Rabu, 5 Disember 2018 | 11:05am

Takrifan jantina mesti ikut biologi seks

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kelmarin menyatakan kerajaan akan merumus draf Akta Kesamarataaan Jantina.

Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) berharap draf akta itu dapat dibahas secara mendalam bersama-sama pelbagai pihak secara komprehensif, agar tidak bertentangan dengan undang-undang Islam dan Perlembagaan Persekutuan.

Sehingga kini, kita tidak dapat mengenal pasti skop akta yang ingin digubal. WAFIQ telah pun membangkitkan perkara ini dalam kenyataan terdahulu dan sudah pun menghantar surat kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi membincangkan hal ini secara mendalam.

Antara perkara yang dibimbangi oleh WAFIQ dalam Akta Kesamarataan Jantina seperti yang digariskan oleh Konvensyen Berkaitan Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) ialah perluasan beberapa takrifan, seperti takrifan gender, keluarga serta status perkahwinan.

Di beberapa negara Barat yang telah menguatkuasakan Akta Kesamarataan Jantina, gender ditakrifkan sebagai bergantung kepada konstruk sosial masyarakat, yang sebahagian dari negara ini menerima kewujudan ‘gender’ selain dari lelaki dan perempuan, seperti transgender.

Takrifan ‘gender’ perlu rujuk Perlembagaan

Takrifan ‘gender’ haruslah merujuk kepada Perlembagaan kita yang menetapkan sebagai jantina mengikut biologi seks, iaitu hanya lelaki dan perempuan.

Perluasan jantina kepada sesuatu yang tidak bersandarkan pengesahan dan pembuktian saintifik yang kukuh akan menyebabkan kita menghadapi masalah, bukan sahaja dari segi undang undang, tetapi juga dari sudut kesihatan.

Begitu juga takrifan keluarga dan perkahwinan yang harus bersandarkan sendi agama dan mengikut nilai dan norma masyarakat. Akta Kesamarataan Jantina di sesetengah negara Barat mempunyai masalah kerana ia mentakrifkan keluarga sebagai ‘sebarang perhubungan yang mempunyai komitmen ikatan’ dan tidak semestinya perkahwinan.

Hubungan luar perkahwinan

Ini perlahan-perlahan akan memaksa kita menerima takrifan hubungan yang di luar daripada ikatan perkahwinan. Sebab itu baru-baru ini kita mendengar ada yang mencadangkan agar Akta Keganasan Rumahtangga juga dikenakan kepada mereka yang bersedudukan kerana ia bersandarkan kepada takrifan hubungan yang ada komitmen ikatan itu. Ini amat tidak wajar.

Kita tetap menentang sebarang keganasan terhadap wanita yang menjadi mangsa keganasan, namun mangsa keganasan dalam hubungan secara bersekedudukan tanpa pernikahan, bukannya tertakluk di bawah Akta Keganasan Rumahtangga, sebaliknya perlu menggunakan peruntukan Kanun Keseksaan dan Tatacara Jenayah yang lain.

Ini bagi memelihara martabat rumahtangga dan institusi perkahwinan yang melambangkan masyarakat yang beragama dan bertamadun.

Contohi Maldives

Begitu juga takrifan sebarang perhubungan yang mempunyai komitmen ikatan di beberapa negara dalam Akta Kesamarataan Jantina mereka telah menyebabkan perkahwinan sejenis antara gay dan lesbian termaktub dalam akta berkenaan.

Oleh sebab itu, WAFIQ mencadangkan agar Akta Kesamarataan Jantina mestilah mempunyai klausa sekatan, bahawa walaupun ia bersandarkan kepada ketetapan konvensyen seperti CEDAW, ia tidak harus membelakangkan Perlembagaan dan Islam sebagai agama Persekutuan.

Akta Kesamarataan negara Maldives telah pun menetapkan klausa sekatan menyatakan bahawa tiada mana-mana bahagian dalam akta boleh diterjemahkan dengan cara yang bertentangan dengan perlembagaan negara Maldives dan prinsip agama Islam.

Perlu ditekankan di sini bahawa konsep keluarga dalam agama Islam, sesuai dengan sifat Islam sebagai ‘rahmatan lil alamin’ (rahmat ke seluruh alam) bersesuaian dengan konsep kekeluargaan mana-mana agama dan sifat masyarakat yang bertamadun.

Penulis adalah Presiden, Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ)

180 dibaca
Berita Harian X