Isnin, 3 Disember 2018 | 11:01am

Skandal TH: Siasat sehingga lubang cacing

DUA laporan polis dibuat Lembaga Tabung Haji (TH) terhadap bekas pengurusan tertingginya berhubung dakwaan beberapa kes penyelewengan, memang sesuatu mengejutkan kerana ia membabitkan sebuah organisasi menguruskan dana awam yang kegunaannya adalah untuk tujuan ibadat.

Laporan pertama berhubung Program Yayasan THpada 2017 apabila dana berjumlah RM22 juta disalurkan untuk aktiviti didakwa mempunyai kecenderungan politik.

Laporan kedua pula berkaitan perbuatan menyembunyikan maklumat penting mengenai jualan saham TH dalam syarikat perladangan di Indonesia bernilai kira-kira RM3.8 bilion pada 2012.

Dalam kes ini, jika siasatan pihak berkuasa nanti mendapati wujud kes untuk pendakwaan, pasti ramai tidak percaya skandal seperti ini boleh berlaku dalam organisasi yang dikaitkan dengan dana untuk ke Tanah Suci.

Pasti juga wujud persoalan mengapa mengambil masa begitu lama untuk membuat laporan polis berkenaan, sedangkan penyelewengan didakwa berlaku pada 2017 dan 2012.

Rasa lega apabila semalam Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Zukri Samat memberi jaminan kepada semua pendeposit bahawa simpanan mereka dalam tabung berkenaan selamat.

Dalam amalan korporat, setiap syarikat mempunyai unit audit dalaman bagi menyiasat sebarang kemusykilan dalam setiap transaksi dan TH juga sudah tentu mempunyai jabatan khusus untuk menyiasat urus niaga pada peringkat dalaman.

Namun, kemungkinan salah laku yang dikesan, ditutup oleh pihak berkepentingan menerusi campur tangan politik dan sebagainya.

Pengurusan rendah biasanya terpaksa akur dengan tekanan pihak yang mempunyai pengaruh, tetapi bangkai gajah tidak akan dapat ditutup dengan nyiru, akhirnya salah laku terbongkar juga.

Kita percaya kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan perbuatan pecah amanah, manakala pihak berkuasa pula akan mencari pelaku hingga ke lubang cacing.

Mereka pasti akan didakwa di mahkamah andai pihak yang menyiasat mempunyai bukti kukuh.

Sehingga tiba detik itu, pihak yang dituduh juga tidak wajar dicerca kerana mereka belum dibicarakan untuk membela diri dan mendapat keadilan.

Bagi mencegah salah guna kuasa pada masa depan, kerajaan mengambil inisiatif menubuhkan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah (GIACC) yang wajar mencari kelompong dalam mana-mana prosedur atau undang-undang boleh dimanipulasi untuk menutup perbuatan pecah amanah.

Laporan Ketua Audit Negara juga tidak harus dipandang ringan kerana setiap perbelanjaan dana awam akan disemak secara berkala.

Penemuan awal dalam laporan itu patut dijadikan petunjuk untuk menyiasat dengan lebih mendalam.

Selain itu, perlu juga ada ruang untuk orang ramai tampil membuat aduan kepada pihak berkuasa. Maklumat awal mengenai pecah amanah biasanya datang daripada orang dalam.

Sekarang ialah masa yang sesuai untuk penggubal dasar memikirkan keperluan kepada akta pemberi maklumat.

Dasar berkenaan perlu digubal dengan teliti untuk melindungi hak pemberi maklumat.

Dengan cara ini, lebih ramai yang akan berani ke depan mendedahkan salah laku dalam pertubuhan masingmasing.

451 dibaca
Berita Harian X