Khamis, 29 November 2018 | 11:02am
Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar ketika mengadakan sidang akhbar berhubung kejadian kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman baru-baru ini di USJ 25.Insiden pada pukul 2 pagi Isnin itu tercetus apabila puluhan individu berkumpul di kawasan tapak kuil dan berlaku pergaduhan yang menyebabkan 21 kereta pelbagai jenis serta dua motosikal terbakar, dan polis menahan ​​​​​​​beberapa individu bagi membantu siasatan. - Foto BERNAMA

Minda Pengarang: Selesaikan isu kuil secara berhemah

Pendedahan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam agak mengejutkan mengenai pembabitan peguam kepada syarikat pemaju, One City Development Sdn Bhd (One City) yang didakwa mengupah samseng untuk menceroboh, mengambil alih dan mengawal Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, Isnin lalu sehingga mencetuskan pergaduhan dengan penganut Hindu di kuil berkenaan. Dua peguam itu yang kini dalam tahanan polis dikatakan membayar RM150,000 untuk menggerakkan kira-kira 50 individu dengan setiap seorang menerima antara RM150 hingga RM300. Sehingga semalam, 21 individu sudah ditahan kerana dipercayai terbabit dalam insiden rusuhan di kuil yang berusia lebih 140 tahun itu. Walaupun One City dalam kenyataan terbaharunya menafikan mengupah samseng, hakikatnya, mana- syarikat yang menggunakan samseng bagi menakutkan mana-mana pihak walaupun untuk menuntut hak atau harta, lebih-lebih lagi membabitkan tempat beribadat mana-mana agama, tindakan seumpama itu sewajarnya tidak dikompromi. Perlakuan berkenaan bukan sahaja tidak peka, malah boleh membakar sentimen keagamaan sehingga ke tahap membahayakan keselamatan negara dan menjejaskan keharmonian antara kaum di negara ini.

Perlu diingat, kepelbagaian agama dan keturunan bukan mudah untuk diuruskan, khususnya membabitkan isu sensitif. Oleh itu, syarikat atau pemaju perlu berhati-hati dalam merencanakan setiap tindakan yang mahu diambil kerana sedikit kesilapan akan menyebabkan isu kecil bertukar menjadi besar sehingga tidak terkawal. Insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya yang berlaku pada awal pagi Isnin lalu sehingga mendatangkan kecederaan sama ada pihak berkuasa dan perusuh, selain 23 kenderaan dibakar memperliha sedikit kesilapan dalam menangani sesuatu permasalahan di antara kaum akan menimbulkan masalah lain yang lebih besar. Walaupun penggunaan samseng oleh syarikat atau pemaju jarang kedengaran sebelum ini dan kes di kuil ini disifatkan terpencil, namun kita tidak boleh menolak andaian ada samseng diupah dalam menyelesaikan masalah mereka. Oleh itu, jaminan Muhyiddin untuk menyiasat mengenai dakwaan berkenaan dan menyelesaikannya secepat mungkin, termasuk membawa mereka yang terbabit dengan perbuatan jenayah itu ke muka pengadilan dapat memadamkan pelbagai andaian mengenai punca kejadian dan pastinya melegakan semua pihak.

Pihak berkuasa perlu tegas membendung perlakuan tidak wajar ini, termasuk dalam kalangan pemimpin politik yang suka bermain api dengan menggunakan isu perkauman, selain memperlekeh kaum lain ketika mahu menjuarai isu yang membabitkan kaum diwakilinya. Kita percaya tindakan menutup mulut dalam mengulas isu perkauman ketika ini lebih baik daripada mereka memberi kenyataan yang boleh mengguris hati dan menaikkan kemarahan pihak yang lain. Masing-masing dari orang ramai sehingga pemimpin, perlu mengutamakan kesejahteraan rakyat dan negara terlebih dahulu serta memikirkan kesan negatif yang bakal timbul jika semata-mata mahu menjuarai kepentingan kaumnya sahaja. Bagi jawatankuasa Kuil Sri Maha Mariamman, inilah masa terbaik untuk menyelesaikan konflik tapak rumah ibadat yang berlarutan sejak dua dekad lalu itu. Semoga ada ruang untuk ‘sama-sama menang’ susulan penghakiman dibuat Mahkamah Tinggi pada 2014 yang membenarkan jawatankuasa kuil mengalihkan tempat ibadat itu ke tanah lain. Sewajarnya konflik dalaman pengurusan kuil ini ditangani sebaik mungkin sebelum melarat, apatah lagi isu perkauman ibarat bom jangka jika tidak ditangani dengan baik dan berhemah.

834 dibaca
Berita Harian X