Sabtu, 15 Disember 2018 | 11:00am

SUHAKAM belum menyerah kalah

MERATIFIKASI ICERD

SETAKAT ini Malaysia hanya meratifikasi tiga konvensyen antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) daripada sembilan konvensyen antarabangsa berhubung hak asasi manusia. Tiga konvensyen itu ialah Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), Konvensyen Hak Asasi Kanak-Kanak (CRC) dan Konvensyen Hak Asasi Orang Kurang Upaya (CRPD).

Enam lagi konvensyen PBB berkaitan hak asasi manusia belum disahkan, mencakupi Konvensyen Hak Sivil dan Politik; Konvensyen Hak Ekonomi, Sosial dan Budaya; dan Konvensyen Perlindungan Hak Semua Pekerja Migran dan Anggota Keluarga Mereka.

Selain itu, Konvensyen Perlindungan Semua Orang Daripada Penghilangan Paksa; Konvensyen Mengenai Status Pelarian; dan Konvensyen Mengenai Penyeksaan dan Layanan serta Hukuman Zalim, Tidak Berperikemanusiaan dan Menjatuhkan Maruah.

Sebelum ini, negara kita bertindak tidak meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Sejak menyertai PBB pada September 1957, Malaysia aktif mempromosikan keamanan dan kemanusiaan, selain berperanan ke arah menghindari konflik ketika menjadi ahli tidak tetap Majlis Keselamatan PBB (UNSC) pada 1965, 1989 hingga 1990, 1999 hingga 2000 dan 2015 hingga 2016.

Sejak terbabit secara aktif dalam misi keamanan PBB pada 1960, Malaysia menyertai lebih 36 misi keamanan dengan penempatan lebih 35,000 anggota tentera dan polis.

Selepas tidak meratifikasi ICERD, yang jadi persoalan adakah negara kita juga tidak meratifikasi lima lagi konvensyen PBB lain?

Penulis berbual dengan rakan baharu berasal dari Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur yang hanya mahu dikenali sebagai Hisham. Seperti kebanyakan orang lain, beliau mengakui keliru sebab ICERD tidak diratifikasi dan apa akan terjadi dengan lima lagi konvensyen belum disahkan. Adakah negara kita cuba mencabar PBB?

Hisham memberikan hujah Myanmar berkeras menolak ICERD kerana mahu terus menindas etnik Rohingya, manakala Israel tidak mengiktiraf bangsa Arab di Palestin. Etnik Rohingya di Rakhine dan Arab di Palestin dilayan seperti haiwan dan ini dengan sendirinya sudah cukup untuk membuktikan kedua-dua negara berkeras membantah ICERD.

Penindasan dan diskriminasi ini akan berakhir jika kedua-dua negara terbabit meratifikasi ICERD dan sebab itulah Suruhanjaya Hak ASasi Manusia (SUHAKAM) mempertahankan pendirian supaya konvensyen itu disahkan oleh negara ini.

“Jika ICERD diratifikasi, hak Orang Asli lebih terjamin. Begitu juga minoriti seperti hak etnik tinggal dalam perahu di Semporna, Sabah, Pala’u,” kata Hisham.

Pandangan Hisham mengingatkan penulis kepada kebimbangan bekas Menteri Hal-Ehwal Baitulmaqdis, Palestin, Hind Khoury pada wawancara pada September 2013, yang mendedahkan bumi Palestin akan dirampas ‘sehingga licin’ oleh Israel.

Khoury yang beragama Kristian turut mendedahkan penduduk baharu puak Yahudi bukan sahaja merampas tanah dan rumah, malah ladang milik rakyat Palestin dengan menembak petani yang enggan meninggalkan penempatan mereka untuk diserahkan kepada penduduk Israel.

SUHAKAM tetap gigih

Dalam pada itu, Pengerusi SUHAKAM, Tan Sri Razali Ismail menegaskan pihaknya akan terus menasihat kerajaan meratifikasi baki enam konvensyen antarabangsa yang belum ditandatangani Malaysia, termasuk ICERD.

“Ya, sudah tentu. Walaupun kami kecewa (kerajaan tidak akan meratifikasi ICERD), kami belum menyerah kalah. Ada ramai individu dalam kerajaan yang mahu kami terus bekerja keras dalam isu ini. Jadi kami akan terus menasihati kerajaan (meratifikasi ICERD dan baki instrumen hak asasi manusia lain),” katanya.

Sebelum itu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ucapannya pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York, menegaskan kerajaan baharu Malaysia berikrar untuk meratifikasi baki instrumen asas PBB yang berkait dengan melindungi hak asasi manusia.

Bagaimanapun, kerajaan pada 23 November lalu, menyatakan pendirian tidak meratifikasi ICERD, sebaliknya memberi jaminan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Tindakan SUHAKAM menyebabkan Gerakan Pembela Ummah (Ummah) menempelak suruhanjaya itu kononnya melakukan sesuatu yang tidak rasional. Menyifatkan SUHAKAM tidak lagi releven, Pengerusi Ummah, Aminuddin Yahaya mahu kerajaan menilai semula kemungkinan membubarkan suruhanjaya itu.

“Adakah kita mahu ikut Barat atau memastikan SUHAKAM ini mengikut kelestarian negara kita. Kalau mereka mahu memporak-perandakan Perlembagaan Persekutuan dan struktur masyarakat. Bagi saya lebih baik kita tutup saja,” katanya.

Kenyataan Aminuddin dilihat tidak wajar kerana sebelum ini SUHAKAM memainkan peranan berkesan membela etnik peribumi yang seolah-olah didiskriminasi kerajaan terdahulu.

Ini termasuk pengambilan tanah Orang Asli di Semenanjung dan peribumi di Sabah. Ia wajar dilihat sebagai keperluan SUHAKAM perlu dipertahankan.

Justeru, semua pihak perlu memikirkan secara wajar sama ada Malaysia wajib meratifikasi konvensyen antarabangsa yang belum disahkan dengan mengetepikan ideologi politik, jika ternyata ia baik untuk negara.

644 dibaca
Berita Harian X