Sabtu, 15 Disember 2018 | 11:00am

Minda Pengarang: Semak semula takrif pekerja asing elak bebankan negara

SEJAK kerajaan memperkenalkan dasar kemasukan pekerja asing ke Malaysia pada 1980-an, pelbagai isu dan kemelut mendepaninya berhubung masalah kebanjiran dan kebergantungan terhadap pekerja luar di negara ini. Masa berlalu, dasar terbuka pengambilan pekerja asing ternyata membantu merancakkan ekonomi dan pembangunan sehingga Malaysia pernah menjadi ‘lombong emas’ dan mengundang berjuta kemasukan tenaga kerja luar.

Namun, dasar ini menjadi ‘duri dalam daging’ apabila lambakannya memberi pelbagai kesan negatif terutama dari sudut sosial, kesihatan, jenayah dan keselamatan negara. Tidak dinafikan, kerajaan sentiasa prihatin dengan isu yang membabitkan pekerja asing terutama implikasinya terhadap pasaran buruh tempatan.

Kerajaan pada 2008 umpamanya, melaksanakan dasar pengurangan pergantungan terhadap pekerja asing dan menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Antara Agensi Mengenai Pekerja Asing (JTAA-PA), khusus mengkaji lebih terperinci berkenaan pengurangan pekerja asing. Proses pengurangan dilaksanakan secara beransur dan berhati-hati bagi mengelak kesan langsung terhadap ekonomi negara dan sektor industri yang berkaitan.

Terbaru pula, Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran mengumumkan bahawa Jawatankuasa Bebas Pengurusan Pekerja Asing sudah menyiapkan laporan untuk dibentangkan kepada kementerian itu dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

- Foto Hiasan

Jawatankuasa diketuai bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Hishamuddin Yunus sudah memasukkan lebih 40 syor membabitkan pelbagai perkara terutama menyelaras semua undang-undang berkaitan pengambilan pekerja asing untuk bekerja dalam pelbagai sektor di negara ini.

Apapun, dalam semakan dan penambahbaikan dasar ini, kita berharap kerajaan dapat melihat semula takrifan pekerja asing supaya ia tidak terkeluar daripada objektif sebenar.

Pekerja asing atau istilah yang lebih tepat ‘pekerja tetamu’ adalah mereka yang dihantar atau dijemput bekerja di negara tertentu, tetapi bukan bertaraf warganegara. Namun, ia berbeza di Malaysia kerana kebanyakan pekerja asing meninggalkan negara asal tanpa ada pekerjaan tertentu di negara yang ingin dimasuki.

Dasar yang berubah serta lebih daripada satu kementerian terbabit dalam menguruskan pekerja asing juga harus diambil kira dalam laporan jawatankuasa berkenaan.

Kita wajar mengambil iktibar dasar lalu yang menetapkan pengambilan pekerja asing pada 1990 untuk tempoh enam bulan sahaja, namun berganjak kepada lebih 20 tahun. Amat wajar jika kerajaan mencontohi negara luar menetapkan sasaran pekerja asing tidak melebihi daripada 15 peratus berbanding pekerja tempatan.

Namun, hari ini ia masih tidak berlaku apabila jumlah yang betul-betul memiliki pas pekerjaan dengan kemasukan yang sah cuma sekitar 15 peratus dan selebihnya ialah pekerja asing tanpa izin atau tiada pas pekerjaan. Kementerian Sumber Manusia pula menganggarkan terdapat 6.7 juta pekerja asing dan hanya 2.1 juta memegang permit kerja, manakala selebihnya imigran haram.

Justeru, dasar baharu kelak diharap lebih jelas dan kompresensif yang memperincikan asas dan keperluan mengambil pekerja asing, sektor mana diperlukan dan sekatan atau undang-undang yang dicadangkan.

Berita Harian X