Jumaat, 21 Disember 2018 | 11:00am
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun (kanan) bersama Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil Parlimen P. 078 Cameron Highlands, Datuk Ishak Md Napis melihat peta selepas sidang media Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P. 078 Cameron Highlands di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, kelmarin. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Saingan sengit di Cameron Highlands

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands pada 26 Januari depan ekoran perisytiharan Mahkamah Pilihan Raya bahawa keputusan bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah terbatal.

Pada PRU 9 Mei lalu, jumlah pengundi adalah 32,048, kini jumlahnya 32,009 seperti diisytiharkan SPR. Wujud pengurangan yang berkemungkinan disebabkan pelbagai faktor seperti kematian, perpindahan alamat dan lain-lain.

Ada beberapa perkara dan situasi menarik untuk dilihat pada PRK kali ini. Pertama, ia memperlihatkan pertembungan antara dua kerajaan, iaitu Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada peringkat Persekutuan dan Barisan Nasional (BN) pada peringkat negeri, Pahang.

Bagaimana corak kempen yang bakal berlaku? Menarik juga untuk melihat isu yang digemburkan oleh pelbagai pihak terutama dalam kalangan NGO seperti BERSIH berkaitan isu penggunaan jentera kerajaan. Bagaimana kedua-dua pihak menanganinya?

Pada PRU-14, apabila kerusi berkenaan mengalami pertembungan pertandingan lima penjuru, BN mendapat 10,307 undi, PH diwakili DAP memperoleh 9,710 undi, PAS (3,587), Parti Sosialis Malaysia (680) dan BERJASA (81).

PAS mengumumkan tidak bertanding dan bakal membantu calon pembangkang pada PRK kali ini. Justeru, menarik untuk melihat ke arah manakah kecenderungan ahli PAS yang dahulunya dengan kekuatan 3,587 undi untuk mengundi bukan Melayu dalam kerencaman polemik berkaitan isu Melayu-Islam yang dibangkitkan kini.

Berdasarkan komposisi kaum data demografi PRU-14 pada Mei lalu, pecahan adalah seperti berikut yang dijangka tidak berbeza jauh pada PRK kali ini. Melayu sebanyak 33.44 peratus, Cina (28.42 peratus), India (14.42 peratus) dan lain-lain (kebanyakannya Orang Asli), 23.67 peratus.

Berdasarkan komposisi terbabit, antara penentu kemenangan calon pilihan raya lalu, khususnya BN adalah undi Orang Asli yang agak tinggi jumlahnya, 23.6 peratus. Tidak hairanlah Parlimen Cameron Highlands pernah digolongkan sebagai kubu kuat BN.

Tarik sokongan Orang Asli

Jika dahulu Orang Asli menyokong BN, bagaimanakah trend terbabit kini selepas Kerajaan Persekutuan di bawah PH. Adakah suasana Pahang yang dalam penguasaan BN akan mempertahankan landskap PRU yang lalu?

Suasana pastinya tidak mudah buat gabungan BN, khususnya MIC yang meletakkan calon pada PRU lalu. Kemelut dalaman UMNO juga pastinya memberi kesan kepada penggerak jentera BN.

PH, berdasarkan konvensyen atau kesepakatan empat PRK pasca PRU-14, pada semua PRK yang dilangsungkan itu, telah dipertanggungjawabkan kepada parti gabungan yang meletakkan calon di kerusi berkenaan pada PRU-14.

Pastinya, kali ini menjadi tanggungjawab DAP untuk kekal menghantar calon mewakili PH. Cabaran DAP pastinya untuk meraih sokongan undi Melayu dan Orang Asli yang jumlahnya hampir 56 peratus undi.

Institut Darul Ehsan (IDE) menyambut baik langkah penambahbaikan SPR yang diumumkan Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun pada PRK kali ini.

SPR mengumumkan langkah memberi ruang kepada calon bertanding untuk menghantar borang ke Pejabat Pengurus Pilihan Raya bagi tujuan semakan awal sebelum hari penamaan calon.

Kaedah ini membolehkan proses perjalanan penamaan calon berkaitan isu teknikal dapat disemak lebih awal seperti status muflis, isu penyata kewangan dan status calon, penyokong serta pencadang.

SPR juga mengumumkan dua langkah proaktif iaitu yang pertama, untuk menyiarkan proses pengiraan undi secara langsung melalui media sosial dan media elektronik. Ia langkah yang baik dalam proses pendidikan demokrasi untuk rakyat.

Kedua, SPR juga mengumumkan untuk menyiarkan keputusan awal pengundian yang juga satu tindakan positif bagi memberikan maklumat pantas dan terkini kepada rakyat.

Pengalaman IDE pada PRU-14 dan tiga PRK lalu berjaya membantu parti politik melalui Sistem SPERA untuk memaparkan keputusan awal berdasarkan maklumat Borang 14. Dengan sistem SPERA, keputusan awal boleh diperoleh seawal jam 6 petang dan jumlah keseluruhan, selewat lewatnya jam 7 malam.

SPR letak sasaran 70 peratus keluar mengundi

Namun demikian, SPR masih meletakkan sasaran 70 peratus keluar mengundi walaupun berdasarkan trend empat PRK pasca PRU-14, peratusan mengundi paling tinggi adalah di PRK Port Dickson, iaitu 58.3 peratus.

Justeru, SPR perlu bersedia dengan strategi bagi menggalakkan pengundi keluar bagi mencapai sasaran terbabit. SPR harus menjalankan kempen untuk pengundi keluar dengan menggunakan saluran media utama dan media sosial.

Berdasarkan kajian IDE sejak dahulu, Sabtu masih dilihat kurang sesuai untuk pengundian bagi PRK, terutama kepada pekerja swasta disebabkan mereka masih bekerja pada hari berkenaan, selain pengundi tinggal di luar Cameron Highlands.

Ahad atau hari cuti masih hari terbaik buat pengundi untuk menunaikan tanggungjawab. SPR dan parti politik juga perlu mengatur strategi untuk membantu pengundi keluar mengundi, khususnya pengurusan trafik.

Penulis adalah Pengurus Kanan Penyelidikan Institut Darul Ehsan

Berita Harian X