Khamis, 6 Disember 2018 | 11:03am

Hubungan Malaysia-Singapura perlu kekal utuh

HASRAT Malaysia menuntut semula ruang udara di selatan Johor yang diwakilkan kepada Singapura bagi tujuan kawalan trafik udara sejak 1974, sekali lagi menjadi tumpuan dalam konteks hubungan dua negara berjiran. Bagi Malaysia, alasan pengambilalihan itu bertujuan menjamin kedaulatan ruang udara negara, selain memastikan pembangunan sekitar Pasir Gudang yang kian pesat, tidak tergugat.

Reaksi berbeza dizahirkan Singapura apabila Menteri Pengangkutannya, Khaw Boon Wan menyifatkan pengurusan ruang udara tiada kaitan dengan kedaulatan, sekali gus melihat keperluan untuk mengekalkan status quo yang dipersetujui lebih 40 tahun lalu itu dikekalkan.

Untuk rekod, pemberian mandat kepada Singapura menguruskan kawalan trafik udara di selatan Johor dipersetujui pada 1973 membabitkan Malaysia, Singapura dan beberapa negara serantau, yang kemudian diluluskan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Satu perjanjian dua hala ditandatangani Malaysia dan Singapura setahun kemudian.

Secara dasar, kebimbangan disuarakan Malaysia berhubung operasi Lapangan Terbang Seletar, khususnya Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) yang bakal dikuatkuasakan pada 3 Januari depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menegaskan, tuntutan Malaysia bukan bermaksud menghalang pembesaran operasi Lapangan Terbang Seletar, sebaliknya penerbangan rendah melewati ruang udara Pasir Gudang untuk pendaratan melalui ILS yang disiarkan Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS), dikhuatiri memberi kesan pembangunan serta operasi perkapalan di kawasan itu.

Singapura sebaliknya menyuarakan bantahan keras terhadap rancangan Malaysia untuk memperluaskan pelabuhan di selatan negara itu, dengan mendakwa kapal penguat kuasa Malaysia sejak dua minggu lalu menceroboh perairan republik itu.

Menilai ‘konflik’ dalam isu pengurusan ruang udara dan pelabuhan ini, sama ada Malaysia atau Singapura masing-masing perlu bijak mencari jalan tengah atas semangat muhibah untuk menyelesaikan pertindihan kepentingan.

Justeru, atas apapun namanya, konfrontasi atau konflik kepentingan yang timbul, hubungan baik dua negara berjiran yang sejak sekian lama dimeterai tidak seharusnya terkesan.


MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Sejak sekian lama Malaysia dan Singapura memiliki ikatan hubungan cukup positif, dengan beberapa projek mega turut digerakkan secara bersama, termasuk projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura sebelum ini.

Dengan nilai dagangan mencecah RM281.4 bilion tahun lalu, Malaysia dianggap rakan dagangan kedua terbesar bagi Singapura selepas China.

Sektor import dan eksport antara kedua-dua negara juga ketara dengan rekod import barangan dari Malaysia ke Singapura mencecah RM161 bilion tahun lalu.

Justeru, perkembangan hubungan positif sebegini perlu diteruskan demi kepentingan kedua-dua negara, mengambil kira potensi kerjasama dua hala pada masa hadapan yang jauh lebih besar.

Perlu diakui ketetapan pengurusan ruang udara di selatan Johor ketika ini berjalan lancar seperti dipersetujui pada 1973. Justeru, sebarang perubahan pasti berisiko, sekali gus mendatangkan banyak kesan membabitkan banyak pihak.

Namun, ia tidak bermakna status quo membabitkan penggunaan ruang udara ini perlu selama-lamanya dikekalkan.

Malah, Boon Wan dalam reaksi pantasnya susulan kenyataan Loke di Dewan Rakyat kelmarin, mengakui keperluan melakukan perubahan kepada struktur pentadbiran ruang udara di selatan Johor, selain penambahbaikan kepada aspek keselamatan dan keberkesanan.

Sekiranya tuntutan Malaysia dalam isu ini kukuh dan berasas, maka tiada sebab untuk Singapura khususnya CAAS atau ICAO menafikannya.

Isu tuntutan Malaysia ke atasruang udara selatan Johor hakikatnya hanya sekelumit daripada asam garam hubungan antara dua negara berjiran.

Sebelum ini, syor pembatalan projek HSR Kuala Lumpur-Singapura atau isu bekalan air mentah turut mewarnai pahit manis hubungan dipupuk sejak 53 tahun lalu, namun sehingga kini ia kekal utuh dengan kedua-dua negara serumpun saling menyokong antara satu sama lain.

137 dibaca
Berita Harian X