaian disandarkan kepada rundingan susulan, apabila Menteri Luar Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah dijangka bertemu rakan sejawatnya dari Singapura, Vivian Balakrishnan, 8 Januari ini.

791 dibaca
Berita Harian X