Jumaat, 30 November 2018 | 12:31pm

Minda Pengarang: Seragamkan peraturan, syarat bina rumah ibadat

LANGKAH kerajaan mensyaratkan pembinaan semua rumah ibadat baharu perlu mendapatkan kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) bukan peraturan baharu kerana sudah ada negeri, misalnya Pahang memasukkan ketetapan itu dalam melancarkan pentadbiran negeri.

Jika ada negeri menetapkan syarat itu, mungkin langkah penguatkuasaan oleh PBT tidak dilakukan sepenuhnya, manakala ada negeri tidak mempunyai peruntukan sebegini dalam undang-undangnya.

Bagaimanapun, penegasan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kelmarin bahawa kebenaran PBT mesti diperoleh, akan menjadi penyelesaian jangka panjang untuk isu sensitif dan sudah ada keseragaman undang-undang, khususnya soal pembinaan rumah ibadat yang tidak mengikut peraturan di seluruh negara.

Walaupun keputusan itu dibuat susulan insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya pada Isnin lalu, ketetapan itu bukan sekadar merujuk kepada pembinaan kuil Hindu, ia turut merangkumi untuk semua rumah ibadat agama lain, termasuk surau dan masjid untuk orang Islam, gereja untuk Kristian, tokong untuk penganut Buddha serta wat bagi masyarakat Siam.


Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjawab soalan media selepas berucap mengenai insiden di tapak Kuil Sri Maha Mariamman Seafield ,USJ25 Subang Jaya di lobi Dewan Rakyat hari ini . - Foto Mohd Yusni Ariffin

Secara umumnya, apa-apa binaan sekali pun jika dibangunkan di atas tanah tidak diketahui siapa pemiliknya atau tanpa kebenaran, adalah jelas menyalahi undang-undang. Justeru, menjadi tanggungjawab PBT untuk memastikan ketetapan ini dilaksanakan dan tidak dicabuli kerana kegagalan mengawal pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran berisiko menyebabkan pertindihan tuntutan. Ia sekali gus mencetus pergeseran berpanjangan sepanjang proses rundingan, sehingga mengundang kejadian tidak diingini seperti yang berlaku ke atas tapak Kuil Sri Maha Mariamman, baru-baru ini.

Berdasarkan peraturan sedia ada, sudah ada garis panduan pembinaan rumah ibadat sama ada bagi penganut Islam atau bukan Islam. Bagi surau dan masjid contohnya, kawalan pembinaan premis ibadat bukan sekadar di bawah bidang kuasa PBT, ia turut dikawal selia jabatan agama Islam di setiap negeri. Syarat pembinaan juga jelas disenaraikan.

Justeru, garis panduan sama wajar dicontohi untuk rumah ibadat lain, khususnya kuil Hindu yang diakui lebih terdedah kepada risiko apabila banyak premis itu dibina di tapak milik orang lain.

Dalam merangka garis panduan pembinaan rumah ibadat, ia tidak banyak berbeza di antara Islam dan bukan Islam. Beberapa kriteria perlu diambil kira kerajaan, termasuk pemilihan lokasi yang majoriti penduduk dalam kalangan penganut agama terbabit. Ini penting untuk memastikan pembinaan rumah ibadat benar-benar memenuhi keperluan penduduk setempat, selain dapat mengelak pemilihan lokasi tidak sesuai dan mengundang keresahan penganut agama lain.

Kedudukan di antara sesebuah rumah ibadat dengan rumah ibadat lain juga perlu dalam jarak bersesuaian. Tidak semua tanah atau premis milik persendirian boleh dibina dan dijadikan rumah ibadat, lebih-lebih lagi jika syarat lain ditetapkan, termasuk nisbah populasi dan soal sensitiviti penduduk di sekelilingnya.

Sudah sampai masa sama ada individu atau pertubuhan yang mewakili agama tertentu bersikap terbuka dan tidak mengambil mudah dalam soal membina rumah ibadat. Sebagai sebuah negara yang merangkumi pelbagai agama, bangsa dan budaya, Malaysia memerlukan warga yang memiliki sikap bertoleransi yang tinggi dan menghormati hak beragama setiap rakyat.

Bagi pihak PBT, tingkatkanlah aspek penguatkuasaan untuk menghalang usaha mana-mana pihak untuk mewujudkan rumah ibadat tanpa mengikut peraturan. Hakikatnya, tidak boleh dinafikan tempat ibadat yang dulunya kecil dibiar bertapak terlalu lama bertukar menjadi premis besar sehingga mengundang pelbagai masalah kepada penduduk. Kesannya, tindakan penguatkuasaan pasti sukar dilakukan, malah kegagalan menanganinya secara berhemah berisiko mengundang konflik.

Langkah mendapatkan kelulusan PBT terlebih dulu sebelum membina rumah ibadat bukan bermaksud kerajaan mahu mengongkong mana-mana agama, sebaliknya langkah itu penting bagi memastikan aspek tadbir urus yang lebih sistematik, selain memudahkan penyaluran bantuan dan insentif bersesuaian kepada institusi berkenaan.

648 dibaca
Berita Harian X