Selasa, 4 Disember 2018 | 11:00am
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Agung MCA ke-65 MCA di Dewan San Choon, Wisma MCA, Ahad lalu. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

MCA tiada hak tuntut bubar BN

JIKA dinilai pencapaian MCA dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Mei lalu, secara keseluruhan parti tertua mewakili kaum Cina dalam komponen Barisan Nasional (BN) itu tewas semua kerusi ditandingi yang majoriti pengundi kaum berkenaan.

Ini dengan sendirinya tidak wajar parti itu mencadangkan pembubaran BN dan membentuk perikatan baharu seperti diputuskan dalam Perhimpunan Agung Ke-65 parti itu di Wisma MCA, Kuala Lumpur, Ahad lalu.

Penganalisis politik menyifatkan tindakan itu umpama ‘parti lemah cuba tunjuk kuasa’ sedangkan sepatutnya sebarang keputusan atau cadangan membubarkan BN perlu dibincangkan bersama-sama UMNO selaku parti yang lebih kuat dalam komponen berkenaan.

MCA hanya menang tiga kerusi pada PRU-14

Dalam pilihan raya lalu, parti itu kalah teruk dan hanya memenangi tiga kerusi masing-masing sebuah Parlimen dan dua Dewan Undangan Negeri (DUN), itupun di kawasan majoriti pengundi Melayu.

Kerusi berkenaan ialah Parlimen Ayer Hitam di Johor yang dimenangi Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dengan majoriti hanya 303 undi.

Kerusi berkenaan mempunyai 46,157 pengundi dengan pengundi Melayu meliputi sebanyak 66.72 peratus, Cina (31.4 peratus) dan India (1.33 peratus), manakala bakinya lain-lain (0.48 peratus).

Dua kerusi DUN pula ialah DUN Cheka dalam Parlimen Lipis di Pahang yang dimenangi Lee Ah Fong dengan majoriti kecil 202 undi.

Kerusi itu mempunyai pengundi seramai 12,585 orang dengan majoriti pengundi Melayu iaitu sebanyak 71.4 peratus, Cina (22.40 peratus), India (4.81 peratus) dan lain-lain (1.32 peratus).

Sebuah lagi kerusi ialah DUN Titi Tinggi dalam Parlimen Padang Besar di Perlis menerusi Teh Chai Aan yang menang dengan majoriti 142 undi.

Jumlah pengundi kerusi itu ialah 10,111 orang dengan pengundi Melayu sebanyak 77.83 peratus, Cina (19.29 peratus), India (2.13 peratus) dan lain-lain (0.75 peratus).

Justeru, keputusan Perhimpunan Agung MCA Ke-65 yang menyaksikan perwakilan sebulat suara memberi mandat kepada Jawatankuasa Pusat (CC) untuk memulakan proses pembubaran BN dan membentuk perikatan baharu dilihat tidak wajar.

Ka Siong dilaporkan berkata CC parti terbabit akan memulakan proses dengan mengemukakan cadangan berkaitan resolusi pembubaran berkenaan.

Tidak hairanlah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyelar parti itu sebagai tidak berhak membubarkan BN kerana keputusan itu sepatutnya dilakukan secara kolektif dan sebulat suara dalam kalangan semua parti komponen.

Walaupun perkara itu cenderung sebagai sekadar rancangan ketika ini, MCA tidak mempunyai hak berbuat demikian dan perlu duduk semeja berbincang sebelum memuktamadkan sebarang keputusan.

Lebih baik undur diri

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, jika MCA berpendapat tiada lagi keperluan untuk bersama-sama BN, lebih baik mereka yang mengundurkan diri.

MCA sepatutnya memutuskan untuk keluar daripada BN, bukan membuat resolusi membubarkan gabungan berkenaan kerana parti itu tidak mempunyai locus standi atau hak untuk berbuat demikian.

MCA dan UMNO antara dua parti terawal membentuk gabungan parti Perikatan pada 1952 sebelum disertai MIC dan pada 1973 sekali lagi kedua-dua parti menubuhkan BN menggantikan Perikatan.

Kedua-dua parti itu buat kali pertama menyertai pilihan raya pada 1952, iaitu Pilihan Raya Perbandaran Kuala Lumpur dan memenanginya sebelum, memenangi Pilihan Raya Umum Malaya yang pertama pada 1955.

Penganalisis politik dan pakar ekonomi, Dr Hoo Ke Ping, yakin walaupun MCA belum membuat keputusan meninggalkan BN berikutan kekalahan teruk parti itu PRU-14, pada masa depan mereka akan meninggalkan gabungan itu.

Pengundi Cina menolak parti itu kerana hubungannya dengan UMNO yang terpalit pelbagai isu kontroversi seperti penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Selagi parti itu kekal dalam BN, pengundi Cina akan terus menolaknya kerana menganggap UMNO yang selama ini kawan baik, kini tidak boleh lagi diharap dan semakin lemah.

“Mereka akan meninggalkan BN, kalau bukan sekarang pada masa depan. Saya tidak hairan jika parti itu mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa untuk membuat keputusan rasmi meninggalkan BN, jika cadangan mereka membubarkan gabungan itu tidak dipersetujui UMNO dan MIC,” katanya.

Berbanding MCA, sebuah lagi parti komponen tertua BN yang mewakili masyarakat India, iaitu MIC memberi jaminan akan terus kekal bersama-sama BN walaupun gabungan itu tidak lagi menjadi parti pemerintah.

Kerjasama MIC dalam BN tak terjejas

Presidennya, Tan Sri SA Vigneswaran, dilaporkan berkata kerjasama lebih 50 tahun yang terjalin dalam BN tidak akan terjejas sama sekali.

Ini bermakna sekiranya MCA bertegas meninggalkan parti komponen itu selepas hasrat parti itu membubarkan BN tidak kesampaian, ini bermakna tiada lagi parti komponen mewakili masyarakat Cina dalam gabungan itu.

Sebelum ini, GERAKAN dan parti politik komponen BN mewakili kaum berkenaan di Sabah dan Sarawak juga membuat keputusan sama selepas PRU-14 lalu.

Ibarat pepatah Melayu ‘anak harimau jangan diajak bertampar, ingat-ingat kukunya’. Ini membawa maksud ‘jangan mencari musuh dengan orang yang lebih kuat dan lebih persediaannya’.

MCA perlu memikirkan kewajaran mendahului UMNO membuat keputusan kerana jelas parti itu ditolak pengundi Cina dan menang tiga kerusi atas faktor undi Melayu dengan bantuan UMNO.

276 dibaca
Berita Harian X